11 Disember, 2009
DOA ( 3 ): MEMOHON TIGA PERKARA PENTING
BISMILLAH…
Doa yang ketiga ini merupakan amalan sunnah yang dibaca oleh Rasulullah saw selepas subuh. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Ummi Salamah r.a bahawa Rasulullah saw sering membaca doa ini selepas solat subuh. Hadis ini diriwayatkan oleh imam Ahmad, Ibn Majah dan Ibn sunniy dan hadis ini bertaraf hasan.
Lafaz doa :
اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْماً نَافِعاً، وَرِزْقاً طَيِّباً، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksud : Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepadaMu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.
Rasulullah saw mengajar kita agar membaca doa ini pada setiap pagi sebelum keluar meneruskan kehidupan seharian sama ada untuk mencari rezeki atau menuntut ilmu.
Ilmu merupakan perkara yang amat penting kepada kita terutama ilmu agama yang boleh menjamin kebahagiaan dunia dan akhirat. Doa Nabi saw ini berbentuk umum merangkumi ilmu agama atau ilmu fardu kifayah seperti ilmu perubatan, kejuruteraan dan sebagainya. Ilmu-ilmu ini akan menjamin kehidupan di dunia dan supaya orang Islam tidak ketinggalan dalam bidang-bidang yang lain. Yang perlu dihindari ialah ilmu yang memudaratkan diri sendiri atau pun orang lain seperti ilmu sihir, pukau, judi dan seumpamanya.
Perkara yang kedua ialah memohon agar dikurniakan rezeki yang halal. Ini juga penting kerana rezeki yang bersumberkan perkara yang haram boleh menyebabkan seseorang itu dihumban ke neraka. Rezeki ini tidak semestinya banyak. Memadai hanya sedikit tetapi dengan cara yang halal walau pun bekerja sebagai pengumpul kayu api. Rezeki yang berkat ialah diperolehi dengan cara yang halal dan tidak mengabaikan kewajipan sebagai hamba Allah seperti solat fardu, zakat dan sebagainya.
Perkara yang paling mustahak ialah memohon agar semua amalan yang kita lakukan diterima oleh Allah SWT. Cuba bayangkan sekiranya Allah tidak menerima amal soleh yang kita lakukan semasa hidup di dunia?. Siapa lagi yang dapat membantu kita sekiranya kita berada dalam situasi seperti ini, na’uzubillah. Sentiasalah memanjatkan doa kepadaNya agar diterima semua amal soleh kita sama ada ibadat khas seperti solat, puasa dan juga ibadat umum seperti belajar, mengajar, mencari rezeki yang lain-lain. Rasulullah saw yang terpelihara daripada dosa dan beribadat dengan sempurna pun mendoakan perkara ini, apatah lagi kita yang sentiasa lalai dan leka dalam beribadat.
Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita taufik dan petunjukNya agar dapat mengamalkan permohonan tiga perkara utama ini.
WALLAHU TA’ALA A’LAM.
0 comments:
Catat Ulasan