10 September, 2013

Kembara Ilmu 2 : ke SMK Agama Igan, Mukah, Sarawak



AbuAqil aka AbuSakeena

Semalam tiba di rumah lebih kurang pukul 10.30 malam setelah bermusafir ke ‘Bumi Kenyalang’ buat kali yang pertama dalam hidup. Segala puji bagi Allah yang memberi peluang kepada diri yang kerdil ini untuk berkongsi sedikit ilmu di dada dengan saudara-saudara seagama di sana. Jauh di lubuk hati berasa sangat rendah diri dan rasa tidak layak untuk program sebesar ini. Baru dua minggu yang lalu kembara ke Sabah atas tujuan yang sama. Rujuk artikel kembara ke Sabah

Pada hari rabu yang lepas (28 Ogos 2013) saya menerima panggilan daripada sahabat baik al-Fadhil ustaz Johari Ausok menjemput saya ke sekolahnya SMK Agama Igan untuk menyampaikan ceramah teknik B Arab SPM dan PMR. Sebenarnya telah lama beliau maklumkan cuma belum menentukan tarikh yang sesuai. Saya menerimanya tanpa beralasan. Namun menghadapi sedikit kepayahan bila terpaksa memohon cuti rehat khas kerana sekolah ini terletak di pedalaman dan perjalanan memakan masa yang agak panjang.

Bertolak pada 5 September 2013 dengan penerbangan sepatutnya pada pukul 2.50 petang di Lapangan terbang Sultan Ismail Petra, pengkalan Chepa tapi tertunda sejam. Begitu juga dari LCCT ke Sibu kerana masalah kesesakan di ruang udara KLIA. Tiba di Lapangan Terbang Sibu hampir pukul 10.00 malam, disambut oleh ustaz Johari dan cikgu Firdaus. Terus bergerak ke Mukah membelah malam yang mengambil masa selama 2 jam setengah dengan pemanduan yang laju.Tiba di bumi Igan pada pukul 12.30 tengah malam.

Masyarakat di sini majoritinya terdiri daripada masyarakat Melanau dan kebanyakan mereka beragama Islam. Kampung Igan merupakan tempat kelahiran Dr Juanda Jaya, Mufti Perlis pada masa kini.


Dibawa terus ke tempat penginapan iaitu di rumah tamu SMK Agama Igan yang disediakan khas untuk tetamu yang datang dari jauh.  Hotel terdekat hanya ada di bandar Mukah yang agak jauh iaitu lebih kurang setengah jam perjalanan. Terus berehat ‘cas bateri’ untuk kembalikan tenaga kerana keesokan perlu mengerah minda dan tenaga bersama anak-anak pelajar calon SPM. Sepanjang dua hari ini akan bersama anak-anak Melanau untuk menjayakan program yang dinamakan ‘Kem Perkampungan Ilmu SMK Agama Igan’.

Teknik Menjawab SPM


Selepas sarapan, saya dibawa ke sekolah untuk bersua muka dengan tuan rumah iaitu Puan Noriah Haron, Pengetua SMKA Igan. Beliau sangat peramah dan mesra. Bertembung dengan ustaz Zainudin Suut, anak sarawak yang pernah belajar bersama-sama dulu di Pra Akademi Islam Nilam puri. ketika itu beliau mengikut kursus Pra Sarawak.  Bertemu selepas hampir 20 tahun membawa haluan masing-masing. Kesal kerana tidak sempat mengambil gambar  bersama beliau kerana terkejar-kejar untuk menyampaikan ceramah.


