06 Februari, 2012
Dia Pernah Mencintaimu
ABU SAIF @
www.saifulislam.com
“Alangkah
teringinnya di hatiku andai aku berpeluang bertemu dengan saudara-saudaraku,”
ujar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.
Suasana hening di
pinggiran perkuburan al-Baqi’. Merenung tempat semadi para mukminin yang telah
pergi, dan pasti Baginda juga akan menyertai mereka, seperti kita semua.
“Bukankah kami
ini juga saudara-saudaramu wahai utusan Allah?” para sahabat melontarkan
soalan.
Persoalan.
Jika Nabi
sallallaahu ‘alayhi wa sallam merindukan saudara-saudaranya, apakah ada saudara
yang lain selain mereka, para sahabat?
“Kalian adalah
sahabatku. Ada pun saudara-saudaraku yang kumaksudkan, mereka adalah
orang-orang beriman yang belum ada!” jawab Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam.
Aneh.
Mencintai insan
yang belum ada.
Seandainya
seorang anak muda, termenung sedih di jendela angan-angan, runsing menanggung
rindu kepada bakal isteri, yang orangnya belum ada… itu sudah menjadi satu
kegilaan. Di luar kebiasaan. Perlukan rawatan.
Tetapi tidakkah
Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam juga mengungkapkan cinta yang di luar
kebiasaan itu? Kematian yang pasti, menjadikan Baginda pasti bahawa peluang
untuk bertemu dengan orang-orang beriman di masa-masa mendatang itu mustahil.
Tidak kiralah bagaimana rupa mereka, di mana mereka berada, bagaimana
keadaannya. Cukup sekadar mengetahui bahawa mereka itu beriman, malah beriman
tanpa pernah bertemu dengannya, sudah menyuburkan rasa cinta.
Cinta luar biasa.
Cinta yang
menjadikan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam itu berkorban segala-galanya.
Cinta itulah yang melimpah dan terus melimpah, hingga kamu yang hidup 1000
tahun selepas pemergiannya, biar sesudut Ceruk Tok Kun sekali pun beradanya kamu,
tiada rumah yang tidak diketuk cinta Nabi.
SENYUMAN PERPISAHAN
Tiga hari Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak mampu hadir berjamaah dengan
kekasih-kekasih Baginda di masjid. Sakit kepala dan demam baginda semakin
menjadi-jadi.
Subuh Isnin, 12 Rabi’ul
Awwal tahun ke 11H,
Tatkala Abu Bakr
radhiyallaahu ‘anhu membetulkan saf untuk mengimamkan solat, Baginda
sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyelak tabir yang memisahkan bilik Baginda dan
ruang solat di Masjid.
“Sungguh takjub.
Wajah Baginda seperti lembaran mushaf. Rasulullah sallallaahu alayhi wa sallam
semasa memerhatikan kami, Baginda tersenyum dan ketawa kecil. Kami terlalu
gembira melihat wajah itu. Abu Bakr sendiri berundur kerana menyangkakan
Baginda mahu mengimamkan solat kami. Tetapi Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa
sallam mengisyaratkan agar kami memula dan menyempurnakan solat,” kata Anas bin
Malik, Radhiyallahu ‘anhu.
Wajah itu
mengubat rindu mereka.
Tiga hari yang
hilang warna dan sepi.
Tabir dilabuhkan
dan kaum Muslimin meneruskan solat.
Senyuman Baginda
itu penuh cinta dan kasih. Senyuman yang kaya dengan kepuasan melihat kaum
Muslimin.
Sangka mereka itu
senyum kesembuhan.
Rupa-rupanya ia
adalah senyuman perpisahan…
Dhuha Isnin, 12
Rabi’ul Awwal tahun ke-11 Hijriah, Kekasih Allah itu pulang ke Teman Tingginya.
“Fee
al-Rafeeq al-A’laa, Fee al-Rafeeq al-A’laa...” Baginda menghulurkan
telunjuk kirinya ke langit.
“Kembali ke Teman
yang Maha Tinggi, Kembali ke Teman yang Maha Tinggi” bibir itu lesu menuturkan
sebuah pemergian.
Tangan itu rebah
terkulai.
Basah dalam
bejana air.
Seperti air mata
sekalian umat yang ditinggalkannya.
Baginda wafat
dalam jiwa yang penuh kasih sayang. Jiwa yang terselit di lubuk hatinya sebuah
kerinduan.
Merindui
saudara-saudaranya.
Kita.
SEBUAH PERTANYAAN CINTA
Justeru…
Bertepukkah
tanganmu menyambut cinta yang agung itu?
Cintakah kamu
kepada Pencinta yang agung itu?
Hati kecil itu
tidak mampu berbohong.
Engkau tahu di
mana cinta itu di hatimu….
“Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku
lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya dan anak bahkan sekalian
manusia” [riwayat al-Bukhari, Muslim, an-Nasa’ie dan Ibn Majah]
0 comments:
Catat Ulasan