04 Disember, 2013

Alhamdulillah Lega, Semua Ceria



AbuAqil aka AbuSakeena


Video rakaman aksi pelajar sejurus keluar dari dewan peperiksaan

Tanggal 3 Disember 2013, tarikh penting bagi saya dan anak-anak didik 5 Ibnu Sina SMK Dato’ Perdana.  Tarikh ini merupakan hari ‘kemerdekaan’ dari beban SPM bagi mereka dan pengakhirannya ialah kertas Bahasa Arab yang dianggap ‘killer subject’ bagi sebahagian pelajar. Tetapi tidak bagi mereka. Mereka berjuang untuk peroleh A+ dan minima A-. semoga impian mereka tercapai.

Berasa sangat bertuah dan beruntung kerana berpeluang menjadi guru kepada generasi yang telah mencipta sejarah gemilang PMR 2011. Sekolah harian terbaik peringkat kebangsaan. Mereka juga mencipta sejarah calon kertas bahasa arab SPM paling ramai dalam sejarah SMKDP. Generasi yang majoritinya membuat keputusan kekal di sekolah asal dan menolak tawaran belajar di SBP dan MRSM. Sukar untuk ditemui situasi sebegini.

Setelah dua tahun para pelajar seramai 23 orang tingkatan 5 Ibnu Sina bertungkus-lumus berusaha memahami dan menguasai Bahasa Arab SPM. Mereka tekun berusaha sejak tingkatan empat lagi kerana ditekan oleh ustaznya J, terpaksalah mereka menghafal itu dan ini, pembetulan itu dan ini, disoal itu dan ini dan macam-macam lagi ‘penderaan’ yang mereka hadapi. Semuanya dapat dihadapi dengan sabar dan tabah.

Kehilangan seorang pelajar tahun lepas, Mohd Hafiz yang berpindah ke sekolah SMKA namun menerima anak murid baru dari maahad Muhammadi Lelaki (MML), Muhammad Ali Arsyad. Beban lebih besar dipikul oleh 5 orang pelajar [Faris Hakim, Izwan, Amirul Syafiq, Amirul Azim dan Izzat] yang sanggup memperjudikan nasib mereka untuk mengambil Bahasa Arab walaupun mereka tidak mengambil kertas Bahasa Arab semasa PMR. Sekalung pujian Khas untuk mereka. Mereka bermula dengan perlahan pada tahun lepas namun akhir-akhir ini mereka sempat mengejar rakan-rakan mereka yang cemerlang. Anda hebat!

Ulangkaji Khas

Masa rehat peperiksaan selama lima hari dimanfaatkan sebaik mungkin dengan diadakan kelas ulangkaji keseluruhan tajuk. Mereka hampir sebulan mengabaikan bahasa arab kerana memberi perhatian kepada kertas-kertas lain. Sepanjang lima hari tersebut mereka terpaksa menghafal kembali semua tajuk qawid, sorf, balaghah yang telah mereka kuasai sewaktu percubaan serta insyak sebanyak 10 karangan.


Alhamdulillah saya dikurniakan anak-anak didik yang bijak, rajin, tekun dan taat. Suruh apa-apa pun mereka akan cuba laksanakan sekadar kemampuan. Segala karat, kotoran dan debu yang menyeliputi dikikis dan dibersihkan sehingga dapat menguasai kembali kemahiran sebelum menjelang peperiksaan.


Ulangkaji kali ini lebih membebankan kerana terpaksa membimbing mereka termasuklah slot ujian lisan untuk insyak dan kata hikmah. Perkara yang tidak pernah dilakukan oleh generasi sebelum ini kerana bimbang takut-takut mereka membuang masa dan melakukan perkara yang merugikan diri mereka sendiri. Maklumlah syaitan akan menggandakan usaha mereka untuk menyibukkan penuntut bahasa al-Quran dengan perkara lagha. Membaca novel, melayan movie, drama korea dan macam-macam lagi 'confirm' jauh lebih syok dari sebelumnya J.


Kelas ulangkaji berjalan dengan baik dan lancar walaupun setiap pagi ‘mood’ rosak dengan segelintir pelajar yang kurang komited dengan masa.  Tabiat yang mesti dikikis untuk menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat sebagaimana “Demi masa’ yang kalian sering baca setiap hari. Penghargaan khas kepada Azimah dan Ain Aisyah kerana sentiasa tiba seiring dengan ketibaan ustaz. J

Kelas berakhir sehari sebelum hari peperiksaan dan diakhiri dengan tayangan slide ‘pesanan terakhir’ dan tayangan kali kedua video yang dibikin khas untuk memori mereka bersama rakan2 seperjuangan, ssah dan senang selama 5 tahun. Semoga menjadi pengubat rindu kepada rakan-rakan anda pada satu masa nanti.




Sila klik link di bawah untuk muat turun video 

link muaturun video  

Hari peperiksaan

Tiba seawal  7.30 pagi lagi di astaka perhimpunan dan mereka semua sedang sibuk mengulangkaji buat kali terakhir untuk kertas 2. Saya tidak dapat lari dari perasaan bimbang dan takut kalau-kalau tiada satu pun tajuk ramalan insyak yang keluar. Mereka masuk ke dewan setelah berdoa dan tawakkal bersama-sama.

