29 Mac, 2012
Pengajaran Dari Kembara Nabi Musa a.s
Oleh:
Dr. Mohd Asri Zainul Abidin
Nabi
Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian
memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman
perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu
adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang
susah.
Madyan
yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali
di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera
Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.
Apabila
sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang
menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa
a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu
menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua
gadis tersebut.
Al-Quran
menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan
setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan
Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga
air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang
ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang
sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka
menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga
pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa
kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi
Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang
lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang
dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong
gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang
diharapkan.
Setelah
menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang
teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang
ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang
tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu
atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya
ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali
ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang
memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam
kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat
atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya
ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya
percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing
melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan
yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki
segala kehidupan.
Doa
ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya
yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah
menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka
Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia
pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada
apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas
24).
Maksud
Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja
kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya
ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa
a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat
ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa
Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada
ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa
sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’
atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja
makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang
insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia
Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat
seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis
tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah
mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas
pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah
dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar
bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa
pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan
dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah
memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan
dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan
bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung
kepadaNya.
Jauh
Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak
musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa
bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang
hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan
berlaku.
Demikian
jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang
dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain
mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan
ujian yang mencabar.
Kita
sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan
al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk
kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa
kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.
Banyak
ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa
ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang
menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa,
tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk
kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir.
Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan
nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman
Allah: (maksudnya)
Demi
sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan,
kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar
gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka
ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah
kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang
dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah
orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita
tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah
rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar
kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala
dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada
apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan
Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat
Muslim).
Melihat
manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang
dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang
tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka
yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita
terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik
daripada diriku ini”.
Kita
semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita
mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah
yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar
selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta
ilaiya min khairin faqir” (“Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada
apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).
0 comments:
Catat Ulasan