07 Jun, 2012

Harijadi + Cemas Seketika



Semoga Allah sentiasa merahmati Sakeena

AbuAqil aka AbuSakeena

Hari ini 7.6 2012 genaplah 6 tahun puteri kesayangan Nur Syaza Sakeena. Tahun depan dia akan Mula menjejakkan kaki ke sekolah rendah. Tiada sambutan meniup lilin, tiada jamuan atau membelah kek. Memadailah dengan iringan doa abah dan mama agar Sakeena akan terus sihat sejahtera, ceria sokmo dan sentiasa dirahmati Allah.

Cuma mama ada berjanji akan membeli kek nanti untuk jamuan sambutan harijadi pada akhir bulan nanti kerana terdapat 4 orang yang dilahirkan pada bulan Jun. Mama, Aqilah, Sakeena dan Aqil.


Tarikh hari lahir Sakeena pada tahun ini akan diingati kerana berlaku satu peristiwa yang sangat mencemaskan. Lebih kurang pukul 6.4o petang tadi saya berehat bersama Aqil sambil menunggu cerita kegemaran anak-anak iaitu Upin & Ipin. Pada ketika itu Sakeena dan Syamil sedang mandi. 


Lepas mereka berdua selesai baru Aqil akan menyusul. Aqil bergegas ke bilik air. Lebih kurang 5 minit kemudian kedengaran bunyi tombol pintu tandas dipulas-pulas tetapi tidak terbuka. Aqil yang berada di dalam bilik air mula menangis ketakutan diikuti dengan tangisan dan jeritan yang semakin kuat.

Aqil sejurus dapat keluar setelah 10 minit terkurung
Sakeena individu pertama yang sedar kejadian itu cuba untuk membantu  Aqil membuka pintu dari luar tetapi gagal. Saya ingatkan Aqil saja-saja menyelak pintu tetapi rupa-rupanya memang tombol pintu rosak dan tidak boleh dibuka walaupun ditarik dengan sehabis tenaga.

“Mama…mama..Buka pintu!”,jerit Aqil diikuti dengan tangisan yang semakin memekak. Saya menjadi panik seketika. Tidak tahu apa yang hendak dibuat . Mati akal. Telah cuba memulas tombol tetapi sia-sia.

Kemudian saya berusaha pula dengan mencungkil tombol dengan menggunakan ‘screw driver’. Telah terkopek tetapi daun pintu masih tidak terbuka. Habislah kali ini. Peluh mula membasahi badan. Aqil semakin kuat menangis. Faham sangat. Kalau orang dewasa pun pasti akan menangis bila berada dalam situasi tersebut.

Cuba pula memecahkan tombol dengan tukul. Juga gagal. Kecewa, cemas dan buntu.

Satu-satunya cara yang belum buat  ialah memecahkan pintu. Tak kisah sama ada pintu akan rosak atau tidak. Dalam kepala hanya fikir agar Aqil dapat keluar.Nak pecahkan pintu guna apa? Tiada benda berat dan besar untuk menghentam daun pintu. Akhirnya saya terpaksa guna kaki. Menendang sehabis kuat. 

Setelah menyuruh Aqil agar berundur dan tidak berada di depan pintu, saya mula menendang sekuat tenaga. Entah berapa kali. Mungkin 5 atau 6 kali. Akhir pintu terbuka dengan terpelanting tombol. Nasib baik tidak mengena muka Aqil yang dalam ketakutan.

Alhamdulillah, aksi cemas lebih kurang 15 minit berakhir. Sangat lega dan bersyukur. Aqil dapat keluar dengan selamat.

Sehingga azan maghrib Aqil hanya diam dan tidak berkata apa-apa walaupun ditanya, ditegur. Mungkin masih terkejut dan trauma.

Mudah-mudahan peristiwa cemas seperti ini tidak berlaku lagi selepas ini. Semoga Allah melindungi keluargaku setiap masa. Insan sentiasa diuji.

1 comments:

obat pembesar berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pentadbir blog.

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share