Ulangkaji terakhir sebelum melangkah masuk ke dewan
Sesungguhnya Allah Maha Adil dan Kaya. Dia tidak akan mensia-siakan harapan hambaNya yang telah berusaha dengan segala kemampuan yang ada. Alhamdulillah tiga tajuk insyak sesuai dijawab dengan tajuk yang telah mereka hafal. Cuma perlu diubah apa yang patut.

Sungguh lega bila melihat mereka keluar dengan menjerit-jerit, ketawa hilai dan ceria. Allah sahaja yang tahu perasaan ini. Dah terlepas bebanan yang dipikul. Cuma tinggal kertas 1 sahaja lagi sebelum mereka ‘merdeka’. Saya tidak bimbang sangat dengan kertas 1 kerana yakin dengan persiapan yang telah mereka buat. Menguasai semua tajuk dan menghafal semua bahagian dengan baik.


Wajah-wajah ceria setelah tamat peperiksaan

Gambar untuk kenang-kenangan

Nasib sentiasa menyebelahi mereka kerana soalan tidak begitu sukar dan hanya ada satu dua soalan yang mengelirukan. Rezeki mereka pada tahun ini sekadar suasana dan keadaan yang menguntungkan mereka J. Bersyukurlah.

Sempat merakam  wajah-wajah mereka yang ‘merdeka’ sejurus diumumkan tamat masa menjawab dan riuh-rendah  kedengaran dalam dewan. Terlalu ‘excited’ barangkali.  Nasib baik semua pengawas baik hati  dan sporting. Alhamdulillah semua ceria, gembira dan teruja. Sempat mengambil foto bersama mereka.

Majlis Kesyukuran

Sebagaimana yang dijanjikan, selepas peperiksaan mereka semua bertolak ke rumah saya di Kg Seneng untuk menjamu selera sebagai kesyukuran dan setinggi-tinggi penghargaan untuk mereka. Memberi mereka ruang dan peluang untuk meramah mesra sesama mereka, lepak-lepak di rumah ustaz setelah sekian lama berdepan dengan tekanan dan ‘penderaan’.




Menjamu selera sambil santai

Berasa sangat teruja melihat mereka dapat hadir di teratak kecil. Kelihatan wajah mereka yang ceria dalam keletihan dek memerah otak dan berjaga malam menghafal sehingga ada yang terlena di buaian dan sofa. Kasihan! Memang penat otak kerana menghafal.

Tujuan membawa mereka datang ke rumah ialah agar mereka kenal kediaman saya dan dapat menziarahi bila-bila masa satu masa nanti setelah bukan lagi bergelar anak didik dan telah berjaya satu masa nanti. Pintu rumah ustaz sentiasa terbuka untuk kalian.

Doa, doa dan doa.

Walaupun anda telah ‘merdeka’ dari SPM namun jangan lupa dan leka dengan tanggungjawab sebagai hamba Allah dan anak soleh dan solehah kepada orang tua anda.

Berkaitan dengan SPM yang baru selesai,  ustaz ingin mengingatkan semua pelajar agar sentiasa berdoa dan adakan solat hajat setiap malam berdoa :

~ Agar semua kertas jawapan anda selamat tiba kepada pemeriksa dalam keadaan baik

~ Agar pemeriksa kertas jawapan anda berada dalam mood ceria, adil dan telus semasa menanda skrip 
jawapan anda

~ Agar pemeriksa bersikap optimis dan bermurah hati semasa menanda skrip jawapan anda

~ Tiada ralat atau kesilapan yang berlaku terhadap kertas jawapan anda

~ Mendapat khabar paling ceria pada hari keputusan SPM diumumkan dengan memperoleh keputusan sebagaimana yang diidamkan. Lebih gempak daripada PMR dua tahun lepas.

Impian & Harapan

Semoga Allah membalas dengan sebaik-baik ganjaran untuk kami semua yang telah memilih untuk memahami bahasa al-Quran walaupun bukan mudah.

Impian ustaz ingin melihat kalian semua mencapai kejayaan cemerlang dalam hidup dan menjadi insan cemerlang di dunia dan akhirat. Tiada apa yang lebih manis bila melihat anak-anak didik menangis kegembiraan bila mendapat kejayaan satu masa nanti.

Tiada apa lagi yang kami para pendidik inginkan. Cukuplah dengan doa yang dipanjatkan untuk kami sekeluarga agar sentiasa dirahmati setiap masa di dunia dan di akhirat sana. Selebihnya ingin kemuliaan dan pengiktirafan di ‘sana’ bila berdepan dengan Rabb dengan ganjaran redaNya yang menjadi impian setiap insan. 

Satu perkara lagi ustaz berharap semua anak didik dapat memanfaatkan semua perkongsian ilmu agama, amal soleh dan sunnah Rasulullah saw. Amalkanlah dan ambillah apa yang bermanfaat dan ketepikan apa-apa yang buruk dari diri ustaz. 

# Apa-apapun keputusan yang diperolehi pada akhir mac 2014, kalian tetap generasi hebat yang pernah dididik.

0 comments:

Catat Ulasan

Related Posts with Thumbnails
 
Share