Menurut Imam Ibn Qayyim r.a sumber dosa ialah tiga :
1) Sombong (al kibr). Sifat inilah yang dimiliki oleh Iblis sehingga dia menyimpang ke jalan kesesatan.
2) Tamak (al hirsh). Sifat inilah yang membuat Adam keluar dari surga.
3) Dengki (al hasad). Sifat inilah yang membuat salah satu anak Adam membunuh saudaranya.
Ibn Qayyim r.a mengatakan, “Barangsiapa yang terbebas dari tiga sifat ini, maka dia akan terlindung dari segala macam kejahatan. (Ketahuilah), kekafiran itu berasal dari sifat sombong. Maksiat berasal dari sifat tamak. Sikap melampaui batas dan kezaliman berasal dari sifat dengki (hasad).”
Sifat sombong inilah yang menyebabkan iblis tetap dalam kekafirannya. Maksud sombong ialah seperti sabda Nabi saw adalah menolak kebenaran dan meremehkan orang lain.
Dari ‘Abdullah bin ‘Abbas, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda,
الْكِبْرُ بَطَرُ الْحَقِّ وَغَمْطُ النَّاسِ
“Sombong adalah menolak kebenaran dan meremehkan manusia.” ( Imam Muslim).
Sifat sombong inilah yang menyebabkan seseorang itu terhalang dari memasuki syurga. Dari ‘Abdullah bin Mas’ud, Nabi saw bersabda:
“Tidak akan masuk syurga orang yang dalam hatinya terdapat kesombongan walaupun sebesar zarah.” ( Imam Muslim)
Sifat tamak atau rakus membuat seseorang mudah terjerumus dalam maksiat. Lihatlah bagaimana Nabi Adam a.s dihalau keluar dari syurga, sebabnya ialah memakan tanaman yang haram untuk dimakan. Maksiat ini berasal dari sifat tamak. Begitu juga orang mudah terjerumus dalam perzinaan, berdua-duaan dengan lawan jenis tanpa mahram, melihat gambar yang tidak layak untuk dipandang semacam gambar lucah dan sebagainya, itu semua terjadi kerana adanya sifat tamak dalam diri seseorang.
Sedangkan sifat dengki atau iri hati akan membuat seseorang melampaui batas dan berbuat zalim pada orang lain. Bila melihat orang lain memiliki kelebihan yang tiada pada dirinya, akan muncul dalam hatinya perasaan ingin agar nikmat yang ada pada orang lain tadi lenyap dan musnah. Akhirnya macam-macam cara dilakukan untuk mencapai cita-citanya yang jelek itu. itulah hasad namanya.
Demikian tiga sifat buruk yang mesti dijauhi oleh setiap muslim agar terselamat daripada dosan dan maksiat. Semoga Allah melindungi kita darinya dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.
0 comments:
Catat Ulasan