22 Oktober, 2011
Wahai Pelajar Jangan Gelapkan Hatimu Dengan Dosa!
AbuAqil aka AbuSakeena
“Ustaz, kenapa saya mudah lupa ilmu
yang dihafal?”.
“Saya dah hafal ustaz tapi lupa
pulak”.
Ungkapan-ungkapan begini biasa
dijadikan alasan oleh pelajar bila gagal menjawab tugasan yang diamanahkan. Lupa
sesuatu yang dihafal adalah perkara biasa dalam rutin menuntut ilmu. Itu adalah
kelemahan insan yang mudah lupa. Lebih-lebih lagi bila kita menghafal secara
tidak serius, hafal dengan tidak faham apa yang dihafal, hafal main-main, tidak
fokus, hafal ketika akal tersangat letih dan seumpamanya.
Untuk mengekalkan hafalan tidak
dapat tidak kena sentiasa menyemak hafalan. Kerana walaupun hafalan telah
mantap lama-lama akan hilang juga satu masa nanti. Jadi kita hendaklah sentiasa
mengulang hafalan yang lama untuk’refresh’.
Faktor lain yang menyebabkan mudah
lupa atau susah ingat ilmu ialah kerana hati kotor dengan dosa dan maksiat. Perkara
ini dinyatakan dalam al-Quran yang bermaksud :
“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu
mereka usahakan itu menutupi hati mereka.”
(Surah Al Muthoffifin, ayat 14)
Umum ayat di atas diterangkan oleh
Rasulullah saw dalam hadis :
“Seorang hamba apabila melakukan suatu kesalahan, maka
terlekat di hatinya satu titik hitam. Apabila ia
meninggalkannya dan meminta ampun serta bertaubat, hatinya dibersihkan. Apabila
ia kembali (berbuat dosa), maka ditambahkan titik hitam tersebut hingga
menutupi hatinya. Itulah yang diistilahkan “ar raan” yang Allah sebutkan dalam
firman-Nya (yang artinya), ‘Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang
selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka’.”[ al-Tirmizi, Ahmad, Ibn majah]
Al Hasan Al Basri rahimahullah mengatakan, “Yang dimaksudkan dalam ayat tersebut adalah
dosa di atas tumpukan dosa sehingga menyebabkan hati menjadi gelap dan lama kelamaan
pun mati.” Demikian pula yang dikatakan oleh Mujahid, Qotadah, Ibnu Zaid dan
selainnya. [Tafsir al-Quran al-Azim, Ibn Kathir]
Inilah di antara bahaya maksiat bagi
hati. Lebih-lebih lagi kepada seorang penuntut ilmu. Ilmunya akan sukar
terkesan kepada hati. Maka mustahil ilmu itu akan bermanfaat kepadanya. Untuk seseorang
pelajar melakukan dosa adalah tersangat mudah seperti mengingkari suruhan guru
dan biadap kepadanya, ponteng kelas, meniru, tidak tumpu perhatian semasa guru
mengajar atau kesalahan disiplin yang lain. Apatah lagi terlibat dengan
kesalahan mencuri, membohongi, bergaduh, berkhalwat dengan bukan mahram atau ‘couple’.
Mereka yang terlibat dengan
kesalahan-kesalahan seperti di atas mustahil keputusan peperiksaannya
memuaskan. Biasanya keputusan yang akan mengecewakan ibubapanya. Sama ada tanpa
A atau sekadar 1A atau 2A sahaja.
Oleh yang demikian para penuntut
ilmu sepatutnya menghindari sedaya upaya sebarang dosa dan maksiat yang boleh
meggelapkan hati agar ilmu yang dipelajari membekas di hati dan dapat
diterjemahkan dalam kehidupan seharian.
Namun sebagai insan yang daif kita tidak
dapat lari daripada melakukan dosa. Jangan bimbang kerana Allah memahami dan
mengetahui perkara tersebut. Hadis di atas telah menjelaskan cara untuk
mengatasinya iaitu sentiasa memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya
bila terlanjur melakukan dosa untuk
membersihkan semula dosa.
Semoga Allah membimbing kita semua
ke jalan yang diredaiNya.
0 comments:
Catat Ulasan