02 Oktober, 2010

Tidak Solat Kerana tertidur?…Jahilnya!




 Abuaqil adnan

Antara alasan yang kerap diberi bila ditanya kenapa tidak solat fardu ialah kerana tertidur. Ini bermaksud mereka tidak solat kerana mereka tertidur dan bila terjaga waktu solat telah luput. Maka mereka  tidak solat atau terus menunaikan solat berikutnya.

Semua ini berlaku disebabkan kejahilan. Syaitan berjaya memperdayakannya dengan mengatakan ‘kamu tidak perlu solat lagi kerana masanya sudah tamat’. Maka dia telah meninggalkan satu solat fardu dengan sengaja. Dia telah melakukan satu dosa yang amat besar, malah lebih besar daripada dosa berzina iaitu meruntuhkan agama.

Sebenarnya orang yang tertidur hingga luput waktu solat tidak melakukan apa-apa dosa. Orang yang tidur tidak dipertanggungjawabkan menanggung dosa dan pahala. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:

Diangkatkan qalam (catatan) terhadap tiga golongan: orang yang tidur sehingga dia jaga, orang gila sehingga dia sembuh dan kanak-kanak sehingga dia baligh. (disahihkan oleh al-Albaniy)


Perkara yang sepatutnya dilakukan oleh mereka yang terlepas waktu solat disebabkan tertidur ialah dia menunaikan solat tersebut sebagaimana tunjuk ajar Rasulullah saw yang bermaksud :

 Daripada Anas katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Apabila seseorang itu tidur sehingga tertinggal sembahyang atau terleka daripadanya maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia mengingatinya, kerana sesungguhnya Allah s.w.t. berfirman: Dirikanlah sembahyang untuk mengingati Aku. (Imam Muslim)

Nabi saw juga bersabda :

Sesungguhnya tidak ada kecuaian pada tidur. Kecuaian ialah pada ketika jaga. Apabila seseorang itu terlupa akan sembahyang atau tertidur sehingga tertinggal sembahyang maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia mengingatinya. (al-Nasa`i, al-Tirmizi, Ibn Majah)

diriwayatkan oleh imam al-Bukhari bahawa Rasulullah saw juga pernah terlepas solat Subuh kerana tertidur ekoran keletihan melakukan musafir yang jauh. Baginda dan para sahabat terjaga setelah matahari memancar cahaya kepada mereka. Apakah yang mereka lakukan? Adakah mereka terus tidak solat? Tidak. Baginda menyuruh Bilal r.a melaungkan azan dan iqamat. Malah para sahabat sempat menunaikan solat sunat subuh terlebih dahulu sebelum menunaikan solat fardu Subuh.

Bila Rasulullah saw mendengar ucapan di kalangan sahabatnya yang mengatakan bahawa mereka telah mencuaikan solat, baginda menegur dengan berkata : “Sesungguhnya tidak ada kecuaian pada tidur. Kecuaian ialah pada ketika jaga. Apabila seseorang itu terlupa akan sembahyang atau tertidur sehingga tertinggal sembahyang maka hendaklah dia bersembahyang apabila dia mengingatinya   (Abu Daud)

Oleh yang demikian seseorang yang terluput solat fardu kerana tertidur atau lupa maka hendaklah dia menunaikannya setelah terjaga atau bila mengingatinya. Jangan terus tidak solat langsung sepertimana dilakukan oleh golongan yang jahil tentang agamanya. Tuntutlah ilmu berkaitan amal ibadat anda. Jangan terus diperdayakan oleh nafsu dan bisikan syaitan.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share