27 Mac, 2012
Siapakah yang menyahut rintihan derita insan?
Oleh : Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Insan itu insan. Terdedah kepada kesusahan dan kesakitan. Terdedah
kepada dukacita dan sengsara. Sehebat mana pun dia. Sebesar mana pun
pangkatnya. Insan bukan tuhan untuk kebal dari panahan sengsara dan duka. Jika
tidak menimpa pada hartanya, menimpa pada tubuhnya. Jika tidak pada tubuhnya,
menimpa pada maruahnya. Jika tidak pada maruahnya, pada perasaannya yang derita
disebabkan pelbagai punca. Mungkin kehilangan orang yang dicinta, atau
dikhianati oleh orang disayangi. Segala mungkin. Itulah hakikat kehidupan insan
dan itulah hakikat kehidupan setiap makhluk.
Apabila insan ditimpa derita, dikepung oleh sengsara, dihambat oleh
duka, dia akan berusaha mencari tempat bergantung. Mencari dahan berpaut.
Mencari teduhan untuk berlindung. Jiwa dan fikirannya melayang dan meraba;
kepada siapakah hendak aku mengadu? Siapakah yang boleh menolong daku? Siapakah
yang mampu untuk mengeluarkan aku dari kemudaratan ini?
Jiwa Hambar
Jiwa, jantung hatinya sentiasa tersangkut dalam alam makhluk. Tergantung
dengan yang lemah sepertinya. Berpaut pada yang rapuh kerana disangkakan kukuh.
Lalu Allah pun membiarkannya bersama dunianya yang goyah dan harapan sentiasa
terdedah kepada kehancuran. Dia terlupa bahawa betapa ramai pesakit yang gagal
diubati. Dia terlupa bahawa betapa ramai yang dikhianati oleh orang yang
dipercayai. Dia alpa bahawa betapa ramai yang berkuasa gagal menyelamatkan diri
sendiri. Bahkan dia lupa betapa ramai yang berharta, berkuasa dan ternama,
Allah kepung hidup mereka dengan pelbagai sengsara. Pergantungan yang sangat
lemah. Allah mengingatkan manusia tentang hal ini dengan firmanNya: (maksudnya)
“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah
mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak
sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk
membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak
dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai
hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj:
ayat 73).
Demikian perumpamaan yang Allah berikan, gambaran kepada mereka yang
bergantung dan menyeru selain Allah dalam mengharapkan pertolongan.
Jiwa Mukmin
Adapun jiwa yang bergantung dengan Allah, setiap kali dia ditimpa
kesusahan perkara yang pertama dan pantas menerpa ke jantung sanubarinya ialah
pertolongan Allah; harapan dan pergantungan kepada Allah, doa, sujud, solat,
rintihan di kesunyian malam, istighfar dan seumpamanya yang membolehkan Allah
mendengar rintihannya. Teringatlah dia akan firman Allah yang menggambarkan
keagungan kekuasaanNya: (maksudnya)
“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia
berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”. (Surah al-Naml: ayat 62).
Demi sesungguhnya, tiada siapa yang dapat menyahutnya melainkan Allah
S.W.T. Keyakinan dan keimanan yang mendalam inilah yang menjadikan doa insan
yang bergantung dengan Allah itu pantas diterima. Allah mengeluarkan insan dari
kesusahan dengan pelbagai cara dan rupa yang dikehendakiNya. Jarak antara bumi
dan langit amat jauh. Masih tidak dapat dihitung oleh manusia. Namun, jaraknya
menjadi begitu dekat disebabkan doa yang mustajab dari hamba yang kesusahan.
Dengan seruan ‘Ya
Allah! Tolonglah daku!’ maka
pantas ia sampai ke langit dan pertolongan Allah pun datang dengan cara dan
kehendakNya.
Tidak Menolak Ikhtiar
Bukanlah bererti insan yang bergantung kepada Allah itu menolak
pertolongan makhluk dan tidak berikhtiar dalam menyelesaikan masalah. Namun,
segala ikhtiar dan usaha itu dilakukan dalam naungan jiwa dan ruh yang sentiasa
bergantung dan menyeru Allah. Pertolongan makhluk hanya ‘sebab’ yang berlaku atas kehidupan
duniawi, hakikatnya daripada Allah S.W.T. Al-Hafiz Ibnu Kathir (meninggal 774H)
dalam tafsirnya, menyebut riwayat dari Wahab bin Munabbih (tabi’i, seorang
yahudi yang telah menganut Islam) pernah berkata:
“Aku pernah membaca dalam kitab terdahulu, bahawa Allah berfirman: “Demi
kemuliaanKU, seandainya segala langit dan sesiapa yang ada padanya, bumi dan
sesiapa yang ada padanya melakukan rencana jahat terhadap orang yang berpegang
denganKU, sesungguhnya AKU akan jadikan untuknya di celahan itu jalan keluar.
Sesiapa yang tidak berpegang denganKu, maka sesungguhnya AKU boleh
tenggelamkannya ke dalam bumi di bawah kedua kakinya, AKU jadikan dia di
awangan (tiada pergantungan) dan AKU biarkan dia kepada dirinya”. (Ibn Kathir,
Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/422. Saudi: Dar ‘Alam al-Kutub).
Maksudnya, dalam pelbagai cara Allah boleh menolong hamba yang merintih
kepadaNya, dan juga dalam pelbagai cara Allah boleh menjatuhkan hamba yang
berpaling dari memanggil kebesaranNya.
