26 Disember, 2010

Rahsia Kejayaan Peroleh Semua A



AbuAqil aka Abu Sakeena

Entri kali ini agak istimewa kerana kita akan dapat berkongsi ilmu tips dan rahsia kejayaan lima orang pelajar SMK Putri Saadong, Bukit Marak yang memperoleh semua A dalam peperiksaan PMR 2010. Mereka akan mendedahkan tips-tips dan rahsia  kejayaan masing-masing sehingga mampu mencapai keputusan yang cemerlang. Dimaklumkan bahawa kesemua pelajar ini tidak mengikuti tuisyen luar melainkan hanya bergantung kepada kelas-kelas tambahan yang diadakan oleh guru dan pihak sekolah sahaja.
Nurul Ain

Nurul Ain Che Din, pelajar yang berwajah manis dengan perwatakan yang sentiasa ceria, mudah senyum  tetapi kadang-kadang ‘bad mood’. Beliau merupakan pelajar yang paling cemerlang berdasarkan rekodnya tidak pernah tercicir B dalam setiap peperiksaan sepanjang tahun. Sejak peperiksaan awal tahun beliau memperolehi semua A hinggalah ke peperiksaan PMR yang sebenar. Inilah kehebatan anak keenam daripada tujuh adik-beradik yang berasal dari Kg Badak Mati. Beliau bercita-cita untuk menjadi seorang doktor. Insya Allah impiannya akan menjadi kenyataan satu masa nanti.


Beliau ditemuramah melalui mesej di facebook. Walau pun pada awalnya dia mengatakan dengan merendah diri ‘saya mana ada tips kejayaan ustaz!’, namun akhirnya beliau sanggup berkongsi rahsia kejayaan iaitu katanya :

1- Sentiasa berdoa, terutama setiap kali lepas solat.
2- Solat hajat. kalau tidak mampu buat pada waktu tengah malam, buatlah selepas solat fardu maghrib sambil menunggu solat Isyak.
3- Solat sunat taubat. Sebagai hamba yang lemah, kita tidak dapat dari melakukan dosa hingga kita tidak sedar kita telah melakukan banyak dosa. Jadi bila kita inginkan sesuatu hajat, pohonlah keampunan terlebih dahulu. Sekiranya kita banyak melakukan dosa, belum pasti Allah akan menerima doa kita.
4- Jaga hubungan dengan Allah, jaga solat, baca al-Quran serta  jaga hubungan dengan ibubapa, guru-guru sebab mereka banyak berbakti kepada kita.
5- Usaha dengan bersungguh-sungguh. Kalau doa sahaja tanpa usaha akan sia-sia belaka. Mesti belajar bersungguh-sungguh, ulangkaji, sempurnakan latihan yang diberikan. Bila menghafal, hafallah betul-betul.

Beliau menambah bahawa pengalaman ‘terindah’ tahun ini ialah bila dirotan oleh ustaz. Saat yang akan dikenang sampai bila-bila.

Itulah rahsia kejayaan Nurul Ain sepertimana yang ditulis dalam mesej FB dengan ‘bahasa sms’nya. Susah juga ustaz nak terjemah balik ke bahasa standard….;)

Komen ( setelah 3 tahun mendidiknya) : Selain usaha yang gigih, kelebihan Nurul Ain ialah beliau dikurniakan akal yang bijak dan cerdas. Mudah faham dan cepat mengingati bila menghafal. Tetapi agak kurang rajin bila disuruh menghafal. Beliau juga suka bertanya guru bila tidak memahami sesuatu topik terutama pada malam peperiksaan. Macam-macam yang ditanya  terutama soalan yang mana masuk periksa. Seorang pengorek rahsia yang mahir dan tidak mudah berputus asa…J. Seorang pelajar yang aktif, cergas, komited dan inginkan kesempurnaan dalam semua perkara yang dilakukannya. Beliau juga amat disenangi kerana ringan tulang untuk membantu rakan-rakan yang memerlukan tunjuk ajar dalam pelajaran.

