08 Jun, 2011
Alhamdulillah Dikurniakan Nikmat Istiqamah
AbuAqil aka AbuSakeena
Alhamdulillah pada pagi ini khatam sekali lagi al-Quran. Entah bagi kali yang ke berapa. Sungguh bersyukur kerana Allah membimbing diri ini dan dapat istiqamah membaca al-Quran setiap hari sehingga tamat dari awal sehingga akhir. Sungguh besar kurniaan Allah ini.
Saya memperuntukkan masa selepas Subuh untuk membacanya setiap hari. Sekiranya terlepas pada subuh itu maka saya akan membacanya selepas maghrib pada hari yang sama. Ada juga kadang-kadang bila ada urusan terlepas membacanya namun saya tetap akan menggantikannya pada hari berikutnya. Tilawah al-Quran inilah antara rutin harian yang pasti dilaksanakan setiap hari.
Ada manusia yang dapat istiqamah membaca akhbar, menonton televisyen, melayari internet, membaca novel dan majalah, lepak-lepak di kedai kopi dan seumpamanya. Namun amat malang apabila mukjizah teragung Nabi Muhammad saw diabaikan begitu sahaja.
Padahal al-Quran inilah yang akan menjamin seseorang itu akan mendapat keselamatan dan keredaan Allah atau pun akan mendapat kesusahan dan kemurkaan Allah. Sebagaimana HAdis Nabi yang bermaksud :
Al-Quran itu boleh menjadi hujah bagi kamu (membela) atau hujah ke atas kamu (mendakwa)/ ( Imam Muslim)
Ada juga manusia yang membaca al-Quran mengikut musim. Iaitu bila tiba bulan Ramadan maka dia mencari-cari al-Quran yang disimpan entah di mana kerana setahun tidak membeleknya lalu bersungguh-sungguh membacanya. Bila tamat Ramadan dia pun kembali bercuti membacanya.
Ada manusia yang membaca al-Quran khas pada peristiwa tertentu sahaja iaitu bila ada kematian. Golongan ini diupah untuk membaca al-Quran untuk si mati secara beramai-ramai sehingga khatam. Lalu dapatlah habuan tertentu di atas penat-lelah. Sungguh memalukan. Menggunakan al-Quran untuk mendapat habuan dunia.
Ada manusia yang membaca al-Quran khas hanya pada malam-malam tertentu sahaja iaitu pada malam Jumaat dan membaca hanya surah tertentu sahaja iaitu Surah Yasin. Inilah amalan kebiasaan yang dilihat di masjid-masjid bila tiba malam jumaat. Memang benar surah Yasin salah satu surah daripada al-Quran. Namun kita dituntut agar membaca seluruh al-Quran iaiti 114 surah bukan hanya membaca surah tertentu. Sebagaimana sabda Nabi saw yang bermaksud :
Bacalah al-Quran sesungguhnya ia datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada tuannya. ( Imam Muslim)
Milikilah mushaf al-Quran sendiri dan bacalah bermula dari surah pertama iaitu al-Fatihah sehingga berakhir Surah al-Nas. Bacalah sekadar mampu setiap hari. Satu hizb atau sehelai atau semuka. Janganlah langsung tidak membacanya padahal kita boleh melakukan perkara lain setiap hari.
Lebih baik sekiranya anda membaca al-Quran terjemahan agar dapat memerhatikan isi kandungan ayat yang dibaca. Al-Quran sentiasa mengulangi ungkapan ‘ semoga mereka berfikir, semoga mereka mengambil pengajaran’ dan seumpamanya. Bagaimana seseorang itu akan dapat berfikir tentang isi kandungan al-Quran sekiranya dia tidak memahami apa yang dibaca?. Antara al-Quran terjemahan yang baik untuk dimiliki ialah ‘al-Quran Terjemahan Pimpinan al-Rahman’ atau ‘al-Quran Terjemahnya Rasm Uthmani’ iaitu terjemahan ke Bahasa Indonesia (saya membaca yang ini). Atau dapatkan mana-mana edisi terjemahan.
Semoga Allah memudahkan kita semua untuk menunaikan amal soleh yang mulia ini dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.
Labels:
Amal Soleh,
Keagungan al-Quran,
Personal Famili
0 comments:
Catat Ulasan