01 Disember, 2010

Untuk Apa Sebenarnya Kehidupan Ini?



AbuAqilAdnan

Untuk apa sebenarnya kehidupan ini? Untuk apa sebenarnya kita diciptakan dan ditempatkan di dunia ini? Dengan usia dalam lingkungan 60-70 tahun,apa sepatutnya kita lakukan? Adakah kehidupan yang pendek ini perlu dihabiskan dengan ‘enjoy’, berseronok, lepak-lepak dan seumpamanya? Sekiranya anda menyangka kehidupan ini hanyalah untuk suka-suka dan main-main, anda sebenarnya silap kerana Allah berfirman :

 Maka apakah kamu sangka  sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?” (Surah  Al Mu’minun: 115).

Dalam ayat yang lain :

 Apakah manusia mengira, bahawa ia akan dibiarkan begitu saja (tanpa tanggungjawab)?” (Surah  Al Qiyamah: 36)


Benar, kewujudan kita di dunia ini bukan untuk dipersia-siakan begitu sahaja. Ada tanggungjawab besar sebenarnya yang perlu dipikul. Tanggungjawab yang ditolak oleh langit, buni dan gunung-ganang sebagaimana firman Allah SWT :

Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, Maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka bimbang akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanat itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan Amat bodoh.( Surah al-Ahzab,ayat 72)

Apakah tugas dan amanah tersebut? tidak lain dan tidak bukan iaitu mengabdikan diri kepada Rabb yang layak disembah. Firman Allah SWT :

Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka BERIBADAH kepadaKu.” (Surah al-zariyat: 56)

Ibadat…Inilah amanah besar yang dipertanggungjawabkan kepada kita. Kehidupan ini bukan hanya dengan makan, minum, memuaskan nafsu, tidur, suka-suka, lepak dan seumpamanya. Kealpaan dalam menunaikan amanah ini akan menyebabkan kita diazab oleh Allah di akhirat kelak.

Pada masa kini begitu ramai manusia yang tidak tahu atau buat-buat tidak tahu mengenai matlamat penciptaan dirinya sehingga leka dan tertipu dengan keseronokan dunia yang sementara. Ibadat yang paling asas dan merupakan tiang agama iaitu solat pun diabaikan dengan mudah. Apatah lagi amanah-amanah lain yang lebih berat.

Ibadat sebenarnya umum. Semua perkara yang mentaati Allah dan menjauhi laranganNya akan menjadi ibadat. Ibadat bukan sekadar solat, zikir, membaca al-Quran dan lain-lain. Setiap perkara yang dilakukan dengan niat kerana Allah akan menjadi ibadat dan akan diganjari dengan pahala di akhirat.

Ingat! Setiap insan akan dipertanggungjawabkan di akhirat terhadap apa yang dilakukan semasa hidup di dunia. Firman Allah yang bermaksud :

Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabkan.” ( al-Isra’:36)

Oleh yang demikian manfaatkanlah kehidupan yang pendek ini dengan sebaik mungkin. Jadikanlah semua aktiviti harian anda sebagai ibadat yang akan memberatkan timbangan pahala di akhirat. Hidup yang singkat ini janganlah disia-siakan dengan perkara yang tidak berfaedah atau perkara yang dimurkai oleh Allah SWT.

Semoga Allah SWT merahmati kita semua dan membimving kita ke jalan yang diredaiNya.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share