Doa Yang Ikhlas
Jiwa yang mengharapkan Allah bukanlah sekadar digambarkan dengan pakaian
seseorang, atau gelarannya, atau penampilannya. Sebab itu, jangan
tertanya-tanya mengapa Allah membiarkan si fulan sedangkan dia nampak kuat
agama? Pertamanya, Allah mungkin menolongnya, sedangkan kita tidak
menyedarinya. Atau, mungkin kita tidak tahu apa yang tersimpan dalam dadanya.
Allah Yang Maha Mengetahui siapakah dia, jauh atau dekat dia dengan Allah.
Betapa ramai yang lidahnya menyebut “Ya
Allah, tolonglah daku”, tapi
sanubarinya masih terikat dan bergantung kepada makhluk. Bunyi nada suaranya
mungkin kedengaran sebak, tetapi tauhid tidak bulat dan penuh ikhlas, maka
doanya tidak disahut.
Demikian apabila kita lihat seorang yang mungkin kelihatan ‘biasa’ sahaja, tetapi setiap kali dia
menyebut “Ya
Allah, tolonglah daku”, pertolongan
pantas sampai kepadanya. Ini disebabkan ruhnya yang penuh pergantungan kepada
Allah, tanpa sebarang syirik atau harapan kepada selainNya. Ini yang disebut
oleh Nabi s.a.w:
“Boleh jadi orang yang kusut masai, berdebu, yang dihalau di pintu
(tidak diterima kedatangannya), jika dia bersumpah dengan nama Allah nescaya
Allah tunaikan”. (Riwayat Muslim).
Jika insan ikhlas dan membulatkan pergantungan kepada Allah, Allah
menerima harapannya, sekalipun dahulunya dia pernah melakukan dosa syirik dan
kejahatan pun, Allah tetap akan mendengar rayuan. Dengan syarat dia hendaklah
penuh ikhlas kepada Allah ketika doanya. Al-Imam al-Qurtubi (meninggal 671H)
dalam tafsir ketika menghuraikan firman Allah tadi: (maksudnya)
“Siapakah yang dapat menyahut orang yang dalam kemudaratan, tatkala dia
berdoa kepadaNya, serta Dia menghilang keburukan?!”, dia berkata: “Allah
menjamin menyahut orang yang kemudaratan apabila dia berdoa kepadaNya. DIA
memberitahu mengenai diriNya. DIA menerima doa orang yang dalam kemudaratan
sebabnya keadaan doa ketika dururat (kesusahan yang amat) itu terbit dari
keikhlasan, terputus hubungan hati sanubari dengan selain Allah. Bagi
keikhlasan itu suatu kedudukan dan jaminan di sisi Allah. Ini boleh ada pada
orang mukmin dan kafir, yang taat dan yang jahat.
Persis seperti firman Allah: (maksudnya) “Dialah yang menjalankan kamu
di darat dan di laut; sehingga apabila kamu berada dalam dalam bahtera, dan
bahtera itu pula bergerak laju membawa penumpang-penumpangnya, dengan tiupan
angin yang baik, dan mereka pun bergembira dengannya; tiba-tiba datanglah angin
ribut yang kencang, dan datang pula kepada mereka ombak dari segala penjuru,
dan mereka percaya bahawa mereka diliputi oleh bahaya; pada saat itu mereka
semua berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan kepercayaan mereka kepadanya
(sambil merayu dengan berkata): “Demi sesungguhnya! jika Engkau (Ya Allah)
selamatkan kami dari bahaya ini, kami akan menjadi orang-orang Yang bersyukur”
(Surah Yunus, ayat 22).
Firman Allah juga: (maksudnya) “Maka apabila mereka naik bahtera (lalu
menemui sesuatu bahaya di laut), mereka memohon pertolongan kepada Allah dengan
mereka mengikhlaskan kepadaNya agama, kemudian setelah Allah menyelamatkan
mereka (naik) ke darat, mereka melakukan syirik kepadaNya” (Surah al-Ankabut,
ayat 65).
(kata al-Qurtubi lagi) “DIA menyahut doa mereka ketika darurat dan
berlakunya keikhlasan mereka, sedangkan DIA tahu bahawa mereka akan kembali
kepada kesyirikan dan kekufuran mereka” (al-Qurtubi, Al-Jami’ li Ahkam
al-Quran, 13/223. Beirut: Dar al-Fikr)
Fitrah insani akan memanggil Allah dengan penuh ikhlas apabila dia dalam
kesusahan. Sehingga ada yang pernah kufur dan sesat akan kembali ikhlas
memanggil Allah dengan penuh keikhlasan apabila dia terdesak –seperti al-Quran
gambarkan di atas-. Bagaimanakah seorang muslim gagal untuk mengikhlaskan jiwa
memanggil Allah dengan penuh keikhlasan pabila dia dalam kemudaratan?!
Bagaimana mungkin insan mencari ‘kabel’ atau saluran pertolongan,
merayu dan merintih, mengharap dan meminta kepada selain Allah apabila dia
ditimpa kesusahan? Jika dia menyeru Allah dalam kesusahan, mengapakah pula dia
gagal mengikhlaskan tauhid dan pergantungan kepadaNYa? Sedangkan Allah menjamin
untuk menerima doa penuh ikhlas tanpa syirik daripada hamba-hambaNya yang dalam
kemudaratan. Siapakah lagi yang dapat mendengar rintihan kesusahan ini?
hanyalah ALLAH, tiada sekutu bagiNya.
0 comments:
Catat Ulasan