17 Mei, 2010
Wahai Wanita! Jangan Gadaikan Maruah Diri Anda
Akhir-akhir ini isu pembuangan bayi kembali mendapat perhatian istimewa di dada-dada akhbar tempatan. Terdapat berita bayi yang dibuang ke dalam sungai, ada yang ditinggalkan di surau dan macam-macam lagi berita yang amat menyedihkan dan menyentuh perasaan.
Apakah punca berlakunya perkara ini? Salah satu puncanya ialah pergaulan tanpa batasan antara lelaki dan perempuan yang menyumbang kepada berlakunya perzinaan, dosa besar yang dilaknat oleh Allah.
Siapakah yang bersalah dalam perkara ini? Tuan empunya diri itulah yang bersalah sebenarnya kerana terlalu mudah mempercayai kaum lelaki yang hanya inginkan keseronokan seks percuma tanpa bersusah payah berakad nikah dan menghabiskan wang beribu ringgit untuk mas kahwin.
Siapa yang bodoh dalam perkara ini? Perempuan itulah yang bodoh kerana terpedaya dengan pujuk rayu,janji manis dan the o ais yang dibelanjakan oleh ‘pemangsa’nya. Ditambah dengan kejahilan, godaan syaitan dan hawa nafsu serta kenipisan atau ketiadaan iman dalam hati. Ini kerana seseorang yang mempunyai iman dalam hatinya tidak akan melakukan zina sebagaimana maksud hadis Nabi saw.
Apakah langkah pertama terjadinya perkara ini?. Jawapannya tidak lain dan bukan ialah bermula dengan bercinta atau ‘couple’. Bermula dengan pandangan mata, berkenan,mula melayan perasaan, bertindak dengan menerima sapaan,ber’sms’,chatting, bergayut, diikuti dengan dating ‘one by one’. Kali pertama dating tidak ada apa-apa lagi. Kali kedua dah mula beraksi yang ringan-ringan.
pertemuan kali ketiga membawa padah. Bersorak kegembiraan syaitan kerana berjaya memperbodohkan pasangan itu sehingga berlaku zina seterusnya lahir anak luar nikah. Cara penyelesaian termudah buang saja bayi itu diam-diam. Habis cerita kononnya. Padahal episod duka pasangan ini akan berterusan hingga ke alam akhirat. Tunggulah azab Allah yang amat dahsyat sekiranya mereka disapa maut tanpa taubat. Na’uzubillah.
Bermuhasabahlah! Anda berada di mana?. Masih belum bercinta, tiada pasangan dan tidak berniat untuk mencari pasangan? Anda hebat! Anda adalah wali Allah pada akhir zaman ini. Atau anda masih belum laku dan sedang mencari-cari pasangan? Batalkankan niat anda serta merta. Anda akan selamat dan bahagia. Atau anda memang telah ada pasangan dan sedang dilamun cinta?. Anda berada diambang bahaya dan syaitan sedang merencanakan langkah-langkah berikutnya untuk memerangkap anda. Syaitan tidak pernah tidur dan berehat untuk menyesatkan anak Adam. Adakah anda mempunyai iman seperti seperti Maryam ibu Nabi Isa atau Nabi Yusuf a.s? Tepuk dada, tanya iman anda. Kalau iman anda seperti kulit bawang, solat fardu pun hanya ketika rajin, jarang-jarang mengingati Allah, leka dengan hiburan melalaikan anda dinasihatkan tidak meneruskan tindakan anda tersebut. Mencegah lebih baik daripada merawat. Percayalah.
Coretan ringkas ini bertujuan untuk menyedarkan remaja Islam di luar sana agar jangan pijak-pijakkan maruah diri anda yang diangkat dan disanjung tinggi oleh agama Islam. Tanpa seorang wanita tidak akan lahir seorang Nabi dan rasul, Syuhada’ dan pejuang-pejuang di jalan Allah. Begitu mulianya insan yang bergelar wanita.
Jagalah maruah diri anda,bukan menggadaikannya seperti ibu anda menggadaikan rantai emas di kedai pajak gadai. Tidak semurah itu harga diri anda. Ingat ! berani buat perkara yang haram dan dilaknat oleh Allah, tanggunglah penghinaan di dunia dan kepedihan azab di akhirat.
Ingat pesanan Allah dalam al-Quran “ dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah perkara keji dan seburuk-buruk jalan”. Allah menggunakan JANGAN HAMPIRI bukan jangan berzina. Ini menjelaskan Allah menghendaki agar anda jangan mulakan langkah pertama yang boleh menyumbang kepada zina. Sesungguhnya mencegah itu lebih baik daripada merawat. Fikir-fikirkan wahai wanita. PELIHARALAH HARGA DIRI ANDA.
0 comments:
Catat Ulasan