07 Julai, 2011
Kembali ke Maahad Yaakubiyah Nipah (MAYA)
AbuAqil aka AbuSakeena
Petang tadi saya kembali menjejakkan kaki ke Maahad Yaakubiah Nipah Bachok setelah 22 meninggalkannya. Di situlah saya mengenal pendidikan menengah bermula di tingkatan peralihan sehingga mengambil peperiksaan SRP pada tahun 1989 sebelum melanjutkan pelajaran di Maahad Muhammadi Lelaki Kota Bharu.
Saya kembali ke MAYA pada kali ini sebagai memenuhi jemputan untuk menyampaikan ceramah teknik menjawab bahasa Arab PMR walau pun ini sebenarnya tidak layak. Ditambah pula keadaan kesihatan yang tidak cergas 100% kerana demam selsema dan batuk. Namun amat sukar untuk menolak jemputan bila difikirkan untuk berkongsi ilmu dengan anak-anak didik di sekolah yang pernah kita berada di situ. Ceramah ini merupakan ceramah teknik yang ketiga pada tahun ini selepas SMK Badak dan sekolah sendiri, SMK Dato’ Perdana.
Alhamdulillah, ceramah yang disampaikan lebih kurang dua jam bermula pukul 3 petang mendapat sambutan yang baik di kalangan pelajar walaupun dalam suasana mereka keletihan setelah sehari suntuk menghabiskan sesi pagi dan dalam suasana yang agak panas di sebelah petang.
Tahniah dan terima kasih kepada para pelajar tingkatan tiga MAYA kerana sudi menerima ilmu yang disampaikan mudah-mudahan sedikit ilmu yang dikongsikan akan memberi manfaat kepada anda semua. Seterusnya mampu mencipta A dalam Bahasa Arab PMR kelak Insya Allah. Saya berasa menyesal kerana lupa untuk mengambil gambar sepanjang ceramah teknik tadi untuk diabadikan di blog ini. Semuanya ekoran tergesa-gesa kerana masalah teknikal pada awal majlis.
Terima kasih juga kepada pihak pentadbiran MAYA kerana memberi kepercayaan kepada saya untuk membantu para pelajar MAYA dalam PMR nanti. Semoga PMR 2011 akan menghasilkan lebih ramai pelajar yang memperolehi A subjek Bahasa Arab.
1 comments:
Maya sekolah lama ambo jugok tu.. tahun 1994 ambo situ..sapalah 2001
Catat Ulasan