18 Disember, 2010
Kenapa Yang Taat Diuji, Yang Derhaka Dibiarkan?
‘Aku tak solat, tak puasa, dedah aurat takde apa-apa pun’… Mungkin ada ungkapan seperti ini yang dilafazkan oleh seseorang yang mengabaikan perintah Allah malah sering melakukan dosa dan maksiat. Mereka berbangga dan berlagak sombong kerana tiada apa-apa keburukan yang menimpa mereka di dunia ini walaupun setiap masa mereka menderhakai Allah SWT.
Sementara hamba yang taat sering diuji dengan sakit, kemiskinan, kehilangan insan tersayang dan sebagainya. Tergambar di fikiran seolah-olah Tuhan tidak berlaku adil. Maha Suci Allah daripada Allah bersifat sedemikian. Sesungguhnya Allah itu maha Adil dan Saksama.
Jawapan kepada persoalan ini ialah hadis Nabi saw yang bermaksud :
“Apabila Allah menghendaki kebaikan pada diri seorang hamba maka Allah akan menyegerakan hukuman baginya di dunia. Dan apabila Allah menghendaki keburukan bagi hambaNya maka Allah akan menunda hukuman atas dosanya itu sampai pada hari kiamat nanti hukuman itu baru akan ditunaikan.” (al-Tirmizi, disahihkan al-Albani).
Jelas, inilah jawapannya. Hamba yang dikasihi oleh Allah sering ditimpa pelbagai kesulitan hidup. Dengan kesabaran dan keredaannya kepada ketentuan Allah menyebabkan mereka mendapat keampunan dan pahala dari Allah SWT.
Awas kepada mereka yang sering bermaksiat!. Walaupun di dunia ini anda senang, sihat, bahagia dan tidak dibalas oleh Allah walaupun anda menderhakaiNya, jangan ingat anda terlepas di akhirat. Setiap kesalahan dan dosa pasti akan dibalas dan Allah tidak pernah alpa terhadap kebaikan dan kejahatan hambaNya. Balasan pasti akan diterima. Firman Allah :
Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah, ayat 74).
Rasulullah saw juga pernah berdoa agar dosa umatnya tidak dibalas dengan segera di dunia. Sabda Nabi saw yang bermaksud :
‘ Semua dosa akan ditangguhkan balasannya hingga ke hari kiamat kecuali zalim, derhaka kepada ibubapa dan memutuskan silaturahim” (disahihkan oleh al-Albaniy)
Walaupun musibah dan kesusahan memberi kebaikan kepada kita namun kita tidak boleh berdoa kepada Allah agar dosa dan kesalahan kita disegerakan balasannya di dunia.
Diriwayatkan bahawa dahulu Rasulullah saw pernah mengunjungi seorang yang sakit di antara para sahabatnya dalam keadaan sangat lemah. Maka Nabi saw bertanya kepadanya, “Apakah engkau meminta atau berdoa sesuatu kepada Allah sebelum ini?”. Maka lelaki itu menjawab, “Ya, dahulu saya pernah berdoa; Ya Allah, hukuman yang akan Kamu berikan kepadaku di akhirat maka segerakanlah bagiku di dunia.” Maka Rasulullah saw pun bersabda :
, “Subhanallah! Kamu pasti tidak akan sanggup menanggungnya, tidakkah sebaiknya kamu berdoa;
اللهم رَبَّنَا آَتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الآَخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ
(Ya Allah, berikanlah kebaikan kepada kami di dunia dan kebaikan di akhirat, dan jagalah kami dari neraka).”
Maka lelaki itu pun berdoa dengannya dan disembuhkan oleh Allah. (Imam Muslim).
Berdasarkan hadis ini kita tidak boleh berdoa agar balasan dosa kita disegerakan di dunia kerana pasti kita tidak mampu untuk memikulnya. Bertaubatlah terhadap dosa-dosa yang lampau dengan sebenar-benar taubat.
Kesimpulannya kita hendaklah bersabar sekiranya ditimpa pelbagai kesusahan kerana dosa-dosa akan diampunkan. Dosa yang dilakukan secara berterusan tanpa taubat tetapi tidak dibalas di dunia pasti akan menemui azab yang sengsara di akhirat nanti…na’uzubillah.
0 comments:
Catat Ulasan