30 November, 2010

Sesiapa Yang Mencari Kebenaran, Pasti Akan menemuinya



Nama Nicholas Sylvester (gambar) mungkin tidak asing lagi kepada sesiapa yang pernah mengikuti program dakwah atau melihat cerama-ceramah beliau di youtube dan sebagainya. Beliau menceritakan sejarah bagaimana Islam hadir dalam hidupnya dengan panjang lebar. 

KETIKA umurnya 12 tahun, selepas selesai menjalani upacara Baptism Confirmation (atau pengkristianan), Nicholas Sylvester dipilih oleh pihak gereja sebagai Soldiers of Jesus Christ. Antara lain anugerah itu bermaksud Nicholas layak untuk meninggalkan kehidupan yang biasa kepada kehidupan yang lebih beragama dengan sepenuh masa melaksanakan pelbagai tuntutan dan ajaran Kristian.

“Jadi selain bersekolah, masa saya banyak dihabiskan dengan menghadiri pelbagai upacara gereja, terutama sebagai anggota koir gereja dan melakukan kerja-kerja kebajikan seperti mengunjungi para pesakit di hospital dan menghulurkan apa juga bentuk bantuan yang pesakit perlukan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.


Dibesarkan berhampiran gereja terbesar di Sabah, Cathederal St. Mary, Kota Kinabalu, dan bersekolah di sebuah sekolah Mubaligh Kristian, iaitu di Sekolah Rendah Sacred Heart, tidak menghairankan jika anak sulung daripada enam adik-beradik ini akan mempertahankan agama itu sehingga ke akhir hayatnya.

Sementelahan bapanya sendiri merupakan orang kuat gereja. Pada setiap hari Ahad dalam upacara Mass, dari altar gereja bapanya menyeru setiap penganut Kristian supaya memperteguhkan ‘iman’ mereka terhadap Isa (Nabi Isa a.s.) yang didogma sebagai tuhan.

“Sama ada sebagai Anak Tuhan atau kesatuan dua tuhan dalam satu dan mempercayai juga Holy of Spirit (Ruhul Kudus) adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mempercayai Trinity ini tanpa perlu bersoal jawab lagi,” kata bapa Nicholas.

Maka tentunya si bapa menaruh harapan tinggi agar usaha-usaha peneguhan iman dan missionary Kristian dapat diteruskan oleh Nicholas. Namun dalam diri Nicholas sendiri, titik-titik perubahan mula dilihat apabila Yayasan Sabah menawarkan beliau biasiswa yang membolehkannya menyambung di peringkat sekolah menengah di Sekolah Tinggi Batu Pahat, Johor.

Di situ, beliau terpaksa membiasakan diri walaupun hampir 90 peratus pelajar yang menghuni asrama di sekolah itu terdiri daripada pelajar Melayu atau lebih tepat pelajar Islam.

“Namun, pegangan saya terhadap gereja masih lagi teguh ketika itu. Kebetulan pula berdekatan dengan sekolah itu terdapat sebuah gereja. Walaupun ia gereja beraliran Anglican berbanding saya yang bermazhab Roman Katolik, saya tetap mengunjungi gereja itu sebagai satu tanggungjawab penganut Kristian,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Nicholas, ‘iman’nya seakan-akan mula goyah selepas mengikuti satu upacara ibadat yang dinamakan Baptism of Fire di gereja itu.

Dengan menjalani upacara itu, diri seseorang itu akan diresapi oleh Ruhul Kudus dengan tanda-tanda suhu badannya akan naik, terasa ada bahang panas dan yang paling ketara secara tiba-tiba dia boleh bertutur dalam bahasa asing yang sukar difahami oleh orang lain.

“Ini dipanggil Language of Tongue. Jadi saya juga mengharapkan agar diresapi oleh ruh tersebut tetapi saya menjadi orang yang terakhir dalam kumpulan tersebut yang tidak diresapi. Tetapi oleh kerana seorang paderi menunggu sambil membaca pelbagai ayat dan doa untuk saya, akhirnya saya terpaksa menipu dengan mengeluarkan bahasa yang saya sendiri reka-reka. Akhirnya paderi tersebut memegang bahu saya dan mengesahkan saya dimasuki oleh Ruhul Kudus itu.

“Sejak itu saya mula rasa cuak mengenai upacara itu dan kebenaran ajaran Kristian tetapi saya terpaksa reserve terlebih dahulu perasaan saya dan tetap menjalani kehidupan seperti biasa. Dalam pada itu saya sering memerhatikan kehidupan penghuni asrama yang kebanyakannya terdiri daripada pelajar Islam. Saya mula tertarik melihatkan mereka melaksanakan tanggungjawab sebagai umat Islam terutama dalam mendirikan solat berjemaah setiap kali tiba waktu.
“Adab pergaulan mereka yang begitu terjaga dan sopan hasil ajaran agama yang mereka anuti itu sedikit sebanyak turut memberikan kesan dalam hati saya. Tetapi saya hanya mampu memerhatikan,” katanya.

