09 Mac, 2013

Inginkah Anda Berada di Taman Syurga?



Setiap insan tidak dapat lari daripada ditimpa sakit


AbuAqil aka AbuSakeena

Antara perkara yang menenangkan jiwa kita dan menyejukkan mata memandang ialah bila kita berada di taman yang menghijau penuh dengan bunga yang berwarna warni, pohon yang rendang serta buah-buahan yang masak ranum. Sungguh indah pemandangan sedemikian.

Rasulullah saw ada menjelaskan bahawa terdapat satu amalan yang menyebabkan seseorang akan berada dalam taman syurga dalam keadaan memetik buah-buahan . Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab kelebihan menziarahi orang sakit.

عَنْ ثَوْبَانَ مَوْلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ:"مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِي خُرْفَةِ الْجَنَّةِ، قِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا خُرْفَةُ الْجَنَّةِ؟قَالَ:" جَنَاهَا

Daripada Tsauban Maula Rasulullah saw bahawa baginda bersabda : Sesiapa yang menziarahi orang sakit maka dia sentiasa berada di “khurfatul Jannah”( taman syurga). Rasulullah saw ditanya : Wahai Rasulullah apakah ‘Khurfatu Jannah’. Baginda saw menjawab : dia memetik buah-buahannya.”
Imam al-Nawawiy mensyarahkan maksud hadis di atas : “ Iaitu amalan tersebut akan membawanya ke syurga dan memetik buah-buahnya”.

Dalam hadis riwayat lain Nabi saw bersabda yang bermaksud :

“Orang yang Menziarahi orang sakit berada di taman syurga sehingga dia pulang”[Imam Muslim]

Sungguh besar ganjaran kepada sesiapa yang mengamalkan sunnah menziarahi orang sakit. Kita sentiasa mendapat khabar seseorang yang sakit sama ada ahli keluarga sendiri, sahabat-handai atau jiran sekampung namun kita tidak mengambil kesempatan untuk letakkan diri kita di taman syurga kerana alasan sibuk dan tiada masa. Sungguh rugi kerana kita menolak tawaran besar dan isitimewa daripada Allah swt.

Semoga selepas ini kita tidak lepaskan peluang keemasan untuk berada di taman syurga bila mendapat khabar sesiapa sahaja yang sakit dengan melawat mereka dengan menjaga adab-adab melawat orang sakit.

Semoga Allah membimbing dan memudahkan kita semua untuk mengamalkan amal soleh yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share