07 Jun, 2011
Doa Pohon Ilmu Bermanfaat, Rezeki Yang Baik dan Amalan Yang Diterima
AbuAqil aka AbuSakeena
Kali ini saya ingin berkongsi satu doa yang dibaca oleh Rasulullah saw selepas solat subuh. Doa ini walaupun ringkas tetapi memenuhi keperluan setiap individu muslim. Tanpa tiga perkara ini seseorang itu akan hidup dalam kejahilan, tiada arah tujuan, kerugian dan penyesalan di dunia dan akhirat. Doa tersebut ialah :
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً.
Maksud :“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang halal dan amal yang diterima.” (Dibaca setelah salam shalat Subuh).( Sahih Ibn Majah)
Doa yang agung ini amat bersesuaian dibaca kerana waktu pagi merupakan permulaan hari bagi setiap insan memulakan kehidupannya. Setiap hari seseorang akan keluar dari tempat tinggalnya untuk mendapatkan salah satu daripada tiga perkara ini iaitu untuk mencari ilmu ( terutama bagi pelajar), rezeki yang baik serta amal soleh yang diterima oleh Allah.
Tanpa tiga perkara ini maka tiada guna seseorang itu meneruskan kehidupannya kerana pasti dia akan terus berada dalam kemurkaan Allah bila berada dalam keadaan jahil, memburu rezeki haram dan tidak melakukan amal soleh.
Semoga dengan pertambahan usia kita dan semakin menghampiri kematian, kehidupan kita diisi dengan ilmu yang bermanfaat untuk diri sendiri dan dimanfaatkan oleh orang lain. Rezeki yang halal dan baik amat penting disamping semua amalan yang dilakukan akan mendapat balasan pahala di sisi Allah SWT. Berlindung dirilah dengan Allah Yang Maha Agung daripada termasuk dalam golongan yang amalannya sia-sia dan ditolak oleh Allah SWT.
Semoga kita dapat mengamalkan doa sunnah ini dan sentiasa dirahmati Allah serta dipimpin menuju jalan yang diredaiNya.
0 comments:
Catat Ulasan