06 Ogos, 2010

Persiapan Ramadan (1) : Khabar Gembira dan Keutamaan



Abu Aqil Adnan

Tinggal beberapa hari lagi kita akan dihadiri oleh bulan rahmat, keampunan dan penuh keberkatan iaitu bulan Ramadan al-Mubarak. Setiap mukmin pastinya bergembira dengan ketibaan bulan ini kerana pelbagai kelebihan dan keutamaan yang dijanjikan oleh Allah SWT. Untuk mendapat manfaat yang optimum dari bulan Ramadan ini kita hendaklah membuat persiapan yang sebaiknya. Iaitu dengan mengetahui perkara-perkara yang berkaitan dengan bulan Ramadan.

Melalui bulan ramadan tanpa sebarang persiapan ibarat seorang pelajar yang menghadapi peperiksaan tanpa sebarang persiapan. Pastinya keputusan yang diperolehi tidak memuaskan berbanding dengan seseorang yang membuat persiapan yang terbaik. keputusan yang dimaksudkan ialah ganjaran dan pahala yang akan kita perolehi di akhirat kelak hasil penghayatan dan menjalani ibadat puasa mengikut teladan Nabi Muhammad saw. Berikut dinayatak beberapa perbincangan mengenai bulan ramadan.

Khabar gembira bagi orang mukmin

Dengan ketibaan bulan agung ini, Rasulullah saw selalu menyampaikan khabar gembira kepada para sahabat r.a. dengan sabdanya:


 “Telah datang bulan Ramadan yang penuh keberkatan, Allah mewajibkan kamu berpuasa padanya, pintu-pintu surga di buka pada bulan itu, pintu-pintu neraka di tutup, dan para syaitan dibelenggu. Pada bulan itu terdapat malam (kemuliaan/lailatul qadr) yang lebih baik dari seribu bulan, barangsiapa yang terhalang (untuk mendapatkan) kebaikan malam itu maka sungguh dia telah terhalang (dari keutamaan yang agung)”[Imam Ahmad dan al-Nasa’i].

Keutamaan Ramadan dan Puasa

1. Bulan al-Quran diturunkan

Allah berfirman:”Bulan Ramadan yang di dalamnya diturunkan Al-Qur`an” [Al-Baqarah : 185].

2. Terdapat malam lebih baik dari seribu bulan.

Allah Ta’ala berfirman :

”Malam Qadr lebih baik dari seribu bulan” [ al-Qadr :3].

3. Pintu syurga dibuka, pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu.

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

”Apabila Ramadan telah tiba, pintu-pintu langit dibuka dan pintu-pintu jahannam
ditutup serta syaitan-syaitan dibelenggu.”

Di dalam riwayat lain :
”Apabila Ramadan telah datang, pintu-pintu surga dibuka”.

Di dalam riwayat lain :
 ”Pintu-pintu rahmat dibuka”. [Muttafaq ’alaihi]

4. Ahli neraka dibebaskan setiap malam

Di dalam hadits riwayat Tirmizi :

”Berseru seorang penyeru: wahai orang yang menghendaki kebaikan lakukan dan laksanakanlah, wahai orang yang menghendaki keburukan kurangilah. Dan Allah memiliki orang-orang yang dibebaskan dari neraka dan hal ini terjadi setiap malam sampai berakhirnya Ramadhan.” [dihasankan oleh al-Albani].

5. Ganjaran pahala dilipatgandakan

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

”Setiap amal bani Adam dilipatgandakan, kebaikan diganjar sepuluh kali lipat yang sepadan dengannya hingga sampai 700 kali ganda, bahkan hingga sampai kepada apa yang Allah SWT kehendaki. Allah SWT Azza wa Jalla berfirman : kecuali puasa, kerana sesungguhnya puasa itu untukku dan Aku sendirilah yang akan membalasnya. Ia meninggalkan syahwat dan makannya hanya kerana Aku. [Muttafaq ’alaihi]


6. Masuk syurga melalui pintu rayyan.

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

”Sesungguhnya di dalam surga ada sebuah pintu yang disebut dengan ar-Royyan. Orang-orang yang berpuasa masuk darinya pada hari kiamat, dan tidak ada seorangpun selain mereka yang dapat memasukinya. Apabila mereka telah memasukinya pintu tersebut ditutup,maka dan tidak ada lagi seorangpun yang dapat memasukinya.” [Muttafaq ’alaihi].

7. Diampunkan dosa

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

”Barangsiapa berpuasa di bulan Ramadhan dengan keimanan dan ihtisab (mengharap
balasan dari Allah SWT) maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” [Muttafaq ’alaihi].

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

”...antara sholat lima waktu, antara Jum’at yang satu ke Jum’at yang lain dan antara
Ramadhan yang satu ke Ramadhan yang lain, terdapat kafarat (penghapus dosa)
diantaranya, selama dosa-dosa besar dijauhi.”[Imam Muslim].

8. Dimasukkan ke syurga.

Dari Abi Umamah beliau berkata : Aku mendatangi Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam dan aku berkata : ”Tunjukkan padaku amalan yang dapat memasukkanku ke surga.” Beliau menjawab :”berpuasalah kerana tidak ada yang sepadan dengannya.” Kemudian aku mendatangi beliau kedua kalinya, beliau tetap berkata : ”Berpuasalah”. [Shahih,Imam Ahmad].

9. Dijauhkan dari neraka

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

”Tidaklah seorang hamba berpuasa sehari di jalan Allah SWT, melainkan Allah SWT jauhkan pada hari itu wajahnya dari neraka sejauh tujuh puluh kharif (jarak perjalanan).” [HR Muslim].

10. Mendapat dua kegembiraan dan bau mulut lebih harum dari kasturi

Rasulullah Shallallahu ’alaihi wa Salam bersabda :

Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan, yaitu kegembiraan tatkala ia berbuka dan kegembiraan tatkala ia bertemu dengan Rabb-nya. Sungguh bau mulut seorang yang berpuasa itu adalah lebih harum di sisi Allah SWT dibandingkan harumnya kasturi.” [muttafaq ’alaihi].


Demikian beberapa kelebihan yang dijanjikan oleh Allah agar kita ghairah untuk menyempurnakan ibadat puasa dengan penuh penghayatan.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share