Nik Fatin Insyirah
Nik Fatin Insyirah Nik Man, lebih dikenali sebagai ‘Nik’ oleh teman-temannya, beliau seorang pelajar yang’cool’, warak, penampilan yang matang, pendiam dan mudah senyum. Anak bongsu daripada enam adik-beradik ini  juga dikurniakan bakat melukis yang luar biasa. Beliau pelajar yang langsung tiada kerenah sepanjang mengajarnya. Memang budak baik namun tidak terlepas merasai penangan rotan.  Antara rahsia kejayaan Nik Fatin yang dikongsi ialah :

1- Di sekolah saya memberi tumpuan sepenuhnya semasa P&P.
2- Di rumah saya mengutamakan solat fardu kerana ia adalah tiang agama.
3- Sentiasa membaca al-Quran setiap hari.
4- Menyiapkan semua kerja sekolah yang diberikan.
5- Mengulangkaji, menghafal dengan bersungguh-sungguh dan pastikan mendapat tidur yang cukup.
6- Paling penting ialah menghormati ibubapa dan guru-guru serta ikhlas dalam menuntut ilmu.
7- Berdoa dan bertawakkal. Saya ada juga melakukan solat hajat pada 1/3 akhir malam.
8- Sebenarnya kejayaan saya ialah kerana berkat doa guru-guru di sekolah.

Beliau mengakhiri sms-nya dengan mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ustaz kerana mencurahkan ilmu.( Sebenarnya Ustaz tidak melakukan apa-apa pun. Anda yang berusaha dengan gigih, maka anda layak mendapat kecemerlangan)

Komen : sememangnya beliau dikagumi oleh teman-teman di sekeliling kerana mempunyai ingatan yang kuat dan mudah untuk diminta tolong terutama berkaitan dengan pelajaran. Ustaz sendiri pun berasa hairan kerana bila ditanya macamana dia masih mengingati perkataan yang telah dipelajari semasa tingkatan satu, beliau menjawab : “saya masih ingat apa yang ustaz ajar dulu”. Subhanallah…pelik. Itulah keberkatan dalam belajar bila seseorang itu ikhlas menuntut ilmu di samping sentiasa memuliakan dan tidak menyakiti hati guru.

Ainza Suzila
Ainza Suzila Ramzi, seorang pelajar yang bertubuh tinggi lampai. Tidak banyak bercakap, tenang tetapi kadang-kadang bersikap serius terutama ketika tertekan sehingga ‘menggerunkan’ ustaz…J. Beliau merupakan anak sulung daripada lima orang adik-beradik. Beliau juga pada awalnya teragak-agak untuk memberitahu rahsia kejayaannya, kemungkinan masih teruja dengan kejayaan yang dicapai. Pesanan Ainza ialah :

1- Berusaha dengan tekun dan berterusan untuk mencapai 9A.
2- Menghadiri semua kelas tambahan.
3- Memberi tumpuan semasa belajar iaitu dengan duduk di depan.
4- Membantu dan membimbing rakan yang lain dalam pelajaran.
5- Sentiasa solat hajat  dan banyak berdoa.
6- Menghormati dan menjaga perasaan guru.
7- Jangan ‘overconfident’.

Komen : Ketekunan dan penumpuan sepenuhnya semasa P&P membuktikan beliau mampu mencapai keputusan 9A. Bermula dengan agak ‘perlahan’ pada awal tahun iaitu mendapat 4A 4B 1C semasa Ujian Pengesanan 1, kemudian meningkat kepada 6A 2B 1C dalam peperiksaan percubaan. Ternyata semangat dan kesungguhan memacunya mencapai keputusan yang hampir tidak dipercayai oleh ibunya sendiri…9A. namun awal-awal lagi Ustaz yakin pelajar ini memang akan mendapat semua A berdasarkan kepada komitmen dan usahanya.

Nurul Atikah
Nurul Atikah Abdul Muthalib, seorang yang bersuara lantang memang sesuai dengan tugasnya sebagai ketua tingkatan yang berdedikasi. Pencapaian beliau tahun ini amat memberangsangkan berbanding tahun sebelumnya. Bermula hanya mendapat 2A sahaja dalam peperiksaan pertengahan tahun kemudian meningkat dengan baik dalam percubaan iaitu 7A 2B. Anak kedua dari enam adik beradik ini memilih untuk tinggal di asrama dan beliau menjadi perintis pelajar asrama yang mencapai keputusan terbaik bersama seorang lagi Nur fatihah Adyani. Rahsia kejayaan Nurul Atikah ialah :

1- Tumpu perhatian semasa belajar.
2- Motivasi diri sendiri.
3- sentiasa mengulangkaji.
4- Menyiapkan kerja rumah yang diberi.
5- Berbincang dalam kumpulan.
6- Bertanya pelajar lain yang lebih tahu.
7- Sentiasa berdoa dan solat hajat.

