07 Disember, 2009

SUKAN JADI KOKURIKULUM WAJIB SEKOLAH




Perubahan dasar kembali semula kegemilangan

MUAR 6 Dis 09: Dasar kokurikulum sekolah akan diubah dengan menjadikan kegiatan sukan sebagai kokurikulum wajib dalam usaha menyemarakkan semula sukan di semua sekolah di negara ini, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, perubahan dasar kokurikulum itu juga dibuat bagi mengembalikan semula kegemilangan kegiatan sukan seperti pada zaman dulu yang menjadikan sukan sebagai acara penting bagi setiap sekolah.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Makan Malam Persatuan Bekas Pelajar Sekolah Tinggi Muar, di dewan sekolah itu, di sini, semalam. Turut hadir, Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman, yang juga rakan sekelas Muhyiddin ketika belajar di sekolah berkenaan.

Muhyiddin berkata, langkah mewajibkan kegiatan sukan itu juga berikutan pada masa ini kebanyakan sekolah tidak lagi memberi penekanan kepada kegiatan sukan menyebabkan pelajar terbabit dalam kegiatan kokurikulum lain, termasuk pasukan seragam.

"Kita mahu semua kokurikulum tetapi yang diwajibkan ialah kegiatan sukan. Jika dulu, sukan menjadi acara paling penting dalam kegiatan sekolah tetapi sekarang ini ia tidak lagi diberi penekanan," katanya.

Beliau tidak mahu kemudahan untuk kegiatan sukan yang disediakan oleh kerajaan itu terbiar begitu saja dan tidak digunakan sepenuhnya untuk menyemarakkan lagi kegiatan pelbagai acara sukan pada peringkat sekolah.
Suntingan daripada sumber :

Berita Harian

1 comments:

AbuAqil aka AbuSakeena berkata...

cabaran baru bagi pelajar. kena seimbangkan antara akademik dan ko.

juga beban baru bagi guru-guru..ih..ih

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share