08 Oktober, 2011
Kisah Saidina Umar dan Anak Penjual Susu
AbuAqil aka AbuSakeena
Anda mungkin pernah mendengar kisah Saidina
Umar dengan seorang anak penjual susu. Seorang anak perempuan yang membantah
dan menegur ibunya kerana cuba mencampurkan air ke dalam susu. Kata-katanya
mendiamkan bondanya.
Tahukah anda siapakah dari keturunan si
anak ini merupakan seorang khalifah yang hebat? Khalifah tersebut ialah Umar
bin Abdul Aziz yang tersohor itu. Iaitu cucu kepada wanita tersebut, cicit
kepada Saidina Umar al-Khattab.
Kisahnya begini. Pada satu malam
Saidina Umar bersama khadamnya memantau keadaan rakyatnya di pinggir madinah sebagaimana
rutin hidupnya sebagai Amirul Mukminin yang cakna. Pada ketika itu Umar telah
mengistiharkan larangan mencampurkan air ke dalam susu kerana ia merupakan
satu jenis penipuan.
Akhirnya Umar duduk berehat dengan
bersandar di dinding sebuah rumah. Tiba-tiba beliau terdengar dua beranak
berdialog:
Berkata seorang perempuan penjual susu
kepada anak gadisnya, "Campurlah susu ini dengan air!", katanya.
Serta merta si anak membantah seraya bertanya: "Apakah ibu tidak takut
kalau hal ini diketahui khalifah Umar bin Khattab?
"Umar tidak akan tahu", jawab
ibunya spontan.
Dengan penuh keyakinan gadis itu pun
menjawab, "Walau pun Umar tidak mengetahuinya, apakah beerti Tuhan yang
menciptakan Umar juga tidak mengetahuinya?”. Si ibu terperanjat lalu
terdiam seribu bahasa dengan kata-kata anaknya.
Lalu bergegaslah Umar meninggalkan
rumah itu seraya memberikan arahan kepada pembantunya, "Tandalah rumah
ini!". Keesokan harinya ia segera memanggil Ashim, salah satu anak
lelakinya seraya bertanya: "Mahukah kamu aku nikahkan dengan seseorang
yang sangat baik agamanya?". Tanpa pikir panjang lagi Ashim pun menjawab
dengan penuh keyakinan, "Ya".[
Sirah wa Manaqib Umar bin Abdul Aziz,
karya Ibnu al-Jauzi]
Begitulah kisah seorang anak yang solehah telah memikat
hati Amirul Mukminin untuk dijadikan menantu. Perkahwinan mereka berdua telah
melahirkan seorang anak perempuan yang bernama Laila. Laila telah berkahwin
dengan Abdul Aziz bin Marwan seorang Gabenor Mesir pada pemerintahan khalifah Abdul Malik bin Marwan. Perkahwinan
mereka berdua melahirkan Umar bin Abdul Aziz Amirul Mukminin yang kelima
seorang khalifah yang bertakwa, wara’ dan adil.
Begitulah sunnatullah. Keturunan
yang baik akan melahirkan anak yang baik.
Namun persoalan yang
bermain di fikiran ini ialah masih ada lagikah wanita-wanita seperti si anak
penjual susu pada hari ini?
1 comments:
Ada., kena tidak mutahil bagi ALLAH.swt meng adakan d zaman kita ini.
Catat Ulasan