Komen : Ikhlas ustaz katakan memang terkejut pencapaian pelajar ini. Nurul Atikah memanfaatkan kelebihannya tinggal di asrama dengan mengadakan perbincangan dalam kumpulan. Beliau juga mempunyai kekuatan dengan bakat untuk memimpin dan mampu mempengaruhi pelajar-pelajar lain. Seorang yang selalu ceria,tapi kadang-kadang ada juga ‘diserang bad mood’. Beliau mempunyai motivasi dalaman yang tinggi iaitu berkorban untuk membantu ahli keluarganya dan menjadi teladan yang baik kepada adik-adiknya yang lain.

Nur Fatihah Adyani
Nur Fatihah Adyani Ismail, Adyani nama yang dipanggil oleh kawan-kawannya merupakan seorang yang pemalu, rajin dan komited dengan pelajaran. Beliau muncul pelajar yang paling tidak disangka akan memperolehi semua A. Mengejutkan guru-guru dan rakan-rakan. Berdasarkan peperiksaan sebelumnya beliau hanya mendapat  3A dalam peperiksaan pertengahan tahun dan 4A peperiksaan percubaan. Satu peningkatan yang di luar jangkaan. Adyani merupakan anak keenam daripada sembilan adik-beradik. Rahsia kejayaan yang dikongsi oleh Adyani ialah :

1-  Solat hajat sebelum dan selepas peperiksaan.
2- Menyiapkan kerja rumah yang diamanahkan.
3- Memberi perhatian semasa P&P.
4- Bertanya guru dan kawan-kawan sekiranya mempunyai masalah dalam pelajaran
5- Jangan sakiti hati guru.
6- Belajar dalam kumpulan. Menggunakan teknik soaljawab.
7- Bangun seawal pukul 5 pagi untuk menghafal dan mengulangkaji.
8- Banyak membuat latih tubi

Komen: Berdasarkan tips-tips yang dikongsikan di atas, sememangnya Adyani layak mendapat keputusan terbaik. Keputusan yang diluar dugaan ini membuktikan bahawa sesiapa sahaja akan mendapat kejayaan bila dilakukan usaha sebaik mungkin. Adyani telah membuktikannya. Sama seperti Nurul Atikah, Beliau juga menginap di asrama dan memanfaatkan masa yang terluang untuk ‘study group’ dan bangkit awal untuk menghafal. Mereka berdua akan menjadi ‘role model’ kepada penghuni asrama SMKPS agar turut mencapai kecemerlangan dalam akademik.

Demikianlah tips-tips yang dikongsikan oleh lima pelajar terbaik PMR 2010 SMKPS. Semoga rahsia kejayaan mereka ini dapat dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar-pelajar lain untuk bersama-sama mencapai kecemerlangan sama ada PMR atau SPM. Setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak terima kasih kepada kelima-lima anak didik di atas kesudian berkongsi pengalaman berharga anda. Semoga kecemerlangan akan terus menjadi milik anda pada masa akan datang.

10 comments:

abuaqil berkata...

anda semua memang hebat....tahniah3. teruskan menggapai kecemerlangan

Atiqah Ali berkata...

iqa suka topik ni..
:)

aenn3995 berkata...

topik yg plg lcu antra topik2 len,,,hahaha,,,syukran3 ustz,,,=D

abuaqil berkata...

aenn...lucu he..hahaha...tq sudi share.byk pahala yg awk dapat...barakallahu fik

nurun najwa berkata...

jelousnyelah ! kalaulah sye dapat 9A mse pmr mse tuu ! tapi , kenapalah tuhan tanak bagi , usaha tangga kejayaan ? susah nak pecaye lagi kate2 mcm tuu ! tak aci .

Abu Aqil Adnan berkata...

ain sekarang sambung pljrn di sbp faris petra
nik fatin di smk dato perdana ( 4 ibnu sina) sambung 2 thn lg bljr dgn ustaz :)
ainza- sms pasir puteh
adyani- sbp dungun
atikah- kekal di smk putri saadong

♥Miey Raa♥ berkata...

sye nk jdi mcam mereka!!!

Abu Aqil Adnan berkata...

insya Allah...awk akan dpt nanti kalau turut jejak lgkah mrk

♥Miey Raa♥ berkata...

insyaallah

Abu Aqil Adnan berkata...

tahniah kpd atikah..krn baru dpt tawaran ke SBP kuala berang...maknanya semua yg dpt straight A meninggalkan smkps...smg lebih cemerlang di sekolah baru

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share