Akan menumpukan lebih perhatian kepada zuriat |
06 April, 2013
6 April 2013 Yang Berbeza…
AbuAqil aka AbuSakeena
ketibaan 6 April 2013 dirasakan
sangat lain walaupun macam biasa menerima bertimbun-timbun ucapan terutama
daripada anak didik dan bekas anak didik seawal jam 12 tengah malam semalam.
Jazakumullah khairan semua.
Bangkit pagi ini dengan
sedikit nikmat sihat ditarik oleh Pemilik diri ini. Terkejar-kejar ke tandas
kerana sakit perut dan cirit-birit. Balasan kerana makan mengikut hawa nafsu. Entah
makanan mana yang menjadi punca. Air nira, bihun, ayam bakar, Air sirap, Air jagung,
the tarik di kem?wallahu a’lam. Pasrah. Semoga Allah ampunkan dosa dengan asbab
kepayahan ini.
Ketibaan 6 April pagi ini
menggenapkan usia saya 40 tahun. Usia keinsafan dan usia kembali ke pangkal
jalan. Sungguh syahdu berasa pada awal
pagi dan air mata mudah mengalir. Allah telah memberi isyarat dengan
mengubankan janggut, merabunkan pandangan dan tubun badan yang cepat letih dan tidak
selasak masa dulu. Sakit sana dan lenguh sini.
Macam-macam perasaan timbul.
Berasa kesal dan malu dengan diri sendiri. Sudah 40 tahun Allah memberi modal
untuk mencari bekalan akhirat. Namun bekalan yang dikumpul tidak seberapa. Malah
saya rasakan sangat bersalah kepadaNya kerana gagal menjadi hambaNya yang taat. Tanpa
segan silu berbuat dosa dan mensia-siakan masa yang diberikan. Semoga Allah
mengampunkan semua dosa dan menggantikannya dengan hasanah.
Perasaan bersyukur kepadaNya
juga hadir kerana sama sekali tidak sangka akan mencecah usia 40 tahun
memandangkan telah ‘berselisih’ dengan maut pada tahun lepas. Entah berapa
banyak lagi rezeki saya yang masih berbaki sebelum berdepan malakul maut. Namun
tetap dirasakan usia diri ini takkan panjang. Wallahu A’lam.
Perasaan takut juga
menyelubungi kerana pada usia Rasulullah saw dibangkitkan menjadi Nabi ini,
bimbang kalau-kalau diri ini tidak berubah masih tidak berubah. Sedangkan Allah
memberi panduan agar bertaubat kepadaNya pada usia ini dan mengajar doa berikut
:
رَبِّ أَوْزِعْنِي
أَن أَشكُرَ نِعمَتَكَ الَتِي أَنعَمتَ عَلَيَّ وَعَلَى وَالِدَيَّ وَأَن أَعْمَلَ
صَالحِاً تَرضَاه وَأَصْلِح لِي فِي ذُرِّيَتِي إِنّيِ تُبْتُ إِلَيْكَ وَإِنّيَ
مِنَ الُمسْلِمِين
"Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku
supaya tetap bersyukur akan nikmatMu Yang Engkau kurniakan kepadaKu dan kepada
ibu bapaku, dan supaya Aku tetap mengerjakan amal soleh Yang Engkau redai; dan
Jadikanlah sifat-sifat kebaikan meresap masuk ke Dalam jiwa zuriat keturunanku.
Sesungguhnya Aku bertaubat kepadaMu, dan Sesungguhnya Aku dari orang-orang
Islam (yang tunduk patuh kepadaMu)".
Saya sangat mengharapkan
rahmat dan kasih sayang Rabb agar memimpin diri yang lemah ini ke jalan yang
diredaiNya setiap detik dan ketika. Memberi kekuatan untuk menjadi hamba yang bertakwa,
soleh, berusaha menjauhi sifat sombong, riya’ dan sentiasa bertaubat kepadaNya.
Mesti berubah kerana zaman lagha dan alpa sepatutnya sudah berakhir. Pada usia
40 tahun ini mesti fokus kepada kehidupan yang sebenar di akhirat sana.
Insya Allah bermula hari pertama pada usia 40 tahun ini, berazam
akan berusaha sedaya upaya untuk memperbaiki diri, berusaha mendalami ilmu-ilmu
agama, lebih berani untuk menegakkan hak, membuang sifat mazmumah dalam diri, menghiasi
diri dengan sifat terpuji, menghayati dan mengamalkan sunnah Nabi saw sebanyak
mungkin serta berusaha meningkatkan kualiti diri sebagai da’ei dan murabbi
kepada anak-anak didik tersayang.
Antara fokus utama juga ialah menumpukan perhatian kepada zuriat yang lima orang agar menjadi hamba Allah yang bertakwa dan soleh.
Ya Rabb bantulah dan permudahkanlah urusanku setiap masa. Hanya kepadaMU
aku bertawakkal. Jangan biarkan diriku bersendirian mengurus diri sendiri
walaupun sekelip mata. Allah al-Musta’aan.
0 comments:
Catat Ulasan