20 November, 2013

Menyambut Kelahiran Bayi Dengan Sunnah Tahnik



Credit foto : http://sabamedical.com

AbuAqil aka AbuSakeena

Beberapa hari yang lepas saya mendapat seorang lagi cucu saudara yang ke tujuh ( tanda telah tua sangat dah). Tahniah kepada anak saudara, Mohd Bahiran Azmi dan isteri di atas kurniaan Allah yang paling bermakna. Beliau ada meminta agar saya melakukan taknik untuk puteri sulungnya dan saya sanggup sahaja walaupun rasa sangat tidak layak. Yang afdalnya orang alim atau soleh.

Post kali ini saya ingin berkongsi ilmu mengenai sunnah Rasulullah saw bila memperoleh zuriat iaitu tahnik. Barangkali ramai yang belum mengetahui sunnah ini atau tahu tapi terlupa untuk melakukannya. Maklumlah saat menerima insan baru dalam kehidupan mengundang macam-macam perasaan. 

Rasa bimbang dan kecut perut semasa isteri ‘berjuang’ bersabung nyawa hanya Allah sahaja yang tahu. Saat genting tersebut akan berakhir  dengan tangisan kegembiraan dan rasa syukur yang tidak terhingga kepada Allah bila zuriat selamat muncul ke alam dunia.

Amalan tahnik ini tidak asing bagi masyarakat Melayu. Di bumi kelantan amalan ini popular dengan nama ‘ belah mulut’. Cuma terdapat beberapa amalan yang dipraktikkan tidak menepati sunnah Nabi saw.  Insya Allah akan dijelaskan nanti.

Maksud tahnik

Tahnik bermaksud menyapu kurma yang dihancurkan ke langit-langit bayi. Imam al-Nawawiy r.a berkata : Para sarjana bahasa  menyatakan tahnik adalah mengunyah kurma dan seumpamanya kemudian menggosokkannya ke langit-langit mulut bayi. Ibnu Hajar al- Asqalaniy menyatakan tujuan tahnik ialah agar bayi terlatih mengunyah makanan dan menguatkannya untuk makan.

Dalil Amalan Tahnik

Terdapat beberapa hadis Nabi saw berkaitan amalan tahnik ini di antaranya hadis yang di mana
Dari Abu Musa beliau berkata,
“(Suatu saat) aku memiliki anak yang baru lahir, kemudian aku mendatangi Nabi saw, kemudian beliau memberi nama padanya dan beliau mentahnik dengan sebutir kurma.”[Imam Muslim]
Dari ‘Aisyah, beliau berkata,
 “Rasulullah saw didatangkan anak kecil, lalu beliau mendoakan mereka dan mentahnik mereka.”[Imam Muslim]

Berdasarkan dua hadis ini kita boleh mengambil beberapa pengajaran :

1) Disunatkan kepada yang memperoleh kelahiran agar membawa bayi kepada orang soleh  atau orang alim untuk ditahnik.

2) Sunnah tahnik menggunakan buah kurma. Imam Ibnu Hajar Menjelaskan bahawa  yang lebih utama (ketika) mentahnik ialah dengan kurma kering (tamr). Jika tidak mudah mendapatkan kurma kering (tamr) maka dengan kurma basah (ruthab). Dan kalau tidak ada kurma dengan sesuatu yang manis dan tentunya madu lebih utama dari yang lain".

3) Orang yang melakukan tahnik juga hendaklah berdoa kepada bayi tersebut. antara doa yang boleh dibaca ialah doa Nabi saw kepada Ibnu Abbas :

اللَّهمَّ فقِّهْهُ في الدِّينِ وعلِّمهُ التَّأويلَ

Ya Allah kurniakanlah kepadanya kefahaman yang mendalam dalam
 agama dan ajarkanlah kepadanya takwil

atau boleh jug doa apa-apa doa yang baik untuk bayi tersebut.

Majoriti ulama berpendapat hukum tahnik adalah sunat dan tidak wajib.

Bilakah waktu tahnik?

Imam al-Bukhari membuat satu bab khusus dalam kitab sahihnya iaitu “Bab menamakan bayi dan mentahniknya petang kelahirannya sekalipun belum dilakukan akikah”. (Ibn Hajar, Fath al-Bari 15/390). Bermakna sekiranya bayi tersebut lahir pada pertengahan siang hari, tahnik boleh dilakukan selepas waktu tengahari pada hari kelahirannya. Ini yang dapat difahami melalui bab yang dibuat oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya.
Disebutkan dalam al-Majmuk, bahawa sunnah melakukan tanhik dengan tamar kepada bayi ketika dilahirkan. Maksudnya hari kelahiran (al-Nawawi, al-Majmuk 8/443). Bahkan tujuan atau hikmah tahnik sebagaimana disebut ulama ialah bertujuan untuk melatih bayi makan atau minum. Oleh itu, ia perlu disegerakan pada hari kelahirannya dan tidak perlu ditangguhkan sehingga hari ke tujuh sebagaimana yang dilakukan oleh segelintir masyarakat Melayu di sini.
Menggunakan Air zamzam

Berdasarkan hadis di atas Nabi saw hanya menggunakan buah kurma semasa tahnik. Dalam kitab Akhbar Makkah karangan al-Fakihi, beliau membawa satu athar yang mursal daripada Ata’ bahawa Habib berkata kepada Ata’, aku perlu membawa air zam-zam? Jawab Ata’ : Ya, sesungguhnya Rasulullah s.a.w. membawa air zam-zam dalam botol lalu mengtahnikkan Hasan dan Husain dengannya menggunakan tamar ajwah. (al-Fakihi, Akhbar Makkah 3/198).

Walaupun hadis ini mursal, namun ia masih disokong oleh dalil-dalil umum yang menjelaskan kewajaran mengambil berkat dengan air zam-zam, atau berubat dengannya. Apatah lagi air zamzam mempunyai kelebihannya yang tersendiri sebagaimana hadis yang bermaksud :

Sebaik-baik air di muka bumi adalah zamzam. Di dalamnya terdapat makanan yang mengeyangkan dan menjadi penawar penyakit [ dinilai hasan oleh al-Albaniy dalam al-targhib]

Oleh yang demikian tidak menjadi masalah sekiranya kita menggunakan air zamzam di samping buah kurma dalam melakukan tahnik.namun diingatkan penggunaan cincin, garam dan seumpamanya bukan petunjuk Nabi saw. Wallahu a’lam.

Semoga artikel ini dapat memberi manfaat kepada golongan ibubapa yang baru mendapat cahayamata dengan mengamalkan sunnah Nabi saw. Semoga zuriat kita akan menjadi hamba Allah yang soleh dan menjadi pendokong agama Allah SWT.


Rujukan :

http://rumaysho.com/hukum-islam/umum/4517-anjuran-dan-hukum-tahnik.html

2 comments:

Unknown berkata...

mana nak cari buku tentang tahnik ini

Tanpa Nama berkata...

Cari buku indahnya hidup bersyariat. Kaler biru. Dato ismail kamus.

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share