19 Disember, 2012

PMR : Menangis Gembira Atau Kecewa?



Abu Aqil A.K.A Abu Sakeena

Artikel 2 tahun lepas ini mungkin bermanfaat kepada semu calon PMR yang mendapat keputusan pada hari ini [ 19 Dis 2012]. Diulang siar untuk manfaat bersama...Wallahu A'lam.
--------------------------------------------

Hari ini merupakan hari penentuan bagi calon-calon PMR  pada tahun ini. Detik ini ditunggu-tunggu dengan penuh debaran sama ada kejayaan yang diimpikan akan menjadi kenyataan atau kegagalan yang dicatatkan.

Senario biasa pada hari ini akan kelihatan ramai pelajar yang menangis teresak-esak. Sama ada menangis gembira kerana mendapat keputusan cemerlang atau menangis kecewa kerana target tersasar. Fenomena yang biasa dilihat pada hari keputusan peperiksaan diumumkan.

Bagi pelajar yang tiada komitmen dalam pelajaran mungkin tidak merasai debaran atau kebimbangan sedikit pun dihatinya. Namun bagi pelajar yang bertungkus-lumus dan berusaha dengan segala keupayaan pastinya tidak dapat tidur lena pada malam ini. Inilah masa untuk menuai hasil setelah pengorbanan yang memang memenatkan dengan masa yang banyak  dihabiskan dan  tenaga yang digunakan bertujuan untuk mencatat kegemilangan dalam akademik seterusnya untuk mengembirakan kedua orang tua, saudara-mara serta guru-guru.


Apa pun keputusan yang akan diperolehi sama ada kejayaan atau kegagalan, terimalah seadanya. Setiap ketentuan Ilahi adalah yang terbaik untuk anda. Allah tidak pernah menzalimi hamba-hambaNya walau sedikit pun.

Sekiranya Cemerlang…

Sekiranya anda memperolehi kejayaan sebagaimana yang diharapkan, bersyukurlah. Jangan lalai dan alpa kepada Pemberi kejayaan iaitu Allah. Jangan sombong serta lupa diri. Sesungguhnya amat mudah bagi Allah untuk menarik balik sebarang nikmat dari anda.

Tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah sebagai mensyukuri nikmat tersebut. Sekiranya anda bersyukur, pasti akan ditambah nikmat yang lain kepada anda. Itulah janji Allah kepada hambaNya.

Dan sekiranya kamu bersyukur, maka Aku akan tambahkan(nikmatKu) kepada kamu ( Surah Ibrahim,ayat 7)

Cara bersyukur ialah berterima kasih kepada mereka yang berbudi kepada anda. Ingatlah bahawa anda tidak akan mendapat kejayaan itu tanpa usaha dan pengorbanan ibu bapa serta guru-guru. Berterima kasihlah kepada mereka kerana merealisasikan cita-cita anda. Tanpa mereka, siapalah anda. Sabda Nabi saw :

“Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit, nescaya dia juga tidak akan bersyukur dengan nikmat yang banyak dan sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia nescaya dia juga tidak bersyukur kepada Allah SWT”.( Riwayat al-Tirmizi)

Seandainya Tersasar…

Seandainya keputusan anda tersasar dan  tidak seperti yang diidam-idamkan, janganlah terlalu bersedih. Itulah yang terbaik untuk anda daripada Allah SWT Yang Maha Bijaksana. Renungkanlah firman Allah ini :

“Dan boleh jadi apa yang kamu tidak sukai itu baik bagi kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu buruk buat kamu, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui dan kamu langsung tidak mengetahui apa-apa” (Surah Al-Baqarah ayat 216)

Anda berhak menangis. Menangislah sepuas-puasnya kerana sifat semulajadi manusia akan bersedih bila sesuatu yang sangat diharapkan tidak tercapai. Namun ingatlah, PMR bukanlah segala-galanya. Jangan berputus asa kerana  peluang masih ada untuk anda. Jadikan kegagalan  ini sebagai pengajaran dan kumpulkan semangat dan kekuatan untuk mencapai kecemerlangan yang lebih bermakna iaitu SPM yang akan datang.

Kita mesti memahami bahawa kehidupan ini adalah medan ujian daripada Allah SWT. Kejayaan dan kegagalan adalah ujian daripadaNya untuk mengenalpasti amalan yang terbaik dari kalangan hamba-hambaNya. Firman Allah SWT dalam surah al-Mulk, ayat 2 yang bermaksud.

“ ( Dialah ) yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun”.

Sesiapa yang memahami hakikat ini maka sekiranya kejayaan yang diperolehi dia akan bersyukur dan meningkatkan keimanannya sebagai berterima kasih kepadaNya. Sekiranya kegagalan yang dicatat maka hendaklah reda, bersabar dan tabah. Itulah kehebatan orang yang beriman. Sabda Nabi saw :

“Sungguh mengkagumkan urusan seorang mukmin. Sesungguhnya semua urusannya adalah baik. Dan hal itu tidak akan diperoleh kecuali oleh seorang mukmin. Apabila dia mendapatkan kesenangan, maka dia bersyukur. Maka hal itu merupakan kebaikan baginya. Dan apabila dia ditimpa kesusahan maka dia bersabar. Maka itu juga merupakan kebaikan baginya.” (Imam Muslim)

Muhasabah dan ambil iktibar daripada kegagalan ini. Jangan berputus asa, jangan terlalu kecewa kerana ini adalah ujian Allah. Sesiapa yang bersabar dan reda maka dia telah lulus ujian  di sisi Allah SWT.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud : Orang mukmin sungguh mengkagumkan. Sesungguhnya urusannya sentiasa memberi kebaikan kepadanya. Ini tidak berlaku kecuali hanya kepada orang mukmin. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka dia mendapat kebaikan. Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka dia juga mendapat kebaikan. ( Riwayat Imam Muslim )

Sabda rasulullah saw ini patut dijadikan panduan dan pedoman kepada kita agar sentiasa menyedari bahawa setiap saat dan ketika kita sebenarnya berdepan dengan ujian dan cubaan daripada Allah SWT. Apa yang perlu kita lakukan ialah bersyukur bila mendapat nikmat dan reda serta bersabar bila ditimpa kesusahan. Dengan itu ganjaran pahala dan redaNya akan menjadi milik kita.

Ya Allah, jadikanlah kami hambaMu yang bersyukur bila mendapat ujian kejayaan dariMu dan tabahkanlah hati kami bila mendapat ujian kegagalan dariMu.

1 comments:

Unknown berkata...

ya Allah, jadikanlah hambaMu yang bersyukur bila mendapat ujian kejayaan dariMu dan tabahkanlah hati kami bila mendapat ujian kegagalan dariMu... Aamiin..

Collagen Powder
ESP – Soy Protein Isolate Powder
GLA Complex
Omega Guard
Vita-E Complex
B-Complex

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share