01 Ogos, 2010
Kisah Muktabar : Nabi saw Dicampak Kotoran Unta ketika Solat
Abu Aqil Adnan
Pada awal dakwah, Rasulullah saw sering kali dihina, dicaci, dibuli dan diperlakukan dengan zalim oleh orang-orang Quraisy disebabkan agama baru yang dibawa oleh Baginda saw.
Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abdullah bin Mas’ud r.a bahawa pernah satu kali baginda solat dekat Ka’bah. Berhampirannya terdapat Abu Jahal dan beberapa orang rakannya sedang duduk di situ.
Sebahagian berkata : siapakah di antara kamu yang berani mengambil kotoran unta bani fulan dan meletakkannya di atas belakang Muhammad yang sedang solat?
Maka bangkitalah manusia paling celaka iaitu Uqbah bin Abu Mu’aith dan dia datang dengannya. Dia menunggu dan memerhatikan Nabi saw yang sedang solat. Bila Baginda sedang sujud dia meletakkan kotoran itu di antara bahu Rasulullah saw.
Ibn Mas’ud berkata : aku melihat sendiri kejadian itu tapi aku tidak mampu untuk mencegahnya.
Abu Jahal dan kawan-kawannya ketawa terbahak-bahak sambil saling tunjuk menunjuk antara satu sama lain. Baginda terus sujud dan tidak dapat mengangkatnya sehinggalah puterinya datang dan membuang kotoran yang terdapat di atas belakang Nabi saw. Barulah Baginda dapat bangkit dari sujud dan mengangkat kepalanya. Kemudian baginda saw bersabda ;
” Ya Allah, Hukumlah Orang-orang Quraisy ini!”
Nabi saw mengucapkannya sebanyak tiga kali sehingga mereka semua berasa kesal kerana Muhammad saw telah mendoakan kecelakaan ke atas mereka. Mereka tahu doa di baitullah adalah mustajab.
Kemudian Nabi saw menyebut nama-nama mereka. Ya Allah hukumlah Abu Jahal, hukumlah Utbah bin Rabi’ah, Syaibah bin Rabi’ah, al-Walid bin Utbah, Umayyah bin Khalaf, Uqbah bin Abu Mu’aith.
Demi yang diriku di tanganNya, aku telah melihat sendiri orang-orang yang disebutkan oleh Nabi saw bergelimpangan di lembah Badar. ( Imam al- Bukhari, kitab al-Wuduk )
Pengajaran :
1- Cacian, penghinaan, fitnah adalah asam garam usaha dakwah kepada kebenaran.
2- Diharuskan berdoa keburukan kepada mereka yang melakukan kezaliman atau melampaui batas.
3- Sentiasalah berdoa dan jangan berputus asa kerana doa Nabi saw tidak ditunaikan serta merta
malah bertahun-tahun baru doa nabi menjadi kenyataan. Jarak peristiwa ini dan perang Badar yang berlaku pada tahun pertama hijrah satu waktu yang lama baru Allah makbulkan doa nabi saw.
4- Jangan melakukan sebarang kezaliman kepada sesiapa kerana doa orang yang dizalimi adalah mustajab.
Semoga kisah ini dapat dijadikan iktibar oleh kita semua.
0 comments:
Catat Ulasan