11 Februari, 2011

Pentingnya Ucapan “INSYA ALLAH"




Abu Aqil Adnan

Terdapat segelintir manusia yang bila ingin merancang untuk melakukan sesuatu tidak melafazkan ucapan insya Allah kerana yakin semua perancangannya akan menjadi kenyataan. Sikap seperti ini salah dan tidak mengikut ajaran al-Quran dan sunnah Nabi saw. Tiada siapa yang dapat memberi jaminan setiap perancangan akan menjadi seperti yang diidamkan. Semuanya bergantung kepada kehendak dan ketentuan Ilahi.

Al-Quran telah memberi panduan dalam perkara ini agar disebut insya Allah bila kita berazam untuk melakukan sesuatu pada masa akan datang. Firman Allah dalam Surah al-kahfi :

"Dan jangan sekali-kali engkau mengatakan terhadap sesuatu, "Aku pasti melakukan itu esok pagi," kecuali dengan mengatakan Insya Allah (jika Allah menghendaki)" Dan Ingatlah kepada Tuhanmu apabila engkau lupa dan katakanlah, "Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepadaku agar aku lebih dekat pada kebenaran dari pada ini." (ayat 23-24)

 
Dalam al-Quran sendiri banyak kali merakam kalimah ini diucapkan oleh para rasul bila mereka berazam ingin melakukan sesuatu, antaranya :

 - Maka tatkala mereka masuk ke (tempat) Yusuf: Yusuf merangkul ibu bapanya dan dia berkata: “Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah dalam keadaan aman.” (Surah Yusuf: 99)

- Musa berkata: “Insya Allah kamu akan mendapati aku sebagai orang yang sabar, dan aku tidak akan menentangmu dalam sesuatu urusanpun.” (Surah al-Kahfi: 69)

- Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: “Hai anakku sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahwa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!” Ia menjawab: “Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar.” (Surah :al-saffaat 102)

Sesiapa yang mengucapkan kalimah insya allah bermaksud dia menyandarkan keazamannya dengan kehendak Allah dan menyerahkan segala urusannya kepada Allah. Dengan kata lain ucapan ini adalah bertawakkal kepada Rabb. Begitulah tarbiah al-Quran :
“Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” (Surah Ali-Imran ayat 159)

Sementara petunjuk Rasulullah saw dalam perkara ini ialah satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari yang bermaksud :

“Nabi Sulaiman a.s yg memiliki 60 orang isteri. dia berkata kepada dirinya."aku akan meniduri isteri-isteriku secara bergilir-gilir dalam satu malam

Sudah tentu, semua isteriku ini akan mengandung dan melahirkan anak-anak lelakiku dalam masa yang sama. Dengan demikian dapatlah aku bentuk sebuah pasukan berkuda yang terdiri daripada anak-anak lelakiku untuk berjuang dan berjihad di jalan Allah."

Pada malam yang ditentukan, Nabi Sulaiman meniduri isterinya secara bergilir-gilir dalam satu malam sahaja. Namun perancangan tidak menjadi. Daripada 60 orang isterinya, hanya seorang sahaja yang mengandung dan melahirkan anak lelaki.

Rasulullah yang menceritakan kisah ini mengulas bahawa," Kalaulah Nabi Sulaiman menyertai azam atau hasratnya itu dengan kata-kata INSYA ALLAH, (jika Allah menghendaki), sudah tentu semua 60 orang isterinya itu akan mengandung dan melahirkan anal lelaki, yang boleh dijadikan pasukan berkuda untuk berjuang di jalan Allah seperti yang diharapkannya."

Pengajaran kisah ini amat jelas, bahawa sebagai hamba Allah, kita tidak punya sedikit pun kuasa untuk menentukan berjaya atau tidaknya sesuatau yang kita rancang, walau serapi manapun rancangan yang kita bina. Kehendak kita amat terbatas kerana Allah yang menentukan segala-galanya.

Lafazkanlah ucapan insya Allah walaupun kita yakin perancangan kita akan menjadi kenyataan. Kehendak kita amat terbatas kerana semuanya bergantung kepada ketentuan dan kehendak Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Berkuasa. Semoga Allah merahmati kita semua.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share