24 Mei, 2010

Dimanakah sifat malu dalam diri anda?




 Malu merupakan salah satu satu cabang iman dan sifat mahmudah (terpuji). Namun dukacitanya sifat ini telah tercabut pada diri generasi muda pada masa kini. Mereka tanpa segan silu berpakaian tetapi seperti bertelanjang, berdua-duaan dengan pasangan tanpa pedulikan orang yang lalu-lalang di sekeliling, melakukan aksi berbahaya di jalanraya yang sibuk, memaparkan gambar peribadi di laman sosial tanpa sempadan, menggunakan kata-kata lucah, kasar dan biadap tanpa rasa malu dan segan. Dimanakah sifat malu dalam diri anda?

Lebih dahsyat lagi mereka berbangga dan menunjuk-nunjuk kepada rakan-rakan mereka bila melakukan kemungkaran. Golongan ini dilaknat oleh Allah dan tiada kemaafan baginya sebagaimana sabda Rasulullah saw yang bermaksud :


Setiap umatku akan mendapat kemaafan kecuali orang yang menzahirkan kemaksiatannya, termasuk menampakkan kemaksiatan ialah seseorang berbuat maksiat pada waktu malamnya lalu pada waktu paginya padahal Allah telah menutupi kemaksiatannya, namun  dia mengatakan: Wahai fulan tadi malam aku telah berbuat ini dan ini, kemaksiatannya telah ditutupi oleh Allah lalu pada waktu pagi dia menyingkap apa yang telah disembunyikan oleh Allah”. (Imam Bukhari)

Apalah ertinya hidup kalau tiada peluang untuk mendapat keampunan dari Allah. Hidup pun sekadar menyusahkan dan membebankan orang lain kecuali dia bertaubat dari kesalahan-kesalahan lampau.
Ingatlah bila tiada sifat malu dalam diri seseorang maka segala larangan dan perkara haram akan dilakukannya dengan mudah. Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

Sesungguhnya ungkapan yang telah  dikenal orang dari ucapan nabi-nabi terdahulu adalah: Jika engkau tidak malu  perbuatlah apa yang engkau suka.” (Imam al-Bukhari)

Perintah di dalam hadis ini merupakan tahdid ( ancaman) bukan bermaksud Rasulullah saw menyuruh melakukan segala perkara tanpa malu. Tapi menjelaskan akibat bila perasaan malu hilang dalam diri, maka seseorang itu akan melakukan segala perkara tanpa menghiraukan halal atau haram.

Wahai muslimah! pupuklah sifat malu dalam diri anda nescaya kebaikan akan menjadi milik anda. Nabi saw bersabda :

Malu itu tidak datang kecuali dengan membawa kebaikan (Imam Muslim)

Jangan biarkan sifat malu tercabut dari diri anda kerana pasti iman anda juga akan tercabut. Sabda Nabi saw yang bermaksud :

Rasa malu dan iman itu terikat menjadi satu. Jika yang satu hilang maka yang satu lagi juga akan hilang( al-Hakim)

bila iman lenyap maka berlakulah perzinaan, mencuri, meminum arak, membunuh dan segala macam kemungkaran. Sabda Nabi saw :

tidak mencuri seseorang itu ketika dia mencuri dalam keadaan beriman dan tidak berzina seseorang itu ketika dia berzina dalam keadaan beriman.( Imam al-Bukhari)

Semoga Allah SWT sentiasa menambahkan sifat malu dalam diri kita agar kita sendiri berasa malu dan segan untuk melakukan dosa dan perkara yang mengundang kemurkaan Allah SWT.



0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share