10 November, 2010

Saat Kewafatan Rasulullah saw : Rindunya Kami Kepadamu…




ABU SAIF @ www.saifulislam.com

“Kepalaku!” kata Aisyah.

Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dan Aisyah radhiyallaahu ‘anha baru sahaja pulang daripada menziarahi perkuburan al-Baqi’ lewat malam tadi.

Kepala Aisyah sakit berdenyut-denyut.

Baginda menyedarinya.

“Bahkan kepalaku juga wahai Aisyah. Oh kepalaku!” kata Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

Jika suami pening, tangan isteri yang memicit banyak mendatangkan rasa lega.

Jika isteri yang sakit, belaian seorang suami adalah penyembuh paling berharga.

Tetapi di malam itu kedua-duanya sakit. Kepala mereka berat.

“Janganlah engkau bersusah hati wahai Aisyah. Seandainya engkau mati sebelumku, nescaya aku akan menyempurnakan urusanmu. Aku akan mandikan dikau, kukafankan dirimu dan akan kudirikan solat buatmu serta engkau akan kukebumikan!!”, usik sang suami.

“Demi Allah, aku rasa kalau begitulah kisahnya pasti selepas itu engkau akan pulang ke rumahku dan berpesta gembira dengan isteri-isterimu yang masih hidup!” si isteri tersentak dengan gurauan sang suami.

Merajuk.

Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketawa.

Dalam sakit yang luar biasa itu, baginda masih suami yang hangat dengan mawaddah. Sakitnya tidak menjadikan beliau keluh kesah. Sempat pula mengusik isteri yang tidak tentu rasa.

SAKIT YANG BERTAMBAH

Malam itu berlalu dengan sakit yang tidak beransur kurang.

Kesakitan itu memuncak semasa Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam memenuhi giliran Baginda di rumah isterinya, Maimunah radhiyallaahu ‘anha. Bukan sakit yang sembarangan. Ia sakit yang menjadi kemabukan sebuah kematian. Sakaraat al-Maut!

“Esok aku di mana? Esok aku di mana?” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bertanya.

Dalam sakit yang bersangatan, Baginda masih ‘sedar’ akan tanggungjawab dirinya berlaku adil kepada para isteri.

Itulah ukuran adil seorang mukmin terhadap isteri-isterinya. Mengusahakan segala tenaga yang berbaki untuk tidak memalit zalim dalam melunaskan amanah sebagai seorang suami. Tidak mengambil mudah hanya dengan alasan yang remeh temeh untuk melebihkan seorang isteri berbanding yang lain.

Itulah juga ukiran makna bagi sebuah Mawaddah. Cinta yang bertambah hasil kesungguhan mengatasi ujian dan musibah.

Namun di situlah terselitnya Rahmah. Sifat belas ihsan yang terbit daripada hati yang mengasihi.

“Izinkan aku berhenti bergilir dengan menetap di rumah Aisyah” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam meminta izin daripada para isterinya.

Siapakah yang pernah membantah permintaan seorang Rasul. Namun Baginda tetap meminta izin kerana keizinan itu hakikatnya kekal bagian seorang isteri. Tiada isteri yang dipinggirkan. Hak masing-masing dihormati. Andaikata seorang Rasul boleh meminta izin menahan giliran daripada isteri Baginda, bagaimana mungkin seorang suami menjadi angkuh mempertahankan haknya di hadapan isteri atau isteri-isterinya?

HARI-HARI TERAKHIR

Masruq meriwayatkan daripada Aisyah radhiyallahu ‘anha:

Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam gering, kesemua isteri Baginda berada di sisi. Tiada seorang pun yang tercicir antara mereka. Ketika mereka berhimpun, anakanda kesayangan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Fatimah radhiyallahu ‘anha datang berjalan. Demi sesungguhnya cara berjalan Fatimah tidak ubah seperti ayahandanya, Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam.

“Selamat datang wahai anakandaku,” Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam dengan suara yang lemah menjemput Fatimah duduk di sisinya.

Baginda membisikkan sesuatu ke telinga Fatimah.

Anakanda itu menangis.

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam membisikkan sesuatu lagi ke telinga anak kesayangannya.

Fatimah ketawa.

Apabila Fatimah bangun dari sisi ayahandanya, Aisyah radhiyallahu ‘anha bertanya, “apakah yang diperkatakan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam hingga menyebabkan engkau menangis dan engkau ketawa?”

Fatimah menjawab, “Aku tidak akan mendedahkan rahsia Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam!”

Demi sesungguhnya, selepas wafatnya Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam, Aisyah radhiyallahu ‘anha mengulang kembali soalan yang sama kepada Fatimah, “Aku bertanyakan engkau soalan yang engkau berhak untuk menjawab atau tidak menjawabnya. Aku ingin sekali engkau memberitahuku, apakah rahsia yang dikhabarkan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam dahulu?”

Kata Fatimah, “ada pun sekarang, maka ya, aku bisa memberitahunya!

“Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik kepadaku dengan berkata: sesungguhnya Jibril selalunya mendatangiku untuk mengulang semakan al-Quran sekali dalam setahun. Namun di tahun ini beliau mendatangiku dua kali. Tidaklah aku melihat kelainan itu melainkan ia adalah petanda ketibaan ajalku. Justeru… bertaqwalah kepada Allah dan bersabarlah kamu dengan ketentuan ini. Atas segala yang telah ditempuh dalam kehidupan ini, sesungguhnya aku adalah untukmu wahai Fatimah!

Aku menangis…

Kemudian Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbisik lagi kepadaku dengan berkata: apakah engkau gembira kalau aku khabarkan kepadamu bahawa engkau adalah penghulu sekalian wanita di Syurga? Dan sesungguhnya engkau adalah insan pertama yang akan menurutiku daripada kalangan ahli keluargaku!

Aku ketawa”

Sesungguhnya…

Fatimah radhiyallahu ‘anha benar-benar kembali kepada Allah, menuruti pemergian ayahandanya enam bulan selepas kewafatan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam. Benarlah beliau ahli keluarga pertama Baginda yang pergi. Dan benarlah kalam utusan Allah… sallallaahu ‘alayhi wa sallam!

DETIK SEMAKIN HAMPIR

Dhuha itu tepu dengan kegelisahan.

Senyuman yang dilemparkan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam kepada Abu Bakr dan sahabat semasa mereka mengerjakan Solat Subuh tadi, benar-benar mengubat rindu mereka. Namun para sahabat tidak tahu bahawa kerinduan mereka hanya terubat seketika, dan mereka akan kembali merindui wajah itu, buat selamanya. Senyuman itu bukan senyuman kesembuhan. Ia adalah senyuman perpisahan.

Badan Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin panas. Sesekali ada dengusan yang keras dari nafas kekasih Allah itu mendepani mabuknya kesakitan sebuah kematian.

“Laknat Allah ke atas Yahudi dan Nasrani, mereka menjadikan kubur-kubur Nabi mereka sebagai masjid!” bibir Baginda masih tidak berhenti sallallaahu ‘alayhi wa sallam menuturkan pesan-pesan yang penting buat umat yang bakal dilambai perpisahan.

Aisyah radhiyallahu ‘anha meneruskan catatannya:

Aku melihat sendiri Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam mendepani kematian Baginda.

Kami ketika itu berbicara sesama kami bahawa sesungguhnya Nabi sallallaahu ‘alayhi wa sallam tidak akan meninggal dunia sehinggalah Baginda membuat pilihan antara Dunia dan Akhirat. Tatkala Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam semakin gering mendepani kematian, dalam suara yang serak aku mendengar Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam berkata: Aku bersama dengan orang yang diberikan nikmat oleh Allah ke atas mereka daripada kalangan para Nabi, Siddiqin, Syuhada’ dan Solihin, dan itulah sebaik-baik peneman yang menemankan aku!

Dan tahulah kami, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah menyempurnakan pilihannya itu.

Dalam kegeringan itu, aku sandarkan tubuh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam rapat ke dadaku. Telingaku menangkap bicara lemah di ambang kematian, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam berbicara: Allahumma, ampunkanlah diriku, rahmatilah aku, dan temukanlah aku dengan-Mu, Temanku yang Maha Tinggi.

Ketika Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam bersandar di dadaku, datang adikku, Abdul Rahman bin Abi Bakr dengan siwak yang basah di tangannya. Aku menyedari yang Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam merenung siwak itu, sebagai isyarat yang Baginda menggemarinya. Apabila ditanya, Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangguk tanda mahukan siwak itu. Lalu kulembutkan siwak itu untuk Baginda dan kuberikan kepadanya. Baginda cuba untuk melakukannya sendiri tetapi ketika siwak yang telah kulembutkan itu kena ke mulut Baginda, ia terlepas daripada tangan dan terjatuh… air liurku bersatu dengan air liur Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam di detik akhirnya di Dunia ini, dan detik pertamanya di Akhirat nanti.

Di sisinya ada sebekas air. Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mencelupkan tangannya dan kemudian menyapu wajahnya dengan air itu lalu berkata: Laa Ilaaha Illallaah! Sesungguhnya kematian ini kesakitannya amat sakit hingga memabukkan! Allahumma, bantulah aku mendepani Sakaraat al-Maut ini!

Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam mengangkat jari kirinya ke Langit lalu berkata: Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi! Kembalilah aku kepada Teman yang Maha Tinggi!”

Tangan itu layu. Jatuh ke dalam bejana.

Leher Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam terkulai di dada Aisyah.

Pencinta Ilahi yang rebah di pelukan isteri tercinta. Melambai pergi ummah yang dirindui. Pencinta yang agung itu telah mati. Tetapi cintanya harum hingga ke detik ini.

Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’un.


Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi. Wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya. [Al-Ahzaab 33: 56]

Kami rindukanmu.

Murabbi cinta!

Sumber :
ABU SAIF @ www.saifulislam.com

1 comments:

Abu Aqil Adnan berkata...

huhuhu...aku amt2 merinduimu ya rasulullah saw
allahuma solli ala muhammad...

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share