18 Disember, 2009

Kisah Muktabar : Hijrah Membawanya ke Syurga




BISMILLAH…


Sempena Ma’al Hijrah 1431H, mari kita menghayati satu kisah benar yang masyhur seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim. Semoga kisah ini dapat dijadikan pedoman agar kita memanfaatkan awal Muharram pada kali ini.

Dari Abu Sa’id Al-Khudri radhiallahu ‘anhu bahwa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda, “Sebelum kamu (dari kalangan  Bani Israil ) terdapat seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, kemudian dia bertanya tentang orang yang paling pandai di muka bumi. Dia diberitahu adanya seorang ahli ibadah, dia pun mendatanginya, dia berkata, bahawa dia telah membunuh 99 jiwa, apakah ada kesempatan untuk bertaubat?. Ahli ibadah itu menjawab, ‘Tidak’.Lalu lelaki tadi membunuhnya, sehingga genaplah  100 orang yang dibunuh olehnya.

Dia bertanya lagi tentang orang yang paling alim di muka bumi ini. Dia diberitahu adanya seorang alim. Dia bertanya kepadanya, bahawa dia telah membunuh 100 orang, apakah ada kesempatan untuk bertaubat ? Orang alim itu berkata, ‘Ya’. Apa yang menjadi penghalang untuk kamu bertaubat?. Pergilah ke   kampung tertentu , padanya terdapat golongan yang beribadah kepada Allah Ta’ala, maka beribadahlah kepada Allah Ta’ala bersama mereka. Dan jangan kembali ke daerahmu ini, kerana ia tempat yang dipenuhi dengan keburukan.

 Lelaki itu kemudian meninggalkannya dan menuju ke daerah yang disarankan . Ketika di dalam perjalanan jalan, Malaikat Maut mengambil nyawanya . Malaikat rahmah dan malaikat azab bertengkar  tentangnya. Malaikat rahmat berkata, ‘Dia telah datang dengan bertaubat kepada Allah Ta’ala.’ Malaikat azab barkata, ‘Dia tidak pernah melakukan kebaikan sedikit pun’. Datanglah seorang malaikat dalam bentuk manusia sebagai orang tengah di antara keduanya. Dia berkata, ‘Ukurlah antara kedua daerah tersebut, mana yang lebih dekat, maka itu adalah bahagiannya’. Keduanya pun melakukannya, dan mendapatinya lebih dekat kepada daerah yang dituju. Kemudian Malaikat Rahmat membawanya.” ( Riwayat Imam al-Bukhari dan Muslim).

Bertuahnya insan yang menemui Allah dalam keadaan Allah reda kepadanya. Sesungguhnya rahmat Allah mengatasi kemurkaanNya. Asalkan seseorang itu ingin kembali kepada Allah, sebesar mana pun kesalahan yang dilakukan akan diampunkan oleh Allah SWT. Semoga kita bersama-sama berhijrah ke arah kebaikan untuk menggapai keredaan Allah SWT.

WALLAHU TA’ALA A’LAM



1 comments:

Dayana berkata...

As-salamualaikum..
subhanallah..syukran atas perkongsiannya...

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share