12 Januari, 2010

Jangan Jadi Manusia Tidak Tahu Bersyukur





BISMILLAH…
Sabda Rasulullah saw :
“Sesiapa yang tidak bersyukur dengan nikmat yang sedikit, nescaya dia juga tidak akan bersyukur dengan nikmat yang banyak dan sesiapa yang tidak berterima kasih kepada manusia nescaya dia juga tidak bersyukur kepada Allah SWT”.( Riwayat al-Tirmizi)
Kita sentiasa sahaja diuji oleh Allah SWT setiap masa dan ketika sama ada musibah yang menimpa ahli keluarga, harta, kerjaya, pelajaran dan sebagainya. Allah SWT sememangnya suka menguji hambanya bertujuan untuk memilih amalan yang terbaik dari kalangan hamba-hambaNya.

 Setiap ketentuan yang telah diputuskan oleh Allah, itulah yang terbaik untuk kita sebenarnya walaupun pada zahir seolah-olah mendapat keburukan. Allah SWT Yang Maha Bijaksana telah merancang segalanya untuk kebaikan hambaNya dan Dia Maha Suci daripada menzalimi sesiapapun.
Sesungguhnya Allah tidak menzalimi manusia dengan sesuatupun tetapi manusialah yang menzalimi diri mereka sendiri ( Surah Yunus, ayat 44)
Bersangka baiklah terhadap Allah SWT yang sememangnya Maha Baik dan Pemurah kepada kita. Sekiranya kita ditimpa penyakit, ingatlah itu adalah untuk menghapuskan dosa yang kita telah kerjakan. Sekiranya kita tidak mencapai target cemerlang dalam peperiksaan, anggaplah itu sebagai permulaan untuk meningkatkan usaha dan kesungguhan pada masa akan datang.
Perkara yang telah berlalu usahlah diungkitkan.Usah disebut ‘kalaulah aku membuat begini-begini”, ungkapan sedemikian dilarang dalam agama kerana itu adalah pengaruh syaitan. Orang mukmin tidak akan mengucapkan ungkapan seperti itu kerana dia pasrah dan akur dengan kehendak Allah SWT.Perkara yang lepas biarkan ia berlalu menjadi lipatan sejarah. Terus mara dan pandang ke hadapan. Peluang masih terbuka luas.
Bersyukurlah dengan apa yang dimiliki walaupun kadang-kadang kita gagal mencapai perkara yang diidamkan. Hakikatnya amat sedikit perkara yang Allah tidak tunaikan kehendak kita. Selebihnya Allah SWT menunaikan hampir sebahagian besar hajat dan keperluan kita. Sungguh Pemurahnya Allah SWT kepada kita semua.

Namun begitulah tabiat manusia. Beribu kenikmatan dan kurniaan yang dikecapi mereka lupakan. Mereka  asyik mengungkitkan dua tiga perkara yang gagal mereka  dimiliki. Sungguh buruk sikap manusia seperti ini. Mereka inilah golongan yang tidak tahu bersyukur. Sentiasa tamak dan tidak pernah merasa cukup dengan apa yang ada dalam genggaman.
Lebih buruk lagi mereka menyalahkan orang lain di atas kegagalan yang dihadapi walaupun mereka telah berusaha dengan bertungkus lumus dan melakukan usaha dengan sehabis baik. Amat malang golongan ini kerana jasa dan pengorbanan mereka tidak pernah dihargai. Namun Allah SWT Maha Adil. Allah tidak akan mensia-siakan pengorbanan hambaNya yang ikhlas. Jangan kecewa, jangan melenting, jangan berputus asa kerana kemuliaan, ganjaran dan penghargaan tetap disediakan untuk anda dalam bentuk yang jauh lebih baik daripada penghargaan di sisi manusia.
Ya Allah, aku berlindung dengan kekuasaan dan keagunganMu daripada menjadi hambaMu yang tidak tahu bersyukur kepadaMu dan menjadi manusia yang tidak tahu berterima kasih kepada orang melakukan kebaikan kepadaku.
WALLAHU TA’ALA A’LAM



4 comments:

Ariffah9 berkata...

Erm, bersyukurlah~ tp slalu sgt tersebut 'kalau la aritu xbuat mcm ni, ' kalau2 aja ~
huhu.. Nice Article..keep it up..=D

AbuAqil berkata...

memang kita kadang2 tanpa sedar terkata jg 'kalau-kalau ni'...itulah kelemahan. ustaz pun ada jg ter...

lepas tu cepat2 la istighfar...lemahnya diri ini

Ariffah9 berkata...

oh, istighfar ye lepas tu? insya'allah, ana cuba nnti bila tersebut kalau2,,, syukran ats prkongsian

AbuAqil berkata...

di sini ustaz letakkan hadis larangan kita 'berkalau-kalau'...

sabda nabi saw :

Sekiranya engkau ditimpa sesuatu musibah, maka jangan engkau berkata:”KALAULAH aku lakukan begini maka sudah pasti lain yang berlaku. Tetapi katakanlah:”Itu merupakan takdir Allah dan Dia melakukan apa yang dikehendaki-Nya, sesungguhnya ‘KALAU’ akan membukakan pintu amalan syaitan.” [Riwayat Muslim]

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share