02 Oktober, 2010

Apa yang perlu dibuat bila terlupa?( Ulang Siar sempena peperiksaan PMR)



* Kepada calon-calon PMR 2010, selamat menjawab peperiksaan. Jawablah dengan tenang. Semoga kecemerlangan menjadi milik anda...Abuaqil
--------------------------
Kadang-kadang kita terlupa di mana kita menyimpan barang, lupa nama sahabat kita, lupa hadis nabi saw, lupa ayat al-Quran yang dihafal dan lain-lain lagi. Kenapa? Begitulah hakikat kejadian manusia. Tiada manusia yang diciptakan dalam keadaan mengingati semua perkara sampai bila-bila. Allah SWT  berfirman :

Dan manusia itu dijadikan dalam keadaan lemah ( Surah al-Nisa’ :28)

Pelbagai petua dan amalan yang diberikan kepada pelajar setiap kali musim peperiksaan sebagai usaha untuk mengingati kembali perkara yang terlupa. Ada yang kata kena berselawat, ada kata kena baca surah ini dan itu dan macam-macam lagi. Ada amalan ini mempunyai sandaran hadis Nabi saw?.

 Sebenarnya tidak ada sebarang bacaan khusus yang diajar oleh Rasulullah saw apabila kita terlupakan sesuatu. Antara tindakan yang boleh dilakukan  bila terlupakan sesuatu  ialah :


1- Tenangkan fikiran, fokus dan berfikir dengan penuh perhatian. Berusaha untuk mengingatinya dengan bersungguh-sungguh. Jangan campur adukkan dengan mengingati perkara lain kerana fikiran akan menjadi buntu.

2- Berdoa kepada Allah. Setiap muslim sepatutnya meletakkan pergantungan hanya kepada Allah dengan memohon pertolonganNya supaya diingatkan kembali perkara yang terlupa. Firman Allah :

Berdoalah kepadaKu, nescaya aku makbulkan untuk kamu ( Surah Ghafir, ayat 60)

Jawapan al-Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika menjawab persoalan ini:

‘Jika seseorang lupakan sesuatu hajat, maka hendaklah dia memohon kepada Allah taala untuk mengingatkannya semula dengan berdoa:

اللّهُمَّ ذَكِّرْنِيْ مَا نَسِيْتُ ، وَعَلِّمْنِيْ مَا جَهِلْتُ

Maksudnya: ‘Ya Allah, ingatkanlah aku apa yang telah aku lupa dan ajarkanlah daku, apa yang aku tidak ketahui.”

Atau dia boleh membaca mana-mana doa yang seumpama dengannya.

3- Berzikir dan mengingati Allah dengan membanyakkan bertahlil, bertasbih atau bertakbir atau sebarang zikir yang lain. Ini kerana lupa itu adalah daripada syaitan, manakala mengingati Allah dengan berzikir berperanan sebagai pengusir syaitan. Para ulama membina pendapat mereka ini  berdasarkan dalil daripada al-Quran, firman Allah swt:

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

Maksudnya: “Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “sesungguhnya aku akan mengerjakan itu esok pagi.” Kecuali dengan menyebut insyaallah, dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa dan katakanlah: mudah-mudahan Tuhan-ku akan memberi petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada yang ini.” (al-Kahf: 23-24)

Para ulama ini berkata firman Allah ( وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ : dan ingatlah kepada Tuhan-mu jika kamu lupa) membawa maksud jika kamu terlupa sesuatu, maka ingatilah Allah dengan berzikir kepada-Nya, Allah akan mengingatkan kamu perkara yang kamu lupakan itu.
                                         
Antara para ulama yang menyatakan pandangan ini ialah al-Mawardi (الماوردي) di dalam al-Naktu wa al-‘Uyun (النكت والعيون), demikian juga dengan al-Qurtubi di dalam tafsir dan Ibn al-Jauzi di dalam Zad al-Masir (زاد المسير).

 4- Beristighfar memohon keampunan Allah. Dosa-dosalah yang menyebabkan kita lupa terutama ilmu yang bermanfaat. Dosa menyebabkan hati nurani kita menjadi kelam sehingga susah untuk mengingati ilmu.

Imam al-Syafie  pernah bersyair:

Aku mengadukan kepada Waki’ (guru beliau) tentang buruknya hafalan
Maka beliau membimbingku untuk meninggalkan perbuatan maksiat
Dan berkata, ‘Ketahuilah bahwa ilmu adalah cahaya
Dan cahaya Allah tidak diberikan kepada pelaku maksiat’

Oleh itu beristighfarlah banyak-banyak semoga Allah mengampunkan dosa dan mengembalikan ilmu yang terlupa.

Bolehkah Selawat ke atas Nabi saw bila lupa?

Terdapat hadith yang menyebut perkara ini, namun hadith itu sangat lemah (ضعيف جدا), maka tidak boleh beramal dengannya. Hadith ini diriwayatkan oleh Abu Musa al-Madiniy (أبو موسى المديني), dan al-Hafidz Ibn al-Qayyim menyebutnya di dalam kitab Jala’ al-Afham di tempat ke-32 dari tempat selawat ke atas Nabi saw: Jika terlupa sesuatu dan hendak mengingatnya semula, dengan berkata:

“Abu Musa al-Madiniy menyebut, dia riwayatkannya dari sanad Muhammad ‘Uttab al-marwazi (محمد بن عتّاب المروزي), menceritakan kepada kami Sa’dan bin Ubadah Abu Said al-Marwazi, menceritakan kepada kami Ubaidullah bin Abdullah al-‘Atkiy, menceritakan kepada kami Anas bin Malik r.a. sabda Nabi saw:

إذا نسيتم شيئا فصلوا عليّ تذكروه إن شاء الله
 Maksudnya: “Jika kamu semua terlupa sesuatu, maka berselawatlah kepada-ku, kamu semua akan mengingatinya, insyaallah.” Sanad hadith ini lemah (ضعيف):  
1.        Ubaidullah bin Abdullah al-‘Atkiy, di dalam Tahzib al-Tahzib sebagai memperkenalkannya menyebutal-Bukhari berkata: “Dia meriwayatkan hadith-hadith yang mungkar.” (عنده مناكير)Abu Ja’fat al-‘Aqiliy berkata: “Hadithnya tidak diambil.” al-Baihaqi pula berkata: ‘Tidak dijadikan hujah dengan hadithnya.”
2.        Sa’dan bin Ubadah al-Qadahiy (سعدان بن عبدة القداحي), Ibn ‘Adiy di dalam al-Kamil berkata: “Dia tidak dikenali.” Disebabkan ini, al-Hafidz al-Sakhawi telah melemahkan hadith ini di dalam al-Qaul al-Badi’
Semoga perbincangan ini dapat memberi kebaikan dan faedah kepada kita semua dan sentiasa berpegang dengan petunjuk al-Quran dan Sunnah dalam melakukan sesuatu perkara.
Disunting dari Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share