15 Disember, 2010

Puasa Asyura : jangan Lepaskan!



AbuAqil A.K.A AbuSakeena

 Hari Asyura’ 1432H = 16 disember 2010 (Khamis)

Kita masih lagi berada dalam ‘mood’ tahun baru Hijrah. Masih dalam penyesuaian diri untuk merealisasikan azam baru yang diniatkan agar menjadi lebih baik dari tahun sebelumnya.

Bulan Muharram ini merupakan bulan yang dianjurkan banyak berpuasa sebagaimana hadis Nabi saw yang bermaksud :

 “Puasa yang paling utama setelah (puasa) Ramadan adalah puasa pada bulan Allah - Muharram. Sementara solat yang paling utama setelah solat wajib adalah solat malam.”[Imam Muslim]


Kepada sesiapa yang rajin berpuasa pada bulan Muharram ini dia telah menyempurnakan satu sunnah Rasulullah saw iaitu berpuasa pada bulan haram.

Namun kepada yang agak ‘liat’ berpuasa diharap dapat berpuasa sehari iaitu pada hari Asyura’. Hari Asyura’ ialah pada 10 Muharram sebab maksud Asyura’ ialah sepuluh. Amat rugi kepada sesiapa yang tidak mengambil peluang berpuasa pada hari ini kerana kelebihannya yang besar iaitu dosa setahun yang lalu akan diampunkan oleh Allah SWT.

Nabi saw ditanya mengenai keutamaan puasa Arafah. Beliau menjawab:

 ”Puasa Arafah akan menghapus dosa setahun yang lalu dan setahun yang akan datang.” Beliau juga ditanya mengenai keistimewaan puasa ’Asyura? Beliau menjawab, ”Puasa ’Asyura akan menghapus dosa setahun yang lalu.” [Imam Muslim]

Mungkin ramai yang telah berpuasa pada hari Arafah yang lepas agar dosa setahun yang lalu dan akan datang diampunkan. Sekiranya anda terlepas puasa tersebut, jangan sampai puasa hari Asyura’ juga terlepas. Hari Asyura’ pada tahun ini jatuh pada 16 Disember 2010 (Khamis)

Apatah lagi ia jatuh pada hari khamis. Maka sesiapa yang berpuasa pada hari tersebut juga akan mendapat pahala puasa sunat hari Khamis.

Kepada golongan wanita yang masih ‘berhutang’ puasa Ramadan dan belum menggantikannya, anda boleh berniat puasa ganti pada hari tersebut. Namun anda juga akan mendapat kelebihan puasa sunat hari Asyura’ dan puasa sunat hari Khamis sebagaimana mengikut pendapat sebahagian ulama.

Manfaatkanlah kelebihan yang disediakan oleh Allah SWT ini. Jangan jadikan pelbagai alasan untuk mengabaikannya. Kelak kita akan menyesal habis-habisan kerana kekurangan amal soleh dan dosa yang bertimbun-timbun tidak diampunkan.

Semoga Allah merahmati dan memberi petunjuk kepada kita agar dapat berpuasa pada hari Asyura’ serta membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share