24 November, 2010
Wahai Pelajar, Jangan Biarkan Jiwamu Kekosongan!
AbuAqil Adnan
Sebagaimana jasad kita yang memerlukan makan dan minum begitu juga hati kita memerlukan santapan rohani. Santapan rohani bagi hati ialah perkara yang boleh memantapkan iman dan meningkatkan amal soleh. Santapan rohani yang utama ialah ilmu dari al-Quran dan hadis.
Sebahagian bijak pandai berkata : “Bukankah apabila orang yang sakit bila dihalangi dari makan dan minum serta tidak mengambil ubat maka dia akan mati?”. Teman-temannya menjawab, “Benar.” Lalu dia berkata : “ Begitu juga hati, apabila ia terhalang dari memperoleh ilmu dan hikmah selama tiga hari nescaya hati itu juga akan mati.”
Seseorang yang mana hatinya sentiasa diberi santapan rohani akan cenderung kepada kebaikan,rajin melakukan amal soleh, sentiasa menghindari dari perkara yang haram dan sia-sia. Masanya terisi dengan perkara yang diredai oleh Allah.
Sementara seseorang yang jiwanya kekosongan kehidupannya akan didorong oleh hawa nafsu yang dipandu oleh syaitan. Golongan akan menjadi malas beribadat, cenderung untuk melakukan perkara yang sia-sia dan haram. Masa yang terluang dihabiskan begitu sahaja dengan aktiviti tidak berfaedah dan perkara yang mengundang kemurkaan Allah seperti lepak, merempit, melayan muzik atau ‘movie’ yang melalaikan 24 jam, melayari internet tanpa tujuan atau melawati laman-laman tidak bermoral dan sebagainya.
Bagi seorang pelajar yang berada dalam cuti yang panjang ini sebaiknya hendaklah diisi masanya dengan perkara yang berfaedah sama ada untuk kebaikan dunia atau akhirat. Jangan diisi masa kosong dengan perkara yang langsung tidak memberi manfaat kepada dirinya. Anda akan menyesal satu hari nanti.
Agar jiwa anda tidak kekosongan,di sini dinyatakan beberapa perkara yang perlu dilakukan oleh seorang pelajar bagi mengisi cuti panjang agar hati anda sentiasa segar dengan iman dan amal soleh :
1- Pastikan solat fardu pada awal waktu. Solat pada awal waktu merupakan salah satu amalan yang paling disukai oleh Allah SWT. ingat! Sekiranya anda mensia-siakan solat maka anda mensia-siakan kehidupan dunia dan akhirat anda.
2- Banyakkan berdoa agar iman sentiasa mantap dan rajin beramal soleh. Berdoalah ketika sujud dan sebelum memberi salam dalam solat kerana itulah petunjuk Rasulullah saw. Jangan malas berdoa kerana manusia yang paling lemah ialah mereka yang malas untuk berdoa.
3- Lakukan solat-solat sunat seperti solat sunat rawatib ( sebelum dan selepas solat fardu),solat sunat taubat, tahajjud, dhuha, hajat dan sebagainya.
4- Membaca al-Quran setiap hari. Pilih satu waktu yang dikhaskan untuk tilawah al-Quran sama ada selepas maghrib, isyak atau subuh. Sebaiknya bacalah al-Quran yang ada terjemahan agar dapat dihayati isi kandungannya. Ini penting kerana hati akan menjadi lembut bila difahami isi kandungan al-Quran yang merupakan sumber hidayah.
5- Amalkan zikir pada waktu pagi dan petang. Ini merupakan amalan sunnah Nabi saw. Belilah buku yang mengandungi zikir-zikir Rasulullah saw atau ma’thurat yang dibaca pada waktu pagi dan petang. Buku-buku bersaiz poket ini banyak di pasaran.
6- berzikirlah mengingati Allah dengan ucapan tasbih, tahmid, tahlil atau istighfar sama ada lepas solat atau setiap masa. Terdapat beberapa lafaz yang paling disukai oleh Allah iaitu Subhanallah, Alhamdulillah, Laa ilaaha illallaah, dan Allaahu akbar dan lafaz subhanallahi wa bihamdih. Ketahuilah, hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang.
7. Sekiranya anda seorang yang gemarkan muzik dan lagu, dengarlah lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan kemanusiaan yang boleh memberi kesedaran dan melembutkan jiwa seperti lagu-lagu nasyid kontemporari kumpulan nasyid tempatan atau penyanyi antarabangsa seperti mahir Zain, sami Yusuf, Opick ( penyanyi Indonesia) dan selainnya. Berhibur sambil meningkatkan iman.
8. sekiranya anda seorang yang sukakan filem-filem, tontonlah filem-filem yang bermoral, berunsurkan dakwah dan mempunyai nilai murni yang boleh diambil iktibar. Kebanyakan filem-filem pada masa kini berorientasikan cinta nafsu dan seks semata-mata.
9. Sekiranya hobi anda adalah melayari internet, gunakannya dengan melayari laman-laman ilmu yang bermanfaat. Internet merupakan sumber ilmu pada masa kini. Hanya taip sahaja akan keluar apa yang dikehendaki. Gunakanlah sebaik mungkin. Tetapi malangnya kebanyakan remaja masa kini menggunakan internet untuk menghabiskan masa di laman sosial seperti facebook tanpa tujuan. Alangkah ruginya!.
10. Sekiranya anda seorang suka membaca, bacalah bahan bacaan yang berfaedah seperti majalah islamik, novel Islamik, atau buku-buku yang berguna untuk tingkatkan intelektual dan kemahiran. Salah sebuah buku motivasi Islamik tersohor yang mesti dimiliki oleh setiap muslim ialah bertajuk ‘ La Tahzan’ karya Dr.Abdullah Aidh al-Qarniy. Isi kandungannya sungguh bermanfaat dengan mafhum ayat al-Quran, hadis nabi, syair dan kisah muktabar sehingga ia dapat meningkatkankan keimanan pembacanya. Elakkan membaca bahan bacaan berteraskan hiburan hedonisme semata-mata atau karya yang memuja cinta nafsu.
11.Gunakan masa untuk memantapkan akademik untuk sesi persekolahan yang akan datang. bacalah buku-buku atau nota yang boleh membantu anda dalam persekolahan berikutnya. Lebih-lebih lagi sekiranya anda akan menghadapi peperiksaan utama seperti PMR atau SPM.
Demikian sebelas ‘point’ yang perlu diberi perhatian oleh seorang pelajar untuk mengisi masa cuti panjang ini. Insya Allah hati anda akan sentiasa bersinar dengan cahaya iman dan jiwa anda tidak akan kekosongan. Semoga Allah merahmati kita semua dan membimbing kita ke jalan yang diredaiNya.
0 comments:
Catat Ulasan