Hadis Nabi saw ini menjelaskan bahawa lelaki tersebut akan bersama Rasulullah saw di syurga lantaran kasih dan cintanya kepada Allah dan Rasul walaupun amal solehnya tidak seberapa.
03 Oktober, 2010
Kita Bersama Siapa di Akhirat?
Abuaqil Adnan
Allah menjadikan fitrah insan mempunyai perasaan kasih dan sayang. Perasaan ini ada pada setiap manusia yang normal. Kita sememangnya menyayangi ahli keluarga, saudara-mara, kawan yang rapat, sesiapa sahaja yang membuat kebaikan kepada kita.
Sebenarnya perasaan kasih dan cinta ini boleh membawa seseorang itu ke syurga atau ke neraka.
Dari Anas bin Malik r.a dia berkata:
“Ada seorang lelaki bertanya kepada Nabi saw “ Bilakah hari kiamat akan berlaku wahai Rasulullah?” baginda menjawab, “Apa yang telah kau persiapkan untuknya?” Lelaki itu menjawab, “Aku tidak mempersiapkan banyak solat, puasa, ataupun sedekah. Namun aku mencintai Allah dan RasulNya.” Maka beliau bersabda: “Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Hadis Nabi saw ini menjelaskan bahawa lelaki tersebut akan bersama Rasulullah saw di syurga lantaran kasih dan cintanya kepada Allah dan Rasul walaupun amal solehnya tidak seberapa.
Hadis ini juga memberi isyarat kepada kita agar berhati-hati memilih orang untuk dicintai, dipuja dan dinyatakan taat setia kerana ia boleh membawa kepada kebinasaan di akhirat.
Dalam hadis yang lain iaiti riwayat Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa dia berkata:
“Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw lalu bertanya: “Ya Rasulullah, apa pendapat baginda tentang seseorang yang mencintai suatu kaum namun dia tidak mampu menyamai (amalan saleh) mereka?” Maka Rasulullah saw menjawab, “Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia cintai.” ( Imam al-Bukhari dan Muslim)
Sebagai seorang mukmin yang yakin dengan hari akhirat dan yakin dengan sabda Rasulullah saw kita hendaklah meletakkan rasa cinta dan kasih kita bertunjangkan kepada iman dan Islam. Dengan kata lain kita menyintai seseorang kerana agama dan takwanya kepada Allah.
Cinta dan benci hendaklah kerana Allah SWT. Kita mencintai seseorang kerana Allah juga mencintainya lantaran keimanan dan ketaatannya kepada Allah. Kita juga hendaklah membenci seseorang kerana Allah juga membencinya disebabkan perdurhakaannya kepada Allah.
Muhasabahlah diri kita masing-masing. Siapa orang yang kita sayangi? Adakah mereka golongan yang beriman, mentauhidkan Allah dan mengabdikan diri kepada Allah atau mereka golongan yang menyekutukan Allah dan mengingkariNya?
Amat malang sekali sekiranya terdapat orang Islam tetapi mengasihi dan memuja golongan yang memusuhi Allah iaitu individu yang menyembah selain dari Allah. Lebih malang lagi si muslim tersebut akan bersama-sama pujaannya (yang mati dalam syirik) di neraka kelak sebagaimana maksud hadis Nabi saw di atas.
Kita sepatutnya menyatakan kecintaan kepada golongan yang dicintai dan diredai oleh Allah iaitu Rasulullah saw, para sahabat, para tabi’in, para ulama dan sesiapa sahaja yang beriman dan beramal soleh. Mencintai golongan ini akan memberi kebaikan kepada kita iaitu dimasukkan ke dalam syurga disebabkan keimanan dan kesolehan mereka.
Sememangnya kita tidak akan mampu menandingi amalan-amalan mereka namun disebabkan rasa cinta kepada mereka Allah dengan kemurahanNya akan menempatkan kita bersama mereka. Subhanallah!
Semoga Allah mencampakkan benih kecintaan dalam hati-hati kita agar mencintai golongan yang dikasihi dan diredai oleh Allah SWT.
Labels:
adab sesama islam,
Amal Soleh,
kehidupan akhirat
0 comments:
Catat Ulasan