16 September, 2013
Amanah Menjaga Kesihatan Yang Sering Kita Abaikan
“Suka hati aku la nak
makan apa pun, kalau sakit pun tubuh badan aku bukannya tubuh engkau”.
“Tak apa, kalau sakit
pun hospital kan ada…”
Dua Dialog di atas hanya terpacul keluar daripada mulut
si jahil yang tidak sedar diri dan tidak
kenal siapa dirinya yang sebenar. Diri kita sendiri sebenarnya bukan milik
mutlak kita. Ia hanyalah pinjaman sementara yang diberikan oleh Allah untuk memanfaatkan
kehidupan di dunia ini untuk mencari bekalan selesa di akhirat. Sebab itulah
anggota-anggota kita akan menjadi saksi terhadap apa yang dilakukan semasa
hidup di dunia. Itulah hari hisab amalan.
Menjaga kesihatan tubuh
badan adalah satu amanah Allah. Kita mampu menjaga amanah dalam beribadat kepada
Allah, kita juga mampu menjaga amanah anak isteri kita namun kita alpa dalam menjaga
amanah yang satu ini. Kita rembat apa sahaja makanan yang boleh ditelan tanpa mengambil
kira adakah ia bermanfaat atau mudarat kepada jasad kita.
Asal halal sahaja terus ditelan
bulat-bulat tanpa pertimbangan. Akhirnya ditimpa pelbagai penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, kanser,
buah pinggan, sakit jantung dan
seumpamanya. ramai yang mengamalkan prinsip ‘ hidup untuk makan’ bukannya ‘
makan untuk hidup’. Bila nafsu membesarkan perut dipuja maka akan rosaklah
amanah Allah ini.
Islam dan Menjaga
Kesihatan
Islam sangat mengambil berat
perihal menjaga kesihatan tubuh badan. Ia juga menggariskan prinsip dan cara
hidup yang menjurus kepada memperolehi kehidupan yang tenang, aman damai serta bebas daripada sebarang wabak dan penyakit. Islam
juga menjadikan prinsip ‘mencegah sebelum merawat’ sebagai keutamaan dalam
kehidupan umatnya sebagaimana ungkapan kata hikmah:
الوقاية خير من العلاج
Mencegah itu lebih baik
daripada merawat.
Nikmat kesihatan itu hanya
akan disedari dan dihargai bila ia hilang dari diri kita sebagaimana ungkapan
terkenal bahasa arab :
الصحة تاج
فوق رؤوس الأصحاء لا يراه إلا المرضى
Kesihatan adalah satu
mahkota yang berada di atas kepala orang yang sihat. Ia tidak nampak (nikmatnya)
melainkan oleh orang- orang yang sakit.
Sesungguhnya Allah SWT
memuji Talut di dalam al-Quran di mana Allah mengurniakan kepadanya kehebatan
dalam ilmu dan kekuatan fizikal. Maksud firman Allah dalam Surah al-Baqarah
ayat 247 :
" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu,
dan telah mengurniakannya kelebihan Dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan
tubuh badan". dan (ingatlah), Allah jualah Yang memberikan Kuasa
pemerintahan kepada sesiapa Yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya
dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya.
Hadis sahih riwayat Imam al-Bukhari ini betul-betul mengena batang hidung kita
yang tidak bersyukur dengan nikmat sihat yang dikurniakan oleh Allah :
“ Dua nikmat yang manusia sering mempersia-siakan iaitu kesihatan
dan masa lapang”.
Rasulullah saw juga bersabda :
“Orang mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dikasihi
Allah daripada mukmin yang
lemah”
( Imam Muslim)
Golongan yang sihat fizikal dan mantap ruhaniyyah akan yang mampu beribadat
dengan sempurna serta berjihad menegakkan syiar Islam pasti lebih dekat dan
disukai oleh Allah berbanding umat yang lemah, lembik dan tidak berupaya
mengerah kudrat untuk agama.
