09 Jun, 2011

Hati-hati Bisikan Syaitan Agar Syirik



AbuAqil aka  AbuSakeena

Petang tadi saya mendapat mesej daripada seorang anak murid yang merupakan bekas anak angkat semasa dia di tingkatan tiga di SMKPS dua tahun lepas. Terkejut juga kerana sebelum ini dia tidak pernah berhubung dengan saya. Rupa-rupanya dia mempunyai masalah besar yang berkaitan dengan akidah.

Keraguan  tentang kewujudan Allah SWT telah menguasai dirinya sejak bulan April lepas. Saya amat terkejut.  Saya memaklumkannya bahawa itu hanyalah tipu-daya dan bisikan dari syaitan. Saya menasihatinya agar sentiasa beristighfar bila terlintas perkara tersebut., sentiasa ingatkan Allah, baca al-Quran dengan memerhatikan maknanya.

Semoga Allah merahmati dan melindunginya daripada bisikan tersebut selepas ini.

Bukan pertama kali saya menerima aduan daripada pelajar dan remaja mengenai perkara ini. Begitulah tindakan syaitan yang tidak pernah berputus asa untuk menyesatkan anak Adam. Salah satu caranya ialah dengan menanamkan keraguan dalam hati. Allah SWT berfirman yang bermaksud :

 "Dari kejahatan pembisik penghasut Yang timbul tenggelam, Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke Dalam hati manusia[Surah al-Nas ayat 4-5]

Berlindung dirilah dengan Allah dari diuji seperti ini Rasulullah saw pernah memaklumkan bahawa 
perkara ini akan menimpa orang Islam. Sabda Nabi saw yang bermaksud :

Syaitan akan datang pada salah seorang kamu, lalu berkata : “Siapakah yang menciptakan demikian ? Siapakah yang menciptakan demikian? Siapakah yang menciptakan demikian?” Sehingga dia bertanya : “Siapakah yang menciptakan Tuhanmu?” Apabila ia sampai demikian, maka hendaknya memohon perlindungan kepada Allah dan menghentikannya” [ Imam al-Bukhari dan Imam Muslim]

Itulah pesanan Nabi saw iaitu terus berlindung dengan Allah bila kita terlintas tentang persoalan-persoalan yang boleh mengancam akidah.

Terdapat satu doa yang Baginda saw ajar untuk kita amalkan agar terhindar daripada sebarang syirik. Iaitu :
اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بِكَ أَنْ أُشْرِكَ بِكَ وَأَنَا أَعْلَمُ ، وَأَسْتَغْفِرُكَ لِمَا لَا أَعْلَمُ

"Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepadaMu dari perbuatan syirik (menyekutukanMu) sedangkan aku mengetahuinya. Dan aku memohon ampun kepadaMu terhadap kesyirikan yang tidak aku ketahui." [Imam Ahmad dan al_tirmizi dalam Sahih al-Jami’])

Semoga Allah melindungi hati kita daripada diwas-waskan oleh syaitan laknatullah 'alaih.

1 comments:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum
Bagaimana pula jika ada sesuatu berkata dalam hati "aku nak sembah benda tu"?
Walaupon kita tidak bermaksud dan cepat2 kita beristighfar. Benda dah berlaku banyak kali. Tapi bisikan yang berlainan. Islam lagi ke kita?

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share