15 Oktober, 2011
Dari Seorang sami Kepada Muslim
SAYA menerima anugerah gelaran yang sangat mulia, iaitu Bhagwan
(tuhan) daripada pengikut-pengikut saya. Tetapi saat itulah sebenarnya saya
berada dalam kesesatan dan kegelapan dan saya tercari-cari cahaya untuk keluar
daripada kegelapan itu," katanya.
Dr. Maharaj atau nama sebenarnya Achariya Mahant Dr. Shri Shakti
Saroopji Maharaj Adasin Dharmachariya Odai Shakti bukan sahaja penganut Hindu
sebelum memeluk Islam tetapi beliau sebenarnya tokoh Hindu terkemuka di India.
Sami atau pendeta besar yang bertahun-tahun lamanya berkhidmat di
kuil-kuil besar termasuk di Kuil Ban Khand Ashram Brindaban di Mathura, Uttar
Pradesh di utara India untuk menyebarkan agama Hindu. Tugasnya melatih
pendeta-pendeta untuk menyebarkan agama itu.
Begitu pun tidak sahaja tugas tersebut sebagai meneruskan tradisi
warisan keluarga dan keturunan (dilahirkan dalam keluarga Guru Nanak Vedi Wanash).
Bahkan beliau amat berilmu kerana mempunyai pelbagai kelulusan akademik dalam
pengajian agama.
Ini termasuk pemegang sarjana dalam pengajian Orientalism dari
Universiti Allahabad India, sehinggalah Doctor Of Divinity dari Universiti
Oxford, United Kingdom.
Beliau turut boleh bertutur dan menulis dalam 12 bahasa iaitu
Bahasa Inggeris, Sanskrit, Greek, Dibro, Prakirit, Pali, Gurmukhi, Marhathi,
Gujrati, Urdu dan juga Bahasa Arab.
Semua itu adalah kelebihan untuk beliau menguasai pengetahuan
mengenai 10 agama besar dunia yang lain terutamanya Kristian dan Islam itu
sendiri.
Kehebatan itu menyebabkan banyak pihak cuba menguji beliau. Paling
menarik apabila Dr. Maharaj mendapat pengiktirafan tinggi oleh pusat Gereja
Roman Katholik (Vatican City) apabila beliau mendapat undangan khas Pope, Paul
VI pada tahun 1981.
"Atas undangan khas itu, mereka sebenarnya cuba memberi
tekanan yang cukup hebat apabila saya dikehendaki bercakap tujuh topik berbeza
atas pengetahuan yang saya miliki mengenai Kristian.
"Saya berjaya membuatkan mereka berpuas hati dengan
hujah-hujah sehinggakan saya dianugerahi gelaran dan penghormatan khas menjadi
warga Vatican City sebagai satu usaha untuk menarik saya untuk memeluk
Kristian.
"Tetapi secara peribadi saya sama sekali tidak tertarik bertukar
agama malah pulang semula ke India," katanya.
Sebenarnya, beliau lebih terpengaruh dengan ajaran Islam walaupun
berjaya memuaskan pihak Vatican atas pengetahuan luasnya terhadap ajaran
Kristian.
Pada tahun yang sama (1981) beliau menyampaikan syarahan dalam
pertemuan di Kuil Ashram Param Dham yang turut dihadiri tokoh-tokoh agama Hindu
yang lain.
Ini termasuklah Dada Dharam Adhikari yang secara tiba-tiba
mengajukan satu soalan kepada Dr. Maharaj.
"Swami Ji, anda telah mengenali dan mempelajari pelbagai
agama yang ada di dunia ini. Pada pandangan awak sekarang, dalam banyak-banyak
agama, agama manakah yang awak rasa paling baik untuk dianuti oleh seluruh
manusia?"
Soalan yang tidak disangka-sangka itu dijawab pendek tetapi tegas
oleh Dr. Maharaj: "Islam".
"Tetapi Islam sebuah agama yang mengongkong umatnya,"
tanya Dada Dharam yang lebih terkejut dengan jawapan Dr. Maharaj.
Dr. Maharaj pun menjawab: "agama yang disebut sebagai sangat
mengongkong itu, agama itu jugalah memberi kebebasan kepada umatnya. Malah
sebenarnya agama yang dianggap tidak mengongkong manusia itulah menyebabkan
penganutnya menjadi tidak bebas, terikat kepada pelbagai peraturan dan ajaran
yang tidak masuk akal.
"Pada hakikatnya, manusia memerlukan agama yang mengongkong
kehidupan supaya kehidupan mereka di dunia ini teratur dan aman dari segala
macam masalah dan godaan duniawi tetapi kesudahannya menikmati kebebasan
sepenuhnya untuk kehidupan di akhirat kelak.
"Bagi saya Islamlah, satu-satunya agama yang memenuhi segala
kualiti sebagai agama yang paling baik".
Jawapan itu sangat mengejutkan tetapi dianggap tidak lebih
daripada sebagai pengetahuan semata-mata. Sedangkan bagi Dr. Maharaj ia tidak
lebih peperangan dalam diri yang membawakan beliau akhirnya menyerahkan diri
kepada Islam, sebagai satu kemenangan besar yang mengeluarkan dirinya daripada
kesesatan.
Begitulah kesannya apabila ilmu dikuasai. Walaupun pelbagai agama
dikenali dan dipelajari namun ia tidak membuatkan hati Dr. Maharaj menjadi
berbelah bagi. Malah yang beliau temui adalah kekuasaan Allah. Lebih-lebih lagi
Allah dan kisah Nabi Muhammad ada disebutkan dalam agama-agama yang beliau
kaji.
"Kecuali dalam ajaran Buddha dan Jainism, dalam semua ajaran
agama yang lain ada disebutkan mengenai nama Allah dan Mohamad atau Ahmad.
Malah dalam kitab Hindu sendiri, perkataan Ala terdapat di Bab Pertama dalam Rig Veda yang menjadi permulaan kepada empat
huruf nama Allah itu.
"Begitu juga persamaan 'Moha-mmad' dan 'Ah-mad' untuk Nabi
Muhammad dan Ahmad dan 'Kurdha-noo' turut digunakan dalam kitab Rig Veda yang merujuk kepada kitab suci
al-Quran," ujarnya.
0 comments:
Catat Ulasan