13 Mei, 2010
Kartunis Sweden hina Nabi SAW dipukul pelajar
Satu rakaman video tentang kejadian itu turut disiarkan di laman-laman web akhbar Sweden dan menunjukkan sekumpulan pelajar di dalam dewan kuliah tersebut berdiri sambil marah dan menjerit.
Anggota polis turut berada di depan dewan kuliah dan seorang polis wanita menggunakan penyembur lada terhadap seorang lelaki.
Vilks yang melukis gambar Nabi Muhammad dengan badan seekor anjing pada 2007 berkata, dia diserang lelaki yang duduk di barisan paling depan ketika sedang menyampaikan kuliah di Universiti Uppsala, kira-kira 70 kilometer dari Stockholm.
“Dia (penyerang) menghantukkan kepalanya ke dahi saya sebelum badan saya tertolak ke dinding dan cermin mata saya jatuh,” katanya seperti yang dipetik agensi berita TT.
Bagaimanapun Vilks tidak mengalami sebarang kecederaan.
Video berkenaan yang memaparkan apa yang berlaku selepas serangan berlaku, menunjukkan suasana gamat di dewan kuliah itu yang dipenuhi kumpulan pelajar yang berdiri dan menjerit.
Seorang wanita didengar bersorak ‘Allah Maha Besar’ dalam bahasa Arab.
Media Sweden melaporkan, insiden tersebut terjadi selepas Vilks mula menunjukkan satu rakaman video melibatkan imej seksual dan agama.
Video yang disiarkan di laman web akhbar Aftonbladet tersebut turut memaparkan klip yang ditunjukkan kartunis itu yang bertajuk ‘Allah ho Gaybar’.
Jurucakap polis Uppsala berkata, dua orang ditahan dalam kejadian tersebut. – Reuters
0 comments:
Catat Ulasan