AbuAqil aka AbuSakeena
Jumaat lepas saya berada dalam dua situasi yang
berbeza. Pada waktu pagi saya berada dalam situasi suka dan sebelah petang
situasi duka.
Situasi
Gembira
|
Dr Norsyamimi disamping papanya ketika majlis menyarungkan cincin |
Pagi semalam
saya dijemput menghadiri majlis pertunangan anak saudara saya Dr. Norsyamimi bt
Dr. Azaki. Anak Saudara saya ini bakal bertugas sebagai doktor dan sedang
menunggu masa untuk ditempatkan di mana-mana hospital. Dia bertunang dengan
pilihan hatinya juga bakal doktor yang berasal dari Kg. Penambang, Kota Bharu.
Semoga Allah mempermudahkan urusan mereka berdua untuk disatukan dengan segera kerana pesanan
Nabi saw anak gadis yang telah ada jodoh sebaik-baiknya disegerakan pernikahan.
Adik-beradik
saya yang berada di Kelantan semua berkumpul meraikan peristiwa gembira ini. Agak
lama juga tidak berkumpul dan berborak bersama-sama kerana masing-masing sibuk
dengan urusan sendiri.
Situasi
Duka
|
Beginilah kelihatan rumah yang hangus terbakar |
Pada sebelah petang pula saya bersama keluarga dan
bonda tersayang pergi menziarahi sepupu, Kak Zah dan keluarga yang ditimpa
musibah. Tempat kediaman mereka yang baru diduduki tidak sampai setahun hangus
dijilat api pada pagi khamis lepas.
inna lillah wa inna ilaihi Raji'uun..
Berat mata memandang, berat lagi bahu yang
memikul. Hanya tinggal sehelai sepinggang. Sekali lagi 4 orang
adik-beradik saya berkumpul di tempat kejadian di Cabang 4 Limbat, Peringat
untuk memberi sokongan kepada mangsa sekeluarga. Semoga dengan kehadiran ahli
keluarga terdekat akan meringankan beban yang dipikul.
Sangat bersimpati. Tiada apa yang tertinggal melainkan
pakaian yang dipakai oleh 6 orang ahli keluarga mereka semasa kejadian berlaku,
2 buah kereta, beberapa pasang selipar dan kasut yang sempat dikuis oleh ahli
bomba atau jiran-jiran.
Ramai saudara-mara, sahabat handai dan jiran datang
untuk memberi sumbangan. Ada yang datang membawa pakaian, makanan dalam tin dan
paling ramai memberi wang untuk kegunaan mangsa.
Semoga mereka tabah dan bersabar menghadapi ujian ini
dan semoga Allah memberi ganjaran yang terbaik untuk mereka dan menggantikan
apa yang hilang dengan gantian yang lebih baik satu masa nanti.
Realiti kehidupan
Begitulah kehidupan. Ada ketika kita mendapat nikmat
Allah, lalu kita berasa sangat gembira. Ada ketika kita menerima musibah yang
membuatkan kita menangis dan susah hati. Kita adalah ‘bahan’
ujian Allah sama
ada ujian berupa nikmat atau musibah.
Ujian musibah hadir untuk menyucikan diri kita daripada
dosa. Teguran Rabb agar kembali kepadaNya. Bukan kerana benci atau dendam tapi
kerana kasih dan sayangnya Allah kepada hambaNya. Kasih sayangnya tidak
berbelah bagi. Kasihnya melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya sendiri.
Hanya Allah Yang Maha Bijaksana memahami hikmah di
sebalik ujian. Kita sebagai hamba hanya mampu bersabar dan sentiasa bersangka
baik kepadaNya.
Sesungguhnya beruntung dan hebat sesiapa yang dapat
mengamalkan pesanan nabi saw :
“Sungguh
mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik.
Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia
mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan
baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga
merupakan kebaikan baginya.” (Imam
Muslim)
0 comments:
Catat Ulasan