Tamat tingkatan tiga, Nicholas kemudian kembali ke Kota Kinabalu untuk menyambung pelajaran tingkatan empat di Sekolah Menengah La Salle yang juga sebuah lagi sekolah mubaligh Kristian.

“Apabila semakin dewasa, maka otak kita mula bekerja dengan lebih keras lagi. Saya mula menilai agama saya dan ada perasaan ingin tahu yang membuak mengenai agama Islam. Sehinggakan saya sanggup mengikuti kelas mata pelajaran Agama Islam yang tentunya khas untuk pelajar-pelajar Islam sahaja.

“Tidak cukup dengan itu saya mula bertanyakan mengenai Islam daripada pelajar-pelajar tersebut. Walaupun tidak mendapat jawapan yang memuaskan hati, ia tidak menjadi penghalang untuk saya terus mengenali Islam,” katanya.
Nicholas semakin tertarik kepada Islam apabila melihatkan peribadi seorang gurunya yang dikenali sebagai Cikgu Rashid.

“Walaupun Cikgu Rashid tidak menjelaskan kepada saya mengenai Islam secara fakta dan hujah namun kehidupan dan peribadi beliau yang begitu baik, patuh pada ajaran Islam dan mempunyai pelbagai sikap yang positif menyebabkan saya semakin nampak akan keindahan Islam itu sendiri,” katanya.

Dalam keadaan itu, bersama ‘iman’ yang masih cuba dipertahankan, Nicholas kemudian mengikuti kursus Test of English as a Foreign Language (TOEFL) selepas mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat di sebuah sekolah menengah asrama penuh terkemuka di Cheras, Kuala Lumpur.

“Sebenarnya, sepanjang enam bulan mengikuti kursus tersebut saya seperti merayakan musim berbulan madu. Ini kerana saya tidak mempunyai masalah langsung dengan bahasa Inggeris. Ini menyebabkan juga saya berpeluang mengikuti pelbagai program anjuran gereja dengan menyertai kumpulan Non Dominational Group yang bersifat Engelical.

“Sehinggalah pada suatu hari, saya bersama dengan beberapa orang kawan sanggup ke Melaka mengikuti satu lagi upacara keagamaan yang dapat mengesahkan keimanan kami terhadap Jesus,” katanya.

Sebenarnya gereja di Melaka tersebut hanya sebuah rumah kedai tetapi di dalamnya telah berkumpul beberapa orang paderi bagi menjalankan upacara itu.

Secara tiba-tiba salah seorang rakan perempuan mereka mengalami kerasukan yang teruk! Dia meronta-ronta, tidak sedarkan diri dan dari mulutnya keluar suara lelaki yang begitu menakutkan dan keadaan bertukar menjadi kecoh.
Mereka cuba diyakinkan agar menerima bahawa budak itu berjaya dipulihkan dengan berkat bantuan Jesus. 

Bagaimanapun, Nicholas tidak dapat menerima dakwaan itu sekali gus menjadi noktah kepadanya untuk tidak lagi mempercayai ajaran Kristian walaupun agama itu adalah darah dagingnya selama ini.

Pada 4 Januari 1985, Nicholas akhirnya menjejak kaki di bumi Amerika Syarikat (AS). Kali ini beliau benar-benar menghirup udara kebebasan apabila tiba di bumi asing itu. Ini kerana sembilan hari kemudian, iaitu 13 Januari 1985 menjadi tarikh bersejarah bagi Nicholas apabila tanpa menoleh ke belakang lagi beliau melafazkan dua kalimah syahadat di Islamic Centre berhampiran Askansas State University di bandar Jonesboro, Askansas.

“Saya masih ingat lagi bagaimana saya menemui seorang berbangsa Arab, Qais Syarbati, bagi tujuan membantu saya memeluk Islam. Lalu dibawanya saya ke pusat Islam itu. Yang menariknya Qais sendiri berkahwin dengan seorang wanita Kristian yang diyakini merupakan golongan Ahli Kitab,” tambahnya.

Sejak itu, Nicholas yang mahu lebih dikenali sebagai Muhammad Abdullah Nicholas Slyvester memulakan hidup baru sebagai individu Muslim yang taat dan patuh kepada ajaran agama barunya.

“Alhamdullillah saya mampu melakukan ibadat dengan baik, malah sebenarnya sebelum menjejakkan kaki ke AS, saya sempat berkhatan dengan mendapat bantuan seorang rakan Melayu yang kemudian mengajak saya untuk berkhatan di kampungnya di Taiping, Perak,” katanya.

Menurut Muhammad, beliau tidak akan memeluk Islam semata-mata kerana kekurangan yang terdapat pada agama lamanya tanpa mengkaji dan mendalami agama Islam itu sendiri.

“Sepanjang di AS, duit saya banyak dihabiskan membeli buku-buku dan kitab-kitab agama dalam pelbagai tajuk dan topik. Mungkin saya tidak ada harta atau wang yang banyak tetapi buku-buku itu kini bagaikan harta yang paling berharga buat saya,” jelasnya.

