Jazaakallahu Khaira ya Hilmi Hashim ala Ziaratik al-Hilwah. |
24 Januari, 2012
Persahabatan Yang Peroleh Reda Allah
Semalam ketika sedang beriadah dengan anak-anak didik
bermain badminton di dewan Lundang saya menerima satu panggilan telefon yang
tidak pernah terima sebelum ini. Panggilan
daripada seorang sahabat yang bekerja di Dubai.
Dia terkejut kerana saya dapat menyebut namanya sebelum
dia memperkenalkan diri. Sebenarnya namanya tertera di skrin hp saya ‘hilmidubai’.
Nombor yang diperolehi ketika chat
dengan di FB. Nama penuhnya Hilmi Hashim. Anak kelahiran Kuala Lumpur yang
membina kerjaya di Dubai dan akan berhijrah ke Riyadh. Satu-satunya rakan
sependidikan bekerja di bumi Arab.
Dia memaklumkan sedang berada di Kuala Krai dalam
perjalanan ke Kota Bharu. Alhamdulillah ini peluang untuk bertemu dengan
setelah putus selama 13 tahun. Terakhir jumpa semasa sama-sama menuntut ilmu di
Akademi Pengajian Islam UM Kuala Lumpur. Itupun sekadar bertembung di tengah
jalan kerana fakulti yang berbeza. Saya Usuluddin, dia Syariah.
Saya terus memanggil anak-anak didik kerana terpaksa
pulang. Ada kes kecemasan, kata saya. Setelah menghantar mereka semua, solat
zohor saya terus bergegas ke Masjid Muhammadi. Kami berpelukan setelah bertemu.
Saya sangat terharu dapat menemuinya. Tanpa berbual panjang saya terus
menjemputnya naik kenderaan saya untuk ke Restoran Sham untuk makan tengahari. Semua
menu telah ditempah lebih awal.
Kami sempat berbual pelbagai topik sambil makan. Dari cerita
diri-sendiri, kerjaya masing-masing hingga perkembangan rakan-rakan sekuliah. Ternyata
dia ambil tahu hampir semua rakan-rakan yang telah membina kerjaya
masing-masing. Sungguh hebat hamba Allah seorang ini.
Kehadirannya ke KB tiada niat lain melainkan untuk
menziarahi sahabat-sahabat lama. Namun agak malang kerana hanya sempat berjumpa
dengan saya. Sahabat-sahabat yang lain tidak berada di kampung kerana ramai
yang bertugas di perantauan.
Niat murni sahabat ini mengingatkan saya kepada hadis
nabi saw :
Imam Muslim meriwayatkan dari Abu
Hurairah radhiyallahu’anhu, Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam menceritakan,
“Ada seorang lelaki yang mengunjungi saudaranya di suatu daerah lain. Maka
Allah mengirim malaikat untuk memerhati perjalanannya. Ketika lelaki itu
bertemu dengan penjelmaan malaikat tersebut, malaikat itu bertanya kepadanya,
“kamu hendak ke mana?”.
Lelaki itu menjawab, “Saya ingin
menemui seorang saudara –seagama- saya yang ada di daerah ini.” Malaikat itu
bertanya, “Apakah anda mengharapkan tambahan nikmat (dunia) dengan
menemuinya?”. Dia menjawab, “Tidak. Hanya saja saya ingin mengunjunginya kerana
saya mencintainya kerana Allah ‘azza wa jalla.” Malaikat itu pun berkata,
“Sesungguhnya aku dikirim oleh Allah untuk menemuimu dan memberitahu kepadamu
bahwa Allah mencintaimu sebagaimana kamu telah mencintainya kerana
diri-Nya.”(Imam Muslim)
Juga hadis yang menyebut tujuh golongan yang akan
mendapat naungan Arasy Allah di padang mahsyar. Salah satu daripadanya ialah : Dua orang yang saling mencintai kerana Allah,
dimana keduanya berkumpul dan berpisah kerana Allah.
Walaupun pertemuan sekitar 2 jam, namun saya agak bersyukur dan bangga
dengan sikapnya yang sangat prihatin dengan ukhuwwah fillah. Persahabatan kerana
Allah. Sikap yang jarang ada dalam dalam diri muslim pada masa kini dengan
alasan sibuk dengan keluarga, kerjaya dan lain-lain.
Selepas berpisah dengan saya dia akan bertemu dengan rakannya seorang
lagi di KB sebelum meneruskan musafirnya ke Kuala Terengganu dan Kuantan atas
nawaitu yang sama…Ukhuwwah fillah.
Semoga Allah membalas anda dengan sebaik-baik balasan dan menjaga anda
sepanjang masa di dunia dan akhirat. Semoga kita perolehi naungan Ilahi kelak.
Jazaakallahu Khaira ya Hilmi Hashim ala
Ziaratik al-Hilwah.
0 comments:
Catat Ulasan