BISMILLAH...
Pada masa kini adab-adab belajar semakin terhakis dalam diri seorang pelajar.ini merupakan musibah yang besar yang menimpa umat Islam. Di sini ustaz ingin menggariskan beberapa panduan tentang adab dan teknik belajar yang mesti dipraktikkan semasa menuntut apa jua ilmu yang bermanfaat.
PERTAMA : IKHLAS
Ini adalah perkara yang terpenting. Hendaklah kita menuntut ilmu ikhlas kerana Allah. Jika kita menuntut ilmu untuk menggapai kecemerlangan akademik semata-mata, untuk mendapat sanjungan dan pujian, untuk habuan dunia atau apa sahaja niat selain kerana Allah kita tidak akan mendapat keberkatan di dunia dan akhirat. Walau pun di dunia zahirnya berjaya namun sebenarnya dia seorang yang rugi di kehidupan dunia dan akhirat.
KEDUA : MINAT YANG MENDALAM
"Minat" (Interest) adalah faktor yang dapat menyelesaikan separuh pertama hajat seseorang. Separuh kedua ialah berusaha untuk membenarkan hajat tersebut. "Minat" seseorang kepada sesuatu perkara mampu membawa dia ke tahap yang sebelum itu tidak terbayang olehnya.
Minat ini boleh dipupuk bila diketahui ganjaran yang diperolehi di sisi Allah. Begitu juga Seorang yang mempelajari Bahasa Arab yang bertujuan untuk memahami al-Quran akan mendapat kemuliaan di akhirat.
KETIGA : BERSABAR.
Tidak ada short cut dalam menuntut ilmu. Tidak boleh duduk dan angan-angan diri sendiri umpama sebuah komputer: letak sahaja cd rom dan install, program terus berjalan.
Menuntut ilmu harus berperingkat dan bertahap-tahap. Bagi setiap individu peringkat dan tahap berbeza-beza kerana manusia memiliki kemampuan yang berbeza di dalam mencerna ilmu-ilmu yang diterimanya. Ada yang cepat, ada yang sederhana dan ada yang lambat.
Yang pentingnya manusia itu berusaha dengan kemampuan yang dimiliki oleh. Kemampuan itu sendiri sesuatu yang tidak tetap (not fixed), ia sentiasa dinamis selari dengan kadar usaha seseorang itu. Oleh itu yang penting ialah berusaha dan bersabar di atas usaha tersebut.
Dalam sebuah hadisnya, Nabi s.a.w. bersabda, maksudnya: "Menuntut ilmu adalah wajib ke atas Muslim." Baginda tidak bersabda, umpama: "Menjadi pandai adalah wajib ke atas Muslim."
Bererti yang dituntut oleh Islam ialah berusaha menuntut ilmu dan bukannya menjadi pandai tanpa berusaha terlebih dahulu.
KEEMPAT : BERANI MENGHADAPI KEGAGALAN.
Seorang bayi tidak akan dapat berjalan jika dia enggan menerima risiko terjatuh ketika berlatih berjalan. Seorang penunggang basikal akan cepat bangun apabila terjatuh jika sebelum itu dia sudah biasa terjatuh, berbanding dengan seseorang yang sebelum itu tidak pernah jatuh.
Demikian juga seorang penuntut ilmu tidak akan berjaya jika sebelum itu dia enggan menerima risiko tersilap atau terkeliru.
KELIMA : MEMPELBAGAIKAN CARA BERINTERAKSI DENGAN ILMU.
Manusia menerima dan memproses ilmu dengan pelbagai cara. Jika seseorang itu hanya mengikat dirinya kepada satu cara, maka dia akan terikat selama-lamanya dengan cara itu sahaja. Apabila cara itu hilang, maka dia tidak akan lagi dapat memperoleh apa-apa ilmu.
Contohnya ialah seseorang yang hanya mahu belajar secara face to face dengan seorang guru. Apabila gurunya tiada, dia tidak lagi dapat mempelajari apa-apa ilmu.