Ceramah teknik B Arab SPM dimulakan dengan kertas 2. Diadakan di Masjid Ibnu Kathir. Masjid yang sangat besar dan selesa. masjid ini didirikan solat Jumaat untuk kemudahan semua pelajar dan guru. Alhamdulillah para pelajar mengikuti ceramah dengan semangat terutama bila sesi perbengkelan semasa menjawab soalan dalam kumpulan. Kumpulan pelajar perempuan lebih dominan. Kelihatan beberapa orang pelajar lelaki yang ‘kelayuan’ mungkin kerana keletihan ekoran study pada waktu tengah malam. Kebanyakan pelajar telah dapat menguasai tajuk-tajuk penting. Cuma mereka masih lemah bahagian sorf iaitu masdar fe’el mazid dan beberapa bahagian lain yang mereka belum hafal dan kuasai. 

Sebahagian foto-foto ceramah teknik menjawab SPM :




Masih ada masa, diharap semua pelajar menumpukan perhatian dan menguasai semua tajuk Nahu, Sorf dan Balaghah. Mereka tidak perlu risau kerana mereka mempunyai barisan guru yang hebat dan mantap seperti al-Fadhil Ustaz Johari, al-Fadhil Ustaz Abi Sufian dan ramai lagi. Mereka hanya perlu rajin bertanya guru serta perbanyakkan menjawab soalan-soalan.

Slot kertas 2 agak panjang kerana banyak perkara yang perlu diberi perhatian. Ceramah yang diikuti dengan bengkel perbincangan soalan hampir memakan masa 5 jam dengan peruntukan 2 sesi. Alhamdulillah pelajar mengharunginya dengan baik.

Kertas 1 diadakan pada slot sebelah malam iaitu bermula pada pukul 8.30 hingga 10.00 malam. tumpuan pelajar pada sebelah malam lebih baik dan mereka lebih fokus terhadap apa yang dibincangkan. Pelajar masih ada kelemahan  yang perlu  diatasi bagi setiap bahagian nahu, sorf dan balaghah.

Ceramah Teknik PMR

Pada hari kedua kembara ke bumi Igan, saya berpeluang bersama calon PMR untuk berkongsi ilmu teknik menjawab PMR yang diadakan  di dewan besar. Terkejut dengan semangat yang berkobar-kobar kesemua pelajar pada hari tersebut. Kagum. Mereka mampu menguasai kemahiran qawaid dengan baik. Sesi perbengkelan lebih hangat kerana diadakan persaingan antara pelajar lelaki dan pelajar perempuan. Kehebatan pelajar lelaki terserlah pada peringkat awal namun rebah juga dengan kepintaran beberapa orang pelajar perempuan.

Foto Sekitar ceramah teknik PMR





Respon calon-calon PMR sangat luar biasa kerana azam mereka untuk mencipta kejutan dalam PMR yang terakhir. Pelajar-pelajar dinasihatkan agar memperbanyakkan hafalan perbendaharaan kata dan perbanyakkan menjawab soalan-soalan percubaan negeri lain. Saya telah berkongsi kesemua soalan percubaan 2013 dari negeri lain untuk manfaat mereka semua.

Akhir sesi  saya menerima  cenderamata  yang disampaikan oleh pengetua sendiri, Puan Noriah binti Haron.

Menerima cenderamata daripada pengetua

Bangga & Doa

Saya berasa sangat bangga dan kagum dengan semangat yang dipamerkan oleh calon-calon PMR dan SPM 2013. Kesungguhan dan ketekunan mereka sungguh menakjubkan. Cuma mereka perlu panjangkan semangat tersebut hingga ke hari peperiksaan. Tidak mustahil mereka akan mencipta kejutan bila keputusan peperiksaan diumumkan kelak.

Wahai anak-anak pelajar SMKA Igan, doa ustaz sentiasa mengiringi perjuangan kalian. Ya Rabb, bimbinglah dan pimpinlah mereka ke jalan yang Engkau redai. Kurniakanlah kepada mereka kejayaan dan kecemerlangan dalam PMR dan SPM dan jadikanlah mereka hambaMu yang cemerlang di dunia dan di akhirat.. Aamiin ya rabbal Alamin.

