04 Disember, 2009

MENGGAPAI KEBERKATAN DALAM BELAJAR




BISMILLAH…

Setiap insan sentiasa mengharapkan keberkatan daripada Allah SWT. Dengan memperolehi ‘barakah’, seseorang itu akan mendapat kebahagiaan, ketenangan dan kesejahteraan hidup di dunia dan di akhirat. Seorang petani yang memperoleh berkat dalam mencari rezeki dapat menyara keluarganya yang ramai, seorang ulama dapat mengarang beratus kitab walau pun beliau meninggal dunia pada usia muda seperti Imam al-Nawawiy dan sebekas susu dapat diminum oleh sebilangan orang seperti mana yang diriwayatkan dalam kitab Sahih al-Bukhari.

Apakah maksud berkat dan bagaimana cara seorang pelajar memperolehi berkat dalam pelajaran?

Berkat boleh diertikan dengan kebaikan yang berlipat kali ganda atau mendapat ganjaran yang banyak. Kebaikan di sini umum merangkumi kebaikan di dunia dan di akhirat. Keberkatan adalah hak milik Allah dan Dia mengurniakan berkat kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Keberkatan bukanlah diukur dengan kejayaan yang dicapai di dunia semata-mata. Keberkatan ini merangkumi kejayaan di akhirat iaitu mendapat keredaan Allah. Seorang yang mengingkari perintah Allah boleh mendapat kecemerlangan dalam peperiksaan dengan berusaha dengan gigih dan tekun. Namun dia akan mendapat kemurkaan Allah di akhirat di atas kefasikannya. Allah memberikan kejayaan kepada sesiapa sahaja yang berusaha keras di dunia sebagaimana kita melihat ramai pelajar yang bukan beragama Islam cemerlang dalam pelajaran. Malah lebih cemerlang daripada pelajar muslim. Ini adalah sunnatullah. Kejayaan yang kita impikan ialah kejayaan di dunia dan di akhirat. Inilah‘Barakah’ yang dicita-citakan.

BAGAIMANA CARA UNTUK MEMPEROLEHI KEBERKATAN ?

1. Menjaga hubungan baik dengan Allah. Sentiasa menjaga solat fardu, menunaikan solat-solat sunat, tilawah al-Quran setiap hari, berpuasa sunat, berzikir, berdoa, menambahkan ilmu agama dan sentiasa cenderung untuk melakukan kebaikan. Perkara ini adalah asas untuk mendapat keberkatan dalam hidup. Semua amal soleh mempunyai keberkatan yang boleh memimpin perjalanan hidup seseorang hamba. Allah tidak akan membiarkan hambanya yang soleh terjerumus ke dalam perkara yang buruk.

2. Memuliakan ibu bapa. Sentiasa mematuhi suruhan mereka. Apa yang mereka lakukan adalah yang terbaik untuk anda. Tiada ibu bapa yang ingin anaknya gagal dalam kehidupan. Pelajar juga hendaklah bercakap dengan sopan, tidak membantah atau menengking mereka dan sentiasa mendoakan kesejahteraan mereka. Pengorbanan dan jasa mereka tiada tolok bandingnya dan sampai bila-bila pun kita tidak akan mampu membayarnya.

3. Menyanjungi guru. Guru adalah ibu bapa anda yang kedua. Mereka memberi perkara yang ibu bapa anda tidak berikan kepada anda iaitu ilmu. Jasa mereka tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Kejayaan yang anda perolehi merupakan kegembiraan untuk mereka dan kegagalan anda amat mengecewakan mereka. Sanjungi dan muliakan mereka sebaik mungkin. Doakan untuk mereka kebahagiaan dan kesejahteraan. Tegur mereka walau pun anda bukan lagi pelajarnya sekiranya terserempak di mana-mana. Seorang guru tidak akan melupakan wajah pelajarnya sampai bila-bila cuma nama sahaja yang lupa. Cuba bayangkan apakah perasaan seorang guru sekiranya tidak diendahkan oleh bekas anak didiknya. Perkara ini sering dilakukan oleh pelajar yang cemerlang dalam akademik. Ini adalah realiti. Penulis acap kali mendengar rungutan dan kekecewaan oleh ramai guru tentang perkara ini.

4. Menjaga hubungan baik dengan rakan-rakan pelajar yang lain. Sentiasa berbaik sangka, membantu pelajar yang meminta bantuan sama ada berkaitan dengan pelajaran atau sebagainya. Sentiasa memberi dorongan antara satu sama lain. Jangan sekali-kali berlaku permusuhan dan pergaduhan dengan pelajar yang lain. Sekiranya berlaku perselisihan hendaklah sabar dan berlapang dada. Antara perkara yang paling dibenci oleh Allah ialah memutuskan silaturahim sehingga Allah mengharamkan syurganya kepada sesiapa yang gemar memutuskan silaturahim.

5. Menjauhi perkara haram dan sia-sia. Dosa dan maksiat yang dilakukan akan menghilangkan keberkatan dalam hidup. Ilmu adalah sesuatu yang suci. Bagaimanakah sesuatu yang suci akan berada di hati yang kotor?. Antara perkara yang yang perlu dijauhi ialah ‘couple’. Tetapi malangnya begitu ramai pelajar yang terlibat dengannya. Budaya tidak sihat ini amat membimbangkan dan berleluasa di semua peringkat pendidikan. Sehingga mereka ada pasangan dikira normal dan tiada pasangan dianggap pelik. Jangan cuba berjinak-jinak dengan perkara yang dilarang oleh agama ini. Setiap larangan mempunyai beribu hikmah di sebaliknya.

6. Sentiasa bersyukur dan merendah diri. Anda hendaklah menganggap kejayaan yang diperolehi adalah kurniaan dan ujian daripada Allah. Ingat! Nikmat itu boleh diambil bila-bila masa oleh Allah. Perbuatan tidak mensyukuri nikmat Allah dan sombong amat dimurkai oleh Allah. Penyakit sombong ini jangan ada di hati kita walau sekecil mana sekali pun kerana sifat ini akan menghumban kita ke neraka sebagaimana mafhum sabda Rasulullah saw.


Semoga enam perkara ini dapat dijadikan pegangan agar pembelajaran anda setiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT.

WALLAHU TA'ALA A'LAM

2 comments:

nurun najwa berkata...

ustaz , ergh , kawan sye tade pon mcm tuu , tapi berjaye jugak ? mane adil !

abuaqil berkata...

najwa, berjaya cemerlang bukan tanda dpt berkat.cemerlang stkt dunia sj,akhirat tiada pahala. walaupon gagal stlh berusaha sungguh2 namun dpt keberkatan dgn maksud dpt pahala trhdp sgl usaha,kesabaran...

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share