Rasulullah saw setiap pagi berdoa :
اَللَّهُمَّ
إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ،
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ الْعَفْوَ
وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِيْ وَدُنْيَايَ وَأَهْلِيْ
وَمَالِيْ.اللهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِي وَآمِنْ رَوْعَاتِي اَللَّهُمَّ احْفَظْنِيْ
مِنْ بَيْنِ يَدَيَّ، وَمِنْ خَلْفِيْ، وَعَنْ يَمِيْنِيْ وَعَنْ شِمَالِيْ،
وَمِنْ فَوْقِيْ، وَأَعُوْذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ أُغْتَالَ مِنْ تَحْتِيْ.
“Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon afiah dan keselamatan
di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kebaikan dan
keselamatan dalam agama, dunia, keluarga dan hartaku. Ya Allah, tutuplah auratku
(aib dan sesuatu yang tidak layak dilihat orang) dan tenteramkanlah aku dari
rasa takut. Ya Allah! Peliharalah aku dari depan, belakang, kanan, kiri dan
atasku. Aku berlindung dengan kebesaranMu, agar aku tidak disambar dari
bawahku.
Al-Munawiy menjelaskan maksud al-afiah di dalam doa ini ialah dijauhkan
semua penyakit hati dan juga penyakit berkaitan dengan tubuh badan.
Adakah petunjuk nabi saw ini menghendaki kita hanya berdoa semata-mata
tanpa berusaha untuk memperoleh kesihatan yang diimpikan.
Satu hadis yang lebih jelas agar kita tidak mengabaikan kesihatan tubuh
badan ialah hadis teguran Rasulullah saw
terhadap Abdullah bin Amr yang berpuasa setiap hari dan berqiamullail sepanjang
malam. Baginda bersabda : jangan kamu lakukan sedemikian, kamu berpuasa dan
berbukalah, berqiyam dan tidurlah kerana tubuh kamu mempunyai hak yang mesti kamu
ditunaikan… ( Imam al-Bukhari)
Di antara hak tubuh badan yang mesti dilaksanakan ialah memakan makanan
yang bermanfaat untuk kesihatan selain memastikan makanan yang halal, bersih serta
berkhasiat. Kita juga hendaklah memastikan makanan atau minuman tidak
memudaratkan jasad kita.
Berhati-hatilah dalam mengambil pemakanan kerana punca segala penyakit
ialah apa yang dipenuhkan ke dalam perut tanpa mengambil kita baik atau buruk. Asalkan
nampak sedap, lazat, berselera terus dirembat mengikut nafsu. Ungkapan
perubatan terkenal menyebut : perut adalah gedung penyakit dan menjaga
pemakanan ibu segala ubat. Ungkapan ini ada benarnya dan menepati sabda
rasulullah saw yang bermaksud :
“Anak
Adam itu tidak memenuhi suatu bekas yang lebih buruk daripada perutnya.
Cukuplah bagi anak Adam itu beberapa suap yang dapat meluruskan tulang
belakangnya (memberikan kekuatan kepadanya). Sekiranya tidak dapat, maka satu
pertiga untuk makanan, satu pertiga untuk minuman dan satu pertiga untuk
pernafasan.” (Riwayat al-Tirmizi)
Kalau dikaji dengan teliti dan ditanya soalan kepada mereka yang telah
ditimpa musibah penyakit kronik tentang budaya pemakanan mereka pasti
jawapannya ialah tidak menjaga pemakanan. Tidak dinafikan faktor genetik juga
menjadi penyumbang namun tabiat memakan apa sahaja termasuk yang memudaratkan
kesihatan adalah penyumbang yang lebih besar berbanding faktor keturunan.
Berhematlah dalam pengambilan pemakanan dengan memakan makanan yang halal,
bersih, seimbang serta berkhasiat agar fizikal kita sentiasa sihat seterusnya
dapat beribadat kepada Allah dengan sempurna dan khusyuk. Fizikal yang Gagah dan kuat mampu memberi apa-apa sumbangan
kepada saudara seagama di mana sahaja berada. Sumbangan untuk agama pastinya
terbantut kalau jasad kita bermasalah malah akan mengganggu kekhusukan ibadat
kita.
0 comments:
Catat Ulasan