Selepas meneliti dan membuat kajian terperinci, beliau tidak nampak agama lain yang cukup lengkap selain Islam. Dalam Islam, katanya, sekalipun terdapat mazhab-mazhab yang perlu menjadi ikutan oleh umatnya tetapi semua aliran mazhab itu merupakan hasil usaha-usaha agung dari segi pertumbuhan dan pertambahan khazanah ilmu bagi umat Islam.

“Itulah harta yang paling berharga bagi umat Islam, iaitu khazanah ilmunya yang sangat kaya dan berharga yang tidak lain untuk membimbing dan memudahkan umat untuk tetap berpegang kepada Islam kerana mazhab itu sendiri berasal daripada perkataan zahaba, iaitu jalan,” katanya.

Tidak seperti mazhab-mazhab dalam Kristian yang bukan sahaja tidak menunjukkan jalan, menurut Muhammad, kemunculan kumpulan denominasi Kristian itu berpunca daripada kerana soal perbezaan politik dan rasa tidak puas hati semata-mata.

Mazhab Lutheran, misalnya, dicetuskan oleh Martin Luther King, seorang paderi yang merupakan profesor di Universiti Wittenberg. Luther King menyeru pembukaan debat berkenaan penjualan indulgences di mana taubat seorang itu diterima sekiranya dia melakukan sesuatu iaitu membeli letter of indulgences untuk menebus dosanya. Penjualan ini digunakan secara berleluasa sewaktu Perang Salib untuk menggalakkan orang Kristian menentang tentera Islam.
Apabila ditanya mengenai kepelbagaian wajah-wajah Islam yang boleh ditemui di AS, Muhammad tidak menafikan betapa AS merupakan satu lagi melting pot yang tidak sahaja tertumpu kepada soal bangsa, budaya dan bahasa malah Islam di dalamnya juga terdapat dalam pelbagai warna.

Katanya, semua itu menjadikan Islam semakin indah dan beliau beruntung kerana mempunyai pemahaman asas Islam yang kuat bagi membolehkannya menerima apa juga kepelbagaian yang wujud selepas itu.
Pelajar-pelajar Islam di sana waktu itu didatangi oleh pelbagai lapisan pemimpin Islam.

“Jadi semua ini membuka kepada perbincangan dan perdebatan ilmu. Islam membuka seluas-luas ruang untuk tujuan ilmu. Inilah yang membezakannya dengan agama lain.

“Sedangkan bagi penganut Kristian, mereka dan kitab Bible tidak ada hubungan yang bebas berbanding umat Islam dengan al-Quran. Tidak semua ayat dalam Bible dibenarkan untuk dibaca bagi mengelakkan kekeliruan di samping ajarannya yang lebih kepada falsafah yang diciptakan oleh manusia semata-mata,” katanya yang mengerjakan ibadat haji pada tahun lalu.

Muhammad berkata, Nabi Muhammad s.a.w. ialah tokoh yang sangat tepat untuk menjadi idola umat manusia.
“Jika penganut Kristian berkahwin misalnya, siapa yang boleh mereka contohi sebagai seorang suami atau bapa yang baik kepada keluarganya? Nabi Isa, baginda tidak pernah berkahwin, jadi bagaimana ajaran itu dapat menganjurkan konsep perkahwinan dan kekeluargaan sedangkan ia tidak pernah diinstitusikan dalam agama itu.

“Bukan bermaksud menjadi satu kelemahan kepada Nabi Isa yang tidak berkahwin tetapi Nabi Muhammad adalah individu yang sangat mengagumkan dan sirah hidupnya merupakan satu panduan dan pedoman yang memberikan kesejahteraan kepada umat Islam sepanjang zaman,” katanya.

Berkahwin dengan Halizahtun Mohd. Ali, 41, Muhammad dikurniakan sembilan cahaya mata iaitu Maryam, 19, Fatimah, 17, Omar, 15, Abu Bakr, 13, Aseeyah, 10, Khadeejah, 7, Uthman, 5, Ali, 3 dan Ayesha, 1.

“Apa yang menarik tentang anak-anak saya ialah secara kebetulan karakter mereka bertepatan dengan nama-nama besar dalam Islam itu. Kalau yang Abu Bakar dengan lembut hatinya, yang Omar memang agak garang dan begitu juga Ali, lasak, lincah dan tangkas,” katanya sambil ketawa kecil.

Muhammad yang kini mengetuai Jawatankuasa Biro Dakwah Pertubuhan Jemaah Islah Malaysia (JIM) membuktikan bahawa gerakan dakwah sememangnya menjadi darah daging beliau.

Beliau bukan sahaja berkongsi pengalaman lampau namun yang lebih meninggalkan kesan kepada pendengar ialah kebolehan Muhammad menyampaikan penerangan mengenai Islam dengan begitu jelas dan tepat.

Muhammad menjadikan kelebihan bertutur dalam pelbagai bahasa terutama Inggeris dan Melayu sebagai satu kelebihan dalam berdakwah.

Disunting Sumber

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share