KOTA BHARU: Dua penuntut kejururawatan Kolej Masterskill meninggal dunia, manakala seorang rakan mereka cedera parah ditimpa sebuah kereta yang terjunam dari tempat letak kereta di tingkat tiga pusat beli-belah KB Mall, di sini, petang semalam.
Siti Nor Amira Shamsuddin, 19, dari Gua Musang, mati di tempat kejadian, manakala rakannya, Siti Nordiana Azman, 18, dari Wakaf Bharu, Tumpat, meninggal dunia ketika dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII). Kedua-dua mangsa yang menuntut di Kampus Metro Masterskill Kota Bharu itu cedera parah di kepala.
Rakan kolej mereka, Rashidah Ahmad Lotfi, 24, dari Jerteh, Terengganu dan pemandu kereta, Nor Ain Said, 19, yang cedera parah pada kepala dirawat di HRPZII. Adik Nor Ain, iaitu, Nor Atikah, 17, yang berada dalam kereta berkenaan tidak cedera, tetapi melarikan diri.
Kejadian jam 5 petang itu berlaku apabila kereta jenis Ford Laser itu merempuh dinding lubang angin di ruang meletak kereta di tingkat tiga lalu terjunam dan menimpa mangsa yang ketika itu berada atas eskalator di tingkat dua.
Ketua Polis daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Zahruddin Abdullah, berkata Siti Nordiana tercampak ke tingkat bawah kompleks akibat ditimpa kereta berkenaan.
Beliau berkata, kejadian dipercayai berlaku ketika seorang lelaki yang dikenali sebagai Sabri menolak kereta yang tidak boleh dihidupkan di ruang meletak kereta di atas bumbung kompleks itu.
"Nor Ain yang memandu kereta mungkin tidak dapat mengawal kenderaan apabila enjin berjaya dihidupkan lalu merempuh dinding lubang angin dan terhumban melalui celah dua eskalator serta terhempap di aras bawah.
"Sebelum terhempap, kereta berkenaan mungkin menimpa tiga pelajar kolej berkenaan yang berada atas eskalator, menyebabkan Siti Nordiana tercampak ke aras bawah. Siasatan awal mendapati Nor Atikah yang tidak cedera berjaya keluar dari kereta dan melarikan diri," katanya.
Beliau berkata, lelaki yang dikenali sebagai Sabri, dipercayai kenalan mereka turut melarikan diri dan polis sedang mengesan mereka.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Kelantan, Shahril Yusman Md Yusof, pula berkata siasatan awal mendapati kereta itu jatuh daripada ketinggian 20 meter.
SEORANG mangsa yang parah diusung, sementara rakannya, Siti Nor Amira mati di tempat kejadian.
"Kereta terbabit terbabas lalu memasuki siling di aras tiga sebelum terjatuh dan terbalik di celah tangga bergerak di aras bawah," katanya yang mengetuai enam anggota ke lokasi kejadian.
Seorang saksi, Mohd Jawaidi Moha Zain, 23, berkata ketika kejadian, beliau yang juga Penolong Pengurus Kyros Kebab, yang terletak bersebelahan eskalator sedang melayan pelanggan.
"Tiba-tiba, saya terdengar bunyi dentuman. Saya sangka ada kebakaran di tingkat atas, tetapi amat terkejut apabila sebuah kereta terjatuh dan terbalik di celah tangga bergerak depan premis saya.
"Kejadian menyebabkan orang ramai menjerit ketakutan. Saya meminta pelanggan menyelamatkan diri kerana bimbang kereta terbabit meletup dan terbakar," katanya yang kemudian menutup premis perniagaan itu.
Beliau juga mendakwa melihat seorang mangsa yang terbunuh terjatuh sehingga menyebabkan pelbagai barangan peribadinya bertaburan.
Berikutan kejadian itu, semua premis niaga di pusat beli-belah itu ditutup sementara bagi memudahkan kerja menyelamat dan membersihkan kesan kemalangan.
Sumber :
Berita Harian
1 comments:
inna lillah wa inna ilaihi raaji'uun.
takziah kepada keluarga mangsa,
اللهم اغفر لهما وارحمهما
Catat Ulasan