13 Disember, 2010
Berakhir SPM : Merdeka Konon!
AbuAqilAdnan A.K.A Abu Sakeena
Petang tadi bertugas sempena peperiksaan SPM kertas Pendidikan Seni Visual kertas 2. Kertas ini merupakan kertas terakhir bagi sebahagian calon. Bermula pada pukul 2.00 dan berakhir pukul lima petang. Sungguh boring menunggu masa tamat. Nasib baik dapat ‘online’ sambil bertugas dan kebetulan pula ramai calon yang siap dan hantar lebih awal.
Sambil-sambil berbual dengan seorang lagi guru di depan bilik guru kelihatan beberapa orang pelajar bersorak gembira meraikan berakhirnya SPM dan tamatnya ‘perjuangan’ mereka. biasalah tu, terlalu teruja barangkali. Tapi yang tidak sedap mata memandangnya aksi-aksi yang berlebih-lebih. Ada yang menjerit melolong sehingga suasana menjadi riuh-rendah. Malah ada yang mengambil kesempatan bergambar dengan kamera hp mereka. mereka ber‘posing’ rapat-rapat hingga bersentuhan bahu dengan bahu antara lelaki dan perempuan. Ada yang berkejar-kejar, macam budak kecil…astaghfirullah.
Lagi teruk ada yang berdua-duaan dengan buah hati masing-masing di belakang bangunan untuk melepaskan rindu setelah sekian lama bertungkus lumus untuk SPM. Entah apa yang mereka lakukan. Bagi mereka merdekalah itu kononnya.
Pasti selepas peperiksaan ini ramai pelajar yang sebelumnya rajin solat dan berdoa lepas ini tidak lagi melaksanakannya. Kalau sebelum peperiksaan mereka agak baik dan jinak dengan perintah agama tapi selepas peperiksaan mereka menjadi liar dan lalai dengan perintah agama. Begitulah sikap buruk manusia. Bergantung kepada Allah hanya bila terdesak. Tabiat buruk manusia ini dirakam oleh al-Quran:
“Sesungguhnya manusia diciptakan bersifat keluh kesah lagi kedekut. Apabila ia ditimpa kesusahan ia berkeluh kesah,dan apabila ia mendapat kebaikan ia amat kedekut”.( al-Ma’arij:19-21)
Sememangnya anda layak untuk bergembira dan berasa lega kerana beban berat yang dipikul telah hilang dan setelah berkorban banyak masa, wang ringgit dan tenaga untuknya. Namun jangan lupa diri sehingga mengabaikan kewajipan agama. Solat ditinggalkan, aurat didedahkan, pergaulan bebas menjadi kebiasaan dan sebagainya. Itu sikap pelajar yang tidak bermoral.
Perlu diingatkan bahawa anda jangan berasa lega dan enjoy sampai tidak sedar diri. Anda belum selamat. kertas jawapan anda masih berbungkus dan dipos. Mungkin hilang atau tercicir. Kertas jawapan anda belum ditanda. Mungkin pemeriksa terleka dan cuai semasa menanda kertas jawapan anda dan macam-macam lagi kemungkinan buruk yang menimpa diri anda.
Saya sering mengingatkan para pelajar agar jangan berhenti berdoa dan mengadu kepada Allah walaupun peperiksaan telah berlalu. Teruskan beramal soleh dan rapatkan hubungan dengan Allah. Semuanya di tangan Allah.
Teruskan menjaga solat fardu dan amalan sunat sera hindari kemurkaan Allah. Teruskan berdoa dan bergantung harap kepada Allah. Berdoalah agar skrip jawapan anda selamat tiba kepada pemeriksa, berdoalah agar pemeriksa memeriksa kertas anda dengan’mood’ terbaik dan pemurah untuk memberi markah, berdoalah agar tiada kesilapan berlaku terhadap markah anda. Pemeriksa adalah manusia biasa yang tidak terlepas dari salah, silap dan terleka. Semuanya baik buruk adalah ketentuan Allah. Berdoalah agar Allah tidak menguji kita dengan ujian yang tidak mampu kita pikul.
Semoga Allah merahmati semua pelajar dan semoga kecemerlangan akan menjadi milik anda…insya Allah.
0 comments:
Catat Ulasan