Dalam mempelajari bahasa arab selain P&P dalam kelas cara lain yang boleh digunakan ialah melalui melayari internet, mempraktik dalam kehidupan seharian dan mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan.
Orang-orang seperti ini, yang juga dikenali sebagai "Self improvement guru" adalah mereka yang memiliki keahlian dalam mengkaji tabiat manusia dan cara-cara untuk memperbaikinya.
KELIMA : MENJAUHKAN PERKARA YANG SIA-SIA.
Mustahil untuk berhimpun di dalam satu jasad perkara-perkara mungkar dan ilmu-ilmu agama kerana kedua-duanya adalah sesuatu yang saling bertentangan.
Bukan sekadar perkara yang mungkar, yang sia-sia dan samar-samar juga adalah sesuatu yang bertentangan.
Oleh itu hendaklah dijauhi segala yang sia-sia (al-Laghw) atau samar-samar seperti muzik, URTV, rokok, mendengar/melihat/mencari kesalahan orang dan lain-lain. Antara wabak yang paling berbahaya yang menjadi penghalang ilmu kepada pelajar ialah pergaulan bebas atau budaya couple. Budaya ini amat membimbangkan semakin berleluasa pada masa kini di semua peringkat pendidikan.
Semua di atas digantikan dengan zikir, solat sunat dan bacaan al-Qur'an. Perlu dingatkan bahawa tiga amalan di atas adalah sebagai pengisi masa lapang ketika berehat daripada mengkaji ilmu-ilmu agama.
KETUJUH: MENGAJAR ORANG LAIN.
Ini juga merupakan salah satu teknik yang berkesan untuk meningkatkan kefahaman. Seorang yang faham sesuatu tajuk ilmu kemudian mengajar orang lain, Allah akan mengurniakan kefahaman yang lebih mendalam di samping mendapat pahala kerana melakukan ihsan terhadap orang lain.
KELAPAN : MEMULIAKAN GURU
Perkara ini juga semakin hilang dalam diri seorang pelajar pada masa kini. Menghormati guru bukan terhad di sekolah atau semasa bergelar seorang murid kepada guru tersebut. Walau pun bukan lagi menjadi pelajarnya, guru perlu disanjungi sepanjang masa.
Jasa mereka terlalu besar dan tiada bandingan sebagaimana jasa ibu bapa terhadap anaknya. Tiada perkara yang lebih mengembirakan seorang guru melainkan anak didiknya mencapai kejayaan dalam akademik. Seorang guru tidak mengharapkan balasan dari pelajarnya melainkan cukuplah sekadar jasa dan pengorbanan mereka sentiasa diingati oleh pelajarnya. Tolong ingat perkara ini!
SEMBILAN : TEKUN BERUSAHA
Semua perkara di atas akan menjadi sia-sia sekiranya kesungguhan dan usaha tiada dalam diri pelajar. Ilmu adalah sesuatu yang ‘hidup’ dan ia perlu diikat. Cara untuk mengikatnya ialah dengan memberi perhatian, mencatat, mengulangkaji, menghafaz sehingga benar-benar diingati dan dikukuhkan dengan memperbanyakkan latih tubi.
SEPULUH : BERDOA DAN TAWAKKAL.
Ini merupakan perkara yang sama pentingnya dengan usaha dan kesungguhan. Doa dan tawakkal adalah senjata orang beriman yang paling ampuh. Sakit, sihat, ingat, lupa, tenag, gelisah semua di tangan Allah. Entah berapa ramai pelajar yang membuat persiapan dengan 100% komitmen namun bila hari peperiksaan ditimpa sakit kepala, sakit perut dan sebagainya.
Dua perkara ini hendaklah seiring dengan usaha dan ikhtiar kita agar perlindungan, rahmat dan keberkatan Allah sentiasa memayungi kita.
Sepuluh adab dan teknik ini perlu diamalkan oleh setiap pelajar agar mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran dan mendapat keberkatan hidup di dunia dan di akhirat.
Disunting dan ditambah isi dari artikel “teknik belajar” oleh Hafis Firdaus Abdullah
0 comments:
Catat Ulasan