Makanan & Santai

Selepas solat Jumaat, kami makan tengahari di rumah pengetua. Setiap kali makan tengahari atau malam kami dihidangkan dengan menu  istimewa menyebabkan saya kerap kali terlebih makan kerana semua masakan sangat sedap, enak dan berselera. Hebat betul ‘chef’ yang menyediakan masakan ‘kelas A’.
Obor-obor dengan pencicah

Dijamu juga beberapa jenis masakan tradisional seperti obor-obor dan umai. Umai adalah isi ikan mentah yang diperah cuka dan asam limau. Tidak asing bagi saya kerana di Kelantan ia dinamakan dengan lawar. Habis juga dua mangkuk. Meratah ikan adalah kegemaran saya kerana ia sumber protein utama yang bebas kolesterol dan minyak. Dimaklumkan harga makanan laut di sini tidak mahal kerana terdapat kawasan ini merupakan perkampungan nelayan.


Bersama ustaz Johari di Muara Batang Igan berlatarbelakangkan feri

Bersama Ustaz Abi Sufian di tapak pesta kaul
Pada petang Jumaat ustaz Johari dan ustaz Abi Sufian membawa saya berjalan-jalan di muara batang Igan, iaitu tempat feri mengangkut kenderaan untuk ke seberang. Kemudian menuju bandar Mukah. Sempat singgah di tapak Pesta Kaul. Pesta Kaul diadakan pada bulan April dan ia mengandungi unsur pemujaan [muslim tidak sepatutnya mengikuti ritual syirik]. Singgah solat Asar di masjid utama di bandar Mukah. Masjid ini dinamakan Masjid Setia Raja.

Semasa singgah di pasar Mukah, sempat juga membeli buah kegemaran iaitu anggur hitam. Ada satu gerai yang menjual ulat sagu. Geli melihatnya. Tak sanggup untuk menyentuhnya. Bila ditanya berapa harga sekilogram, penjual menjawab RM50 sekilogram. Terkejut. Setelah berhenti minum di sebuah restoran, kami bertolak pulang ke Igan. Jarak dari bandar Mukah ke Igan lebih kurang setengah jam perjalanan.
Ulat sagu. Ada berani?

Pada petang hari kedua berada di sana iaitu petang Sabtu, ustaz Johari membawa saya bersiar-siar ke Pekan Dalat. Dalam perjalanan pulang, singgah minum di Pantai Oya bersama ustaz Shukri, PK HEM SMKA Igan.

Alhamdulillah & Setinggi-tinggi penghargaan

Segala puji bagi Allah yang mempermudahkan semua urusanku sepanjang kembara ke bumi kenyalang tanpa sebarang kesulitan dan musibah sepanjang perjalanan pergi dan pulang. Allah juga mempermudahkan semua urusan saya sepanjang berada di sana dan memberi petunjuk dan pedoman untuk berkongsi ilmu yang ada. Alhamdulillah.

Saya mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada Pengetua SMKA Igan, Ustazah Noriah Bt Haron, barisan pentadbir, semua guru terutama al-Fadhil Ustaz Johari yang sudi meluangkan masa bersama saya dan menjadi pemandu pelancong tak bertauliah ke sana-sini walaupun sibuk dengan urusan keluarga. Tidak dilupakan juga al-Fadhil ustaz Abi Sufian yang sudi menemani saya dan menjadi 'cameraman profesional' :). Segala bantuan dan layanan ‘VVIP’ yang diberikan sepanjang saya berada di di bumi Igan sangat saya hargai. Segala jasa baik dan khairat kalian semoga dibalas dengan sebaik-baik ganjaran di sisi Allah SWT di dunia dan di akhirat. Jazakumullah Khairal jaza’.


Semoga Allah SWT menjadikan semua penat lelah kita sebagai amal soleh dan ‘khairat’ di akhirat sana serta mengurniakan kecemerlangan kepada semua anak didik kita.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share