11 Februari, 2011

Yvonne Ridley Perjuang Nasib Umat Islam




Ketika masih remaja lagi, Yvonne Ridley bercita-cita untuk melaporkan berita secara professional.

Dorongan itu bermula ketika berumur 14 tahun apabila surat yang dihantar beliau kepada Evening Chronicle, di Newcastle telah disiarkan.

Sejak dari itu beliau bertekad untuk menjadi wartawan.

Ketika berumur 16 tahun, beliau telah menulis kepada semua syarikat akhbar di United Kingdom dan seterusnya mengambil jurusan kewartawanan di Kolej Percetakan London.

Ilmu yang diperoleh itu dimanfaatkan sebaiknya.

Beliau pernah bekerja dengan Sunday Times, Independent on Sunday, The Observer, The Mirror dan News Of The World serta menjadi timbalan editor Wales on Sunday sebelum tugasannya bersama Sunday Express, tabloid yang menghantar beliau ke Afghanistan untuk satu tugasan penting selepas peristiwa 11 September 2001.

Ditangkap Taliban

Beliau mula dikenali umum pada 28 September 2001 iaitu ketika ditangkap oleh tentera Taliban di Afghanistan dan ketika itu beliau sedang bekerja dengan Sunday Express.

Visa kemasukan beliau ke Afghanistan sudah beberapa kali tidak diluluskan. Oleh itu beliau bertekad untuk mengikut jejak langkah seorang wartawan BBC, John Simpson yang berjaya memasuki sempadan tanpa dikenali dengan memakai burqa.

Ridley dikatakan telah menjawab pesanan ringkas telefon rakan-rakannya pada 26 September 2001.

Beliau memberitahu bahawa beliau akan cuba untuk memasuki sempadan Pakistan – Afghanistan.

Semuanya kelihatan semakin jelas apabila beliau dijumpai tanpa visa dan ditahan bersama pemandu jalan juga pelarian Afghanistan iaitu Nagibullah Muhmand dan Pakistani Jan Ali di perkampungan Dour Daba berhampiran sempadan Pakistan. Semasa berada dalam tahanan, beliau meludah, memaki orang yang menahannya dan melakukan mogok lapar.

Semuanya dilakukan sebagai tanda protesnya terhadap Taliban.

Menemui Islam

Ketika berada di dalam tahanan, beliau dipinta untuk memeluk agama Islam.

Walau bagaimanapun, beliau enggan. "Ketika ditahan selama 10 hari, saya telah membuat satu perjanjian dengan pihak Taliban. Jika saya dibebaskan, saya berjanji akan membaca Al-Quran dan belajar mengenai Islam. Akhirnya dengan janji yang dilafazkan itu, saya dibebaskan," cerita Ridley.

Sebagai membalas kepercayaan yang diberikan, Ridley mengotakan janjinya. Sebagai wartawan yang membuat liputan di Timur Tengah, beliau perlu mendalami ilmu mengenai Islam agar fakta yang dilaporkan itu tepat.

Ridley juga berpendapat, membaca isi kandungan Al-Quran merupakan satu latihan yang mudah baginya.

Beliau berasa kagum kerana Al-Quran secara jelas menceritakan persamaan kaum wanita dari segi rohani, hak mendapat pendidikan dan hak dalam harta pusaka.

Selain itu juga, beliau mendapati wanita yang melahirkan dan mendidik anak-anak dimuliakan kedudukannya.

Beliau mendapati terdapat perbezaan yang jelas dari kehidupan masyarakatnya yang memandang rendah kepada wanita.

Kaum wanita dilihat sering menjadi mangsa penindasan kaum lelaki.

Betulkan Tanggapan

"Dahulu saya melihat wanita bertudung sebagai golongan yang pendiam, dan tertekan. Sekarang pandangan saya terhadap mereka berubah. Mereka adalah golongan yang berkemahiran, berbakat, dan cekal," ujarnya.

Pandangannya mengenai Islam berubah setelah melalui pengalaman yang mendebarkan ketika ditahan dengan memakai burka.

Kejadian ketika berada dalam tahanan pihak Taliban telah membuka matanya tentang kebaikan Islam dan umatnya.

Layanan tahanan di Amerika amat berbeza dengan Taliban.

Sepanjang ditahan oleh Taliban, maruahnya sebagai wanita tidak diganggu gugat. Ridley diberikan kunci untuk mengunci selnya dari dalam. Layanan yang baik itu telah meninggalkan kesan dalam dirinya.

Selepas itu, beliau menulis beberapa buah buku mengenai perjalanan hidup yang dihadapi di Timur Tengah sebelum memeluk Islam.

Antara buku yang dihasilkan ialah In the Hand of the Taliban: Her Extraordinary Story dan sebuah novel Ticket to Paradise.

Perjuang Nasib Umat Islam

Beliau begitu vokal memperjuangkan nasib umat Islam di Palestin, Iraq, Afghanistan, Kashmir, Chechnya dan Uzbekistan.

Ini dapat dilihat apabila beliau sering dijemput untuk memberikan ceramah antiperang di mana-mana.

Beliau berpendapat Israel adalah anjing kecil Amerika yang menjijikkan yang sedang membarah di Timur Tengah.

Parti yang disertainya iaitu Respect Party adalah parti yang bebas dari unsur-unsur Zionisme.

Menurut beliau lagi, jika terdapat unsur-unsur Zionisme di dalam parti itu, mereka akan disingkirkan serta merta.

"Kami tidak ada masa untuk Zionis. Malah kedua-dua parti Konservatif dan Liberal Demokrat ada hubungannya dengan Zionis," tegas beliau.

Pada Mei 2006 di Copenhagen, beliau menghadiri satu seminar berkenaan Islamophobia dan telah diberi tepukan gemuruh selepas beliau menggesa umat Islam jangan melutut atau mencium tangan musuh-musuh Islam.

Beliau bersama bekas Perdana Menteri Australia Bob Hawke, beberapa penceramah termasuk para sarjana dan ahli politik telah membentuk serta menandatangani Deklarasi Copenhagen.

Selain itu beliau juga telah menyertai pelbagai aktiviti khasnya yang berkaitan dengan nasib umat Islam.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share