05 Februari, 2011
Belut : Geli Tapi Berkhasiat
Rugi bagi sesiapa yang tidak memakan belut. Alasannya ialah...geli, terbayang 'binatang' tu dan macam-macam lagi. Anda hanya perlu berani untuk mencubanya kali yang pertama. pasti anda akan menggemarinya selepas itu...Abuaqil
-----------------
Belut atau nama saintifiknya Monopterus albus termasuk kategori ikan dan berbentuk panjang dengan kepalanya yang bulat dan berinsang. Sungguhpun ramai yang tidak "sudi" makan belut, tetapi diakui, hidupan air tawar ini kaya dengan pelbagai khasiat.
Spesies belut mempunyai nilai pemakanan yang tinggi. Khasiatnya dikatakan setanding ikan tenggiri dan selar, mengandungi 18.6 peratus protein dan 15 peratus lemak. Belut juga kaya dengan lemak, kalsium, vitamin B, Vitamin D dan zat besi.
Tidak hairanlah ramai yang percaya belut boleh membantu mengubati penyakit seperti buah pinggang, lelah, darah gemuruh, lemah tenaga batin dan penyembuhan luka pembedahan. Dalam perubatan tradisional, belut dikatakan mampu mengubati pelbagai penyakit.
Bagi pengidap buah pinggang, belut dimakan hidup-hidup ataupun dipanggang terlebih dulu. Limpa belut dipercayai mampu mengubati penyakit lelah caranya, limpa belut salai, kemudian dibakar hangus akan dimakan bersama seulas bawang putih dan serbuk halia. Selain itu amalan meminumnya reneh sup belut dikatakan mampu mengubati penyakit lelah.
Sup belut juga mampu mengubati penyakit darah gemuruh dan mengatasi masalah lemah tenaga batin. Pesakit yang baru selepas pembedahan bagi menyembuhkan luka dan kesan pembedahan dengan lebih cepat.
Spesies ikan ini jika diamalkan memakannya selalu, dikatakan boleh menguatkan daya tahan tubuh, menormalkan tekanan darah, menghaluskan kulit, mencegah penyakit mata, menguatkan daya ingatan dan membantu mencegah hepatitis.
Walaupun tidak ada yang menternaknya secara komersil seperti ternakan ikan keli, belut tetap menjanjikan pulangan yang lumayan kepada penjualnya.
Bagaimanapun, harga belut yang ditangkap lebih mahal berbanding belut yang diternak. Dikatakan belut liar lebih banyak khasiatnya kerana haiwan tersebut hidup di dalam air tawar dan habitat semulajadi.
Harganya boleh mencecah RM8.00 hingga RM11.00 sekilogram dan meningkat hingga ke RM14.00 sekilogram pada musim hujan. Manakala belut yang dibela harganya adalah RM6.00 hingga RM7.00 sekilogram.
Zaman dahulu, orang yang makan belut dianggap terlalu miskin hinggakan belut pun dibawa balik. Sedangkan hari ini, hidangan belut terutamanya sup belut sukar didapati dan harganya pula lebih mahal daripada sup biasa.
Dek kerana ramai yang telah menyedari khasiat istimewa belut, tidak hairanlah harganya meningkat di pasaran.
0 comments:
Catat Ulasan