23 Februari, 2010

Cinta : Antara Pisau Pemotong dan Pisau Pembunuh



“Cinta juga boleh diibaratkan seperti pisau,. Sekiranya pisau itu digunakan untuk perkara yang sepatutnya seperti untuk memotong sayur, buah-buahan dan lain-lain yang mendatangkan manfaat, ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada pemiliknya. Tetapi sekiranya pisau itu digunakan untuk melakukan kejahatan seperti membunuh dan mencederakan orang lain, ia akan memberikan keburukan kepada pemilik pisau itu.”

Demikianlah kata-kata tokoh spiritual terkenal seluruh negara, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat tatkala beliau berbicara soal cinta. Beliau menukilkan satu misalan yang mudah difahami, tidak sukar untuk dicerna oleh semua yang celik huruf. Cinta umpama pisau, ada baik dan tidak kurang juga banyak buruknya.


Orang Melayu kita kaya dengan pelbagai pepatah yang memperkata tentang cinta. Antaranya, “dari mata turun ke hati” dan “cinta pandang pertama”. Malah jika kita menyelongkar khazanah kata-kata indah daripada bangsa dan bahasa lain, maka kita pasti akan menemui persoalan C.I.N.T.A. ini. Betapa kuatnya aura cinta, sehinggakan istilahnya sahaja sudah menjadi igauan bagi sesetengah orang. Cinta, hubb dan love. Masyhur tanpa sebarang promosi. Dikejar meskipun telah berlari kencang.

Sebelum meneruskan larian minda saya dalam tulisan pada kali ini, saya pohon kepada anda supaya jangan salah faham, saya bukannya ingin menyebelahi segelintir manusia yang asyik dengan hidangan ‘sepinggan dosa berulamkan pahala’ ini tetapi saya ingin mengajak anda bersama-sama saya seketika. Tidak lama, hanya sekitar belasan perenggan. Boleh ya.

Sabda nabi saw: “Tujuh golongan manusia yang yang akan dinaungi Allah dengan naungan-Nya pada hari tiada langsung naungan (perlindungan) melainkan naungan-Nya semata-mata…………salah satu golongan tersebut ialah seorang pemuda/pemudi yang diajak oleh seorang wanita/lelaki yang bangsawan lagi jelita/kacak untuk melakukan zina (disebut juga sebagai perkara yang diharamkan Allah) maka pemuda/pemudi itu berkata: “Inni akhafullah (aku takutkan Allah)”………..

Hadis di atas telah diucapkan oleh baginda saw sekitar 1400 tahun yang lalu, memberi jaminan keselamatan kepada kita tatkala semua manusia dalam kebimbangan dan kesulitan yang maha dahsyat di mahsyar, kita boleh mendapat perlindungannya dengan menjadi salah satu daripada tujuh golongan tersebut. Dan segolongan yang saya ingin bincangkan pada kali ini ialah golongan yang dilanda badai pada jiwa dan fitrah, meski tak seperti sang imam yang adil (imamun adilun: tangga pertama dalam hadis ini) menanggung amanah rakyat jelata ataupun seperti sang pemuda/pemudi yang hidupnya penuh dengan ubudiyyah kepada Allah semata-mata (syaabun nasya’a fi ibadatillahi taala: tangga ketiga dalam hadis).

Pemuda mahupun pemudi yang mempunyai fitrah kelelakian ataupun keperempuanan. Pemuda yang diserang taufan jiwa yang dahsyat. Apatah lagi dalam usia dunia yang telah nyanyuk pada hari ini, lagilah kaget pemuda kita mahu melawan arus deras ini. Fuhhh. Nafas saya turun naik mengingatkan malam dakwah mesra di Tasik Taman Melawati pada malam tahun baru bersama-sama mahasiswa Islam lain baru-baru ini. Semuanya gara-gara tersilap menggunakan pisau.

Minda saya makin kencang berfikiran apabila merenung beberapa kisah yang dirakamkan al Quran sebagai menunjukkan badai fitnah seumpama ini amat payah untuk ditangkis sekiranya iman kita senipis kulit bawang cuma ataupun hanya setitis air lautan. Apatah lagi jika remaja-remaja pada hari ini sengaja ‘mencari penyakit’ apabila mereka dengan sukarelanya ingin menyertai golongan hanyut dalam kapal miskin yang hanya menunggu masa untuk karam. Sulaman indah yang rupa-rupanya penuh dengan dosa.

Kisah Yusuf as dan Cinta Seorang Wanita

Dalam al Quran, telah dirakam kisah seorang pemuda yang telah dipikat ‘habis-habisan’ oleh seorang perempuan (isteri al Aziz) yang dikatakan oleh ahli sejarah sebagai Zulaikhah. Sehinggakan pada satu ketika, nafsu Zulaikhah sudah tak dapat ditahan lagi dan ketika itu hanya beliau dan Yusuf as sahaja berada dalam sebuah kamar. Lalu ketika itu Zulaikhah melepaskan kalimah rindu, mengungkapkan alunan cinta berahinya selama ini dan menggoda Yusuf as supaya terpesona dengannya.

Zulaikhah merupakan seorang perempuan yang sungguh jelita, semua lelaki akan tertawan melihatnya. Namun tidak bagi Yusuf as, baginda dengan bersungguh-sungguh menolak ajakan tersebut sehinggakan diceritakan dalam al Quran bahawa baju bahagian belakangnya terkoyak ditarik Zulaikhah. Yusuf as berdoa kepada Allah swt,: “Wahai Tuhanku, tolonglah diriku dan peliharalah daku daripada nafsu perempuan ini. Jadikanlah diriku tetap kuat menjaga amanat-Mu, jagalah diriku daripada perbuatan dosa dan pengkhianatan.” Dan doa baginda telah dikabulkan Allah swt.

Kisah Maryam as, Si Perawan Teragung

Maryam as merupakan seorang wanita yang lahir dalam keturunan yang baik-baik iaitu keluarga Nabi Imran. Bahkan al Quran sendiri mengabadikan nama keluarganya dan dijadikan nama surah iaitu surah Aali Imran. Firman Allah: “Sesungguhnya Allah telah memilih Adam, Nuh, keluarga Ibrahim dan keluarga Imran melebihi segala umat (pada zaman masing-masing). (Aali Imran: 33)

Beliau juga telah dipilih oleh Allah swt untuk menjadi ibu kepada Isa as walau tanpa disentuh oleh mana-mana lelaki. Maryam selalu berkhalwah (uzlah/menyendiri) dengan beribadat kepada Allah di sebuah mihrab di Baitul Maqdis. Sehinggalah pada suatu hari, datang Jibril as untuk membawa satu berita bahawa beliau akan bergelar ibu kepada Nabi Allah Isa as. Jibril as datang dengan watak seorang pemuda yang sempurna, tampan dan gagah.

Pertemuan tertutup yang hanya melibatkan Jibril as yang menjelma sebagai seorang pemuda tampan dan Maryam, seorang perawan suci lagilah cantik jelita. Akan tetapi, pertemuan itu tidak mengharu birukan asmara puteri Imran itu walhal beliau sedang berada di puncak usia mudanya. Maryam sebaliknya berdoa: “Sesungguhnya aku berlindung daripadamu (Jibril) kepada Allah yang Maha pemurah, jika kamu bertakwa.”

Begitulah dua kisah, seorang pemuda dan seorang lagi pemudi yang bersungguh-sungguh melawan nafsu muda yang bergejolak dalam diri mereka. Tidak terkecuali juga kisah Musa as dengan puteri Syuib as (dikatakan oleh ahli sejarah bernama Shafura). Pada suatu ketika, selepas membantu Shafura melakukan kerja, Musa as dengan penuh gentleman: “Berjalanlah kau di belakangku, agar mataku tidak terkena fitnah penglihatan kerana melihat aurat anggota tubuhmu.” Sebelum itu, Shafura berjalan di depan Musa as dan bajunya tersingkap.

Semua watak-watak di atas bersungguh-sungguh mengelakkan fitnah daripada ‘mentaufani’ fitrah yang dimiliki mereka sebagai manusia. Jauh berbeza dengan kita pada hari ini, bersungguh-sungguh ingin menjamu sepinggan dosa yang berulamkan pahala. Malahan banyak yang sudah jauh terpesong.

Memang kita bukan Musa as, Yusuf as ataupun Maryam as. Malah untuk menjadi tali kasut mereka pun kita tidak layak. Akan tetapi, belajarlah daripada mereka. Janganlah kita sewenang-wenangnya menyerah kalah dengan fitrah. Silapnya kita apabila kita secara sukarela ingin mencari syurga melalui denai neraka. Nauzubillah.

Apa yang pasti inilah antara badai terbesar yang menimpa umat akhir zaman ini apatah lagi kita, remaja ghuraba’ yang menjadi harapan untuk meneruskan perjuangan suci di bumi ini. Yang menyedihkan ialah ramai yang sudah tewas, agak-agaknya di manakah kedudukan kita? Jawablah sebelum terlambat.

Sumber : http://zonremajaislam.blogspot.com

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share