AbuAqil aka AbuSakeena
Beberapa bulan yang lalu
sahabat baik saya al-fadhil ustaz Abdul
Aziz Abdul Ghaffar menghubungi saya untuk menjemput ke sekolahnya SMKA Tun Said, Kota Belud, Sabah
atas tujuan untuk memantapkan Bahasa Arab SPM dan PMR. Tahun lepas telah ke
Sabah dengan tujuan yang sama tapi atas tiket jemputan SPI, JPN Sabah. Saya
tanpa beralasan menerima jemputan tersebut.
|
Sesi perkenalan |
Alhamdulillah jemputan untuk perkongsian ilmu bermanfaat saya tidak pernah menolaknya dan tidak tergamak
untuk mengecewakan mereka yang ingin menuntut ilmu walaupun sebenarnya saya
bukanlah orang yang layak. Ini ceramah teknik menjawab bahasa arab yang keempat bagi SPM selepas SMI Aman, SMKA Wataniah dan SMKA Melor pada bulan lepas dan yang kedua bagi PMR pada tahun ini.
Program yang telah lama
ustaz Aziz rancang beberapa kali tertunda disebabkan masalah yang tidak dapat
dielakkan. Akhirnya diizinkan Allah jua pada 23 dan 24 Ogos 2013 yang lepas. Saya
bertolak dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra pada pukul 4.05 minit petang
dan tiba di KLIA sejam kemudian dengan penerbangan MAS. Disambut oleh anak
saudara di sana yang bekerja di KLIA sebagai polis bantuan. Penerbangan ke Kota
Kinabalu tertunda selama sejam menyebabkan saya tiba agak lewat iaitu pada
pukul 10.00 malam setelah dua jam setengah dalam penerbangan.
|
al-Fadhil ustaz Aziz yang sentiasa sibuk |
Ustaz Aziz telah menunggu di
KKIA bersama seorang lagi rakan sekolahnya iaitu encik Kadir. Kami menjamu
selera di Restoran Arab Andalus di pusat bandar. Kemudian saya dibawa ke
penginapan di homestay di Aravilla Homestay, Kg Jawi-Jawi, Kota Belud. Lokasinya hanya bersebelahan dengan
tempat tinggal ustaz Aziz iaitu lebih kurang 60 meter.
Hari Pertama (23 Ogos
2013)
Agak keliru sikit dengan
perubahan masa di sini kerana masanya cepat satu jam berbanding di semenanjung.
Pukul 6.00 pagi matahari telah terbit berbanding kebiasaannya waktu subuh baru
masuk. Sepanjang pagi saya dapat berehat untuk hilangkan keletihan dan
kekalutan pada hari sebelumnya. Masa yang ada digunakan untuk update slide power
point ceramah teknik yang akan diadakan pada sebelah petang. Bersarapan di
sekolah Kebangsaan jawi-jawi dan bersolat jumaat di masjid jamek Jawi-jawi.
Dekat sahaja jaraknya dengan tempat penginapan.
Slot pertama ialah ceramah
teknik bahasa arab SPM kertas 2 yang diadakan di SMKA Tun Said. Sekolah ini
sangat cantik kerana lokasinya tersergam indah di puncak bukit dan dengan
lanskap bukit di sekeliling. Memukau mata yang memandang.
Ceramah bermula pukul 2.30
petang. Alhamdulillah sepanjang saya
berceramah inilah ceramah paling lama iaitu 3 jam tanpa henti malah ceramah
yang paling mendapat perhatian sepenuhnya oleh calon-calon SPM sekolah tersebut
seramai 50 lebih. 3 jam berlalu dirasakan hanya sekejap kerana tumpuan dan
fokus pelajar memberi semangat dan kekuatan kepada saya.
Di samping ceramah teknik
menjawab saya selang-seli dengan aktiviti bengkel menjawab soalan dalam
kumpulan untuk mengelakkan pelajar terlena atau hanyut. Mendapat tindak balas
yang positif daripada pelajar yang bersemangat untuk mencapai kecemerlangan
walaupun mereka pada awalnya agak malu-malu. Soal jawab berjalan dengan lancar
dan mendapat tindak balas yang memuaskan hati saya. Ceramah berakhir pada pukul
5.30 petang dan akan bersambung pada sesi malam pula. beberapa foto pelajar untuk kenangan.
Soal jawab berjalan dengan lancar
dan mendapat tindak balas yang memuaskan hati saya. Ceramah berakhir pada pukul
5.30 petang dan akan bersambung pada sesi malam pula.
Tepat jam 7.45 malam
dimulakan slot kedua iaitu ceramah teknik untuk kertas 1.
Walaupun sehari
suntuk mengerah minda namun pelajar tidak menampakkan rasa letih atau boring.
Tercetus rasa bangga dengan pelajar-pelajar di sekolah ini padahal saya
sendiripun rasa sangat letih. Alhamdulillah slot ceramah dapat disempurnakan
dan berakhir pukul 9.45 malam setelah pelajar selesai berbincang dan menjawab
kesemua 40 soalan yang disediakan. Para pelajar akan berbengkel keesokannya
bersama al-fadhil ustaz Azman dan 2 orang fasilitator jemputan.
Kami makan malam di restoran
masakan ala-Thai di Restoran Seri Dewi Malam. Tidak dapat berborak panjang kerana
perlu berehat seawal mungkin kerana awal pagi akan bersama pelajar PMR pula.
Pulang ke homestay terus lena ekoran kepenatan.
Hari Kedua ( 24 Ogos
2013)
Bertolak ke Sekolah Agama
Rakyat (SAR), Kg Tambulion yang mengambil masa perjalanan selama 20 minit. Di
sana saya akan berceramah dan berbengkel dengan calon-calon PMR yang sedang
terlibat dalam kem motivasi anjuran pihak kaunseling SMKA Tun Said. Ceramah
dimulakan dengan motivasi keutamaan B. Arab sementara menunggu arus letrik yang
terputus. Sempat berceramah dan mengadakan aktiviti menjawab soalan-soalan. Pada
awalnya respon pelajar agak kurang positif disebabkan mereka hanya tidur
beberapa jam pada malam sebelumnya. Jelas pada wajah mereka mengantuk dan
letih.
|
Bersama pelajar PMR di kem motivasi |
Mereka mula fokus bila diagihkan tugasan menjawab soalan dalam kumpulan.
Program sepanjang 2 jam setengah berakhir pada pukul 10 pagi untuk slot
motivasi berikutnya. Sakit lama datang kembali iaitu lenguh-lenguh dan sakit
pinggang. Mungkin kesan lama berdiri berterusan. Alhamdulillah tidak
berpanjangan.
Bertolak pulang dan singgah
di bandar Kota Belud untuk mencari lauk makan tengahari. Bandar Kota Belud agak
besar juga dan agak unik kerana di bandarnya tiada langsung lampu isyarat
kerana ia diganti dengan bulatan.
Balik berehat seketika
sebelum makan tengahari di rumah ustaz Aziz. Urusan menjamu selera tiada
masalah kerana semua hidangan disediakan oleh keluarga ustaz Aziz. Sepanjang
berada di sana saya menikmati hidangan makanan lauk yang segar. Udang harimau
yang besar, ketam serta sotong yang segar. Jarang-jarang sekali boleh mengambil
tiga jenis makanan ini. Kalau dimakan
secara berlebihan boleh memudaratkan kesihatan seperti kegagalan buah pinggang
dan penyakit ghout.
Daerah ini merupakan kawasan yang terkenal dengan
tempat pendaratan hidupan laut yang segar dan murah. Sempat juga menikmati
makanan kegemaran iaitu ikan bakar yang dimakan panas-panas. Sumber protein
yang menyihatkan.
Selepas solat zohor saya
berkemas barang-barang untuk pulang ke Kota Bharu. Kami menuju ranau untuk
melihat lebih dekat gunung Kinabalu. Perjalanan yang melalui jalan berbukit dan
berselekoh bahaya memakan masa hampir 2 jam. Melalui jalan ini mengingatkan saya waktu berulang-alik dari Cameron Highlands ke kampung selama setahun setengah.
Tiba di pasar Kundasang pada pukul
3.30 petang. Namun kecewa juga kerana tidak dapat meninjau gunung Kinabalu yang
dilitupi awan tebal ekoran cuaca kurang baik. Tidak lama berada di sana dan
terus menuju KKIA takut terlepas penerbangan pada pukul 6.45 petang.
|
Berlatar belakangkan gunung Kinabalu yang terlindung di balik awan |
|
Pasar Kundasang penuh dengan sayuran-sayuran segar |
Tiba di KKIA pukul 5.50
petang. Selepas check-in saya berpisah dengan sahabat baik yang bersusah payah
dan berpenat lelah melayan saya sepanjang dua hari di sana. Semoga bertemu lagi
selepas ini..Insya Allah. Penerbangan ke Kota Bharu ditunda pula dari pukul
10.35 ke pukul 11.50 malam. Menunggu lagi di KLIA dan tiba di Kota Bharu pukul
1.00 pagi. Tiba di rumah terus ‘cas bateri’ sebab esok akan bertugas seperti
biasa di sekolah.
Kembara &
Pengalaman
Sepanjang 3 malam 2 hari di
Kota belud, Sabah merupakan pengalaman yang sangat bernilai yang akan meluaskan
pandangan dan mematangkan diri yang kerdil ini. Budaya hidup, tempat tinggal
dan pemakanan di tempat lain tidak sama dengan kehidupan di tempat sendiri.
Musafir beribu batu dengan nawaitu untuk berkongsi ilmu Allah tetap akan
diutamakan walaupun apa halangan. Kerana inilah periuk nasi saya di akhirat
nanti. Tiada apa yang diidamkan daripada kembara ini melainkan inginkan reda
dan rahmat Allah di akhirat kelak. Dapat menatap wajah-wajah saudara seagama di
bumi Sabah sangat besar nilainya. Memang memenatkan kerana sentiasa mengejar
masa. Namun sangat berbaloi. Kalau masih diberi peluang pada masa akan datang
saya tidak akan menolak untuk hadir sekali lagi ke bumi Sabah.
Kepada anak-anak pelajar
calon SPM dan PMR 2013 SMKA Tun Said, ustaz doakan anda akan mencapai keputusan
yang cemerlang dalam peperiksaan nanti terutama kertas Bahasa Arab. Semoga kita
akan bertemu lagi pada masa akan datang.
Setinggi-tinggi perhargaan
dan berbanyak terima kasih kepada tuan pengetua SMKA Tun Said, semua guru-guru yang
terlibat, khasnya ustaz Aziz serta keluarga dan ustaz Azman yang sudi menerima kunjungan saya
seadanya. Hanya Allah yang mampu membalas budi baik kalian semua. Jazakumullah
kharal jazaa’.
4 comments:
Alhamdulillah...ini sekolah saya ustaz..syukran atas bahan2 yg dikongsikan..:)
afwan fatin..sekolah yang hebat :)
kmi calon2 spm 2013 mengucapkan terima kasih..atas ksanggupan ustaz bkongsi ilmu bersama kami..
sama2.sampaikan salam ustaz utk semua calon.jangan lupa doakan ustaz..
Catat Ulasan