12 November, 2010

Dakwah Seni Peter




Susunan ZUARIDA MOHYIN

SIAPAKAH gerangannya insan yang bernama Peter Gould (gambar) ini? Melihat kepada komen-komen yang diberikan kepadanya sedikit sebanyak menggambarkan bahawa dia memiliki bakat uniknya dalam melihat keindahan Islam menerusi medium seni.

Peter Gould ialah seorang pereka grafik dan artis digital yang beroperasi di Sydney, Australia.

Menerusi jelajah dan pengajiannya ke Asia Barat sejak tahun 2002, secara tidak langsung memberikan ilham kepada Peter akan keunikan pergabungan kebudayaan yang mana ia mampu memberi penjelasan kepada salah faham terhadap Islam.


Hasil kerja Peter, 28, telah sampai kepada banyak khalayak. Bukan sahaja di Sydney malah seluruh dunia menerusi pameran, penampilan, projek-projek rekaan grafik dan gabungan dengan artis-artis lain.

Antara negara yang pernah dia adakan pameran ialah Amerika Syarikat, Malaysia, Australia, Singapura dan beberapa acara di Eropah serta Asia Barat.

Maka tidak hairanlah, Peter pernah dinobatkan oleh Yayasan Etika dan Kasih yang berpusat di United Kingdom (UK) sebagai artis Muslim berbakat pada 8 Oktober lalu.

Peter juga diberi penghormatan antara individu terpilih dalam satu penerbitan Kerajaan Australia iaitu The Australian Journey: Muslim communities.

Malah, beliau juga telah diberi gelaran sebagai Muslim Creative Artist of the Year at Mission of Hope's 2009 Achievement Awards.

Kejayaan demi kejayaan yang diterima itu sehingga Peter memenangi beberapa anugerah rekaan antaranya, ISNA 2009 pertandingan penjenamaan.

Peter juga telah menjalin kerjasama dengan ramai artis kreatif Muslim terkemuka, termasuk pakar kaligrafi dari China, Haji Noor Deen; artis jalanan UK, Mohammed Ali; pereka bentuk, Abdullateef Whiteman dan memiliki koleksi kekal gambar-gambar yang dirakam olehnya yang terpame di Zaytuna Institute di Berkeley, California.

Dia juga mengetuai sebuah studio rekaan yang mengendalikan pembangunan jenama, identiti, bahan pemasaran dan laman web yang mampu memenuhi kehendak pelanggan seluruh dunia.

Peter yang memeluk Islam pada 2002 adalah individu yang mengasaskan laman blog Azaan dengan misi untuk meneroka keghairahannya kepada reka bentuk grafik kontemporari, kesenian, fotografi dan berkongsi kekayaan sisi kerohanian dan visual tradisi Islam.

Peter pernah datang ke Malaysia kira-kira dua tahun lalu kerana terlibat dengan pameran Austrade Lifestyle Australia yang berlangsung di KLCC.

Dalam satu temuramah yang dikendalikan sebuah majalah berbahasa Inggeris, anak kelahiran Sydney, Australia itu memberitahu, hijrah akidahnya bermula pada usia akhir remaja dan memeluk Islam pada usia 20 tahun.

"Saya tidak mempunyai latar belakang agama yang kukuh. Namun minat saya kepada agama mula berputik apabila mengenali seorang wanita.

"Dia seorang yang penyabar dengan setiap persoalan yang saya utarakan kepadanya, bijak dan sangat cantik.
"Lama-kelamaan saya mula mengenali serba sedikit tentang pegangan agama dan kepercayaannya.

"Malah saya juga mengikuti beberapa ceramah agama, membaca buku-buku berkaitan.

"Setelah lebih kurang setahun, saya akhirnya, mengakui bahawa agama Islam itu adalah satu-satunya agama yang logik dengan fitrah manusia," kata Peter, wanita yang memperkenalkannya kepada Islam kini bergelar isterinya yang sah.

Akuinya lagi, berpeluang melancong ke beberapa negara Islam, merupakan satu pengalaman dan peluang yang amat bermakna.

Ini kerana bermula dari hijrah itulah, dia bukan sahaja bergerak dari satu lokasi ke lokasi, tetapi yang lebih berharga hijrah akidah daripada batil kepada benar.

"Sepanjang perantauan itu, saya mula memproses rakaman dan meluahkan setiap koleksi pengalaman menerusi bidang seni dan fotografi.

"Namun yang menjadi titik-tolak perubahan kepada saya ialah ketika melawat ke Alhamra, Andalusia, Sepanyol pada tahun 2003.

"Perasaan yang wujud ketika itu sukar hendak digambarkan. Ada semacam satu tarikan yang akhirnya membawa minat saya kepada pengkajian yang lebih mendalam tentang kesenian Islam," kata Peter.

1 comments:

arieyja berkata...

islam agama